Selasa, 10 November 2009

Bai'ah PAS sudah lama berlaku

KUANTAN, 10 Nov (Bernama) -- Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata amalan bai'ah atau akujanji di kalangan wakil rakyat PAS bahawa akan jatuh talak tiga kepada isteri masing-masing jika mereka keluar parti, bukanlah perkara baru, sebaliknya sudah lama berlaku.
Menurut Adnan, perkara itu diketahuinya sejak dua penggal pilihan raya umum yang lepas menerusi beberapa kenalannya daripada parti PAS yang menjadi wakil rakyat. "Perkara ini perkara lama, terpulanglah kepada rakyat menilainya. Bai'ah itu meletakkan isteri sama dengan kerjaya politik, itulah rendahnya martabat wanita di kalangan kepimpinan PAS," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran Petrosains DinoTrek 2, di sini, Selasa.
Adnan secara sinis berkata kepimpinan PAS tidak perlu risau wakil rakyat mereka akan keluar parti itu kerana mereka amat menyayangi isteri mereka. "Saya pernah memujuk mereka (wakil rakyat terbabit) sertai Barisan Nasional, mereka kata tak boleh, kalau mereka keluar parti akan jatuh talak tiga, isteri mereka kena berkahwin dengan orang lain dulu sebelum dapat bersama semula dengan mereka," katanya.
Adnan bagaimanapun tidak mendedahkan butiran terperinci berkenaan bai'ah yang diketahuinya itu: "Bukan wakil rakyat PAS di Pahang, tapi di negeri lain," katanya. Pada Khamis lepas, Anggota Parlimen Shah Alam dari PAS, Khalid Samad mengesahkan wujudnya amalan bai'ah di kalangan calon wakil rakyat parti itu bahawa akan jatuh talak tiga kepada isteri masing-masing jika mereka keluar parti. Bagaimanapun PAS Pusat yang mengakui amalan konsep bai'ah itu menafikan berlakunya arahan cerai talak tiga jika wakil rakyatnya keluar parti.Pameran Petrosains DinoTrek 2 yang berobjektif memupuk proses pemikiran secara kritikal bagi menerokai zaman prasejarah dan dinosaur akan berlangsung sehingga 30 Jun 2010 di Kompleks Yayasan Pahang. Pameran itu memaparkan ciri-ciri unik termasuk 9 dinosaur animatronik, bahan-bahan pameran dinosaur seperti Spinosaurus dan Tyrannosaurus Rex.-- BERNAMA
Bagaimanapun pimpinan tertinggi PAS, termasuk Presidennya, YB Hj. Abdul Hadi Awang dan Mursidul Am PAS, YAB Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikannya. Dalam politik macam-macam ada... Selepas PRU ke-12, dimana PAS berjaya menambah kerusi di Parlimen dan menguasai sepenuhnya dua negeri, pimpinan PAS semakin bercelaru. Bagaimanakah agak kalau PAS berjaya menguasai seluroh Malaysia, nampaknya akan lagi banyak carca marbanya. UMNO adakan EGM, depa pun cuba nak adakan EGM. Bila tak jadi tukar buat seminar, lepas tu marah kepada penceramah kerana tidak sebulu dengan mereka. Nampaknya kebanyakan ahli PAS belum mempunyai "kecerdikan berpolitik", pinjam kata-kata Dr. Abu Hassan Hasbullah, salah seorang penceramah di seminar tersebut.

Jumaat, 16 Oktober 2009

Pindaan perlembagaan UMNO diluluskan sebulat suara

Kesemua tujuh usul pindaan Perlembagaan Umno yang dibentangkan dalam perhimpunan agung khas Umno 13-16 Oktober 2009 diluluskan sebulat suara.

1. Penambahan jumlah perwakilan kepada 146,500 anggota bagi pemilihan pimpinan tertinggi Umno dan barisan pemimpin peringkat bahagian. Melalui usul pindaan ini juga, semua ketua sayap parti peringkat cawangan dicadangkan menjadi perwakilan secara automatik.
2. Memperkenalkan sistem pendaftaran menggantikan sistem kuota pencalonan. (Syarat minimum untuk menjadi calon akan ditetapkan oleh Majlis Tertinggi Umno)
3. Pelantikan wakil Pergerakan Wanita untuk mengisi kerusi jawatankuasa peringkat cawangan, bahagian dan MT;(Pindaan ini menjadikan jumlah anggota yang dilantik bertambah, iaitu bagi MT daripada 12 kepada 13 orang, anggota jawatankuasa peringkat bahagian daripada tujuh kepada lapan orang, dan jawatankuasa cawangan daripada lima kepada enam orang)
4. Pemilihan bagi peringkat bahagian dan pucuk pimpinan tertinggi akan diadakan secara serentak, dan dengan itu sebuah Jawatankuasa Pemilihan Umno akan ditubuhkan untuk menyelia dari segi logistik dan kos. (Anggota jawatankuasa akan dilantik Presiden parti)
5. Penghapusan yuran tahunan keahlian dan digantikan dengan yuran seumur hidup.
6. Memberi mandat kepada ketua-ketua Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri peringkat cawangan untuk mengesahkan keahlian baru.
7. Mengiktiraf setiausaha bahagian sebagai perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno secara automatik.

Selasa, 29 September 2009

Isa Samad sah calon BN di Bagan Pinang

PORT DICKSON 29 Sept. – Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad hari ini diumumkan secara rasmi sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang pada 11 Oktober ini.
Pengumuman itu dibuat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Pengerusi BN dalam majlis Jamuan Hari Raya
Aidilfitri BN peringkat negeri di Batu 6, Jalan Pantai dekat sini petang ini.
Mohd. Isa, 60, merupakan Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 23 tahun.
Hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu ialah pada 3 Oktober ini.
Terdapat 13,664 pengundi berdaftar layak mengundi pada Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang dengan 9,060 merupakan pengundi biasa manakala 4,604 pengundi pos.
DUN Bagan Pinang mempunyai 62.7 peratus pengundi Melayu, 20.7 peratus India, 10.9 peratus Cina dan 5.5 peratus kaum lain.
Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Azman Mohd Nor pada 4 September lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-12, Allahyarham Azman memenangi kerusi DUN itu selepas mendapat 6,430 undi mengalahkan calon Pas, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi. - Utusan
Sebelum keputusan ini diumumkan lagi pelbagai pihak dari UMNO Bahagian telah menyatakan sokongan mereka kepada TS Isa. Mungkin amat sukar bagi pucuk pimpinan membuat keputusan memandangkan TS Isa adalah seorang veteran UMNO dan bekas Menteri Besar.
Kini keputusan sebenar terletak ditangan pengundi Bagan Pinang, apakah TS Isa masih relevan di sana atau sebaliknya. Sekiranya BN kalah dalam PRK ini, imej BN akan jatuh merudum. Apa yang penting kini adalah kerja kuat jentera BN bagi memastikan calon BN terus mengekalkan kerusi Bagan Pinang.

Khamis, 24 September 2009

BN dan masa depan

Barisan Nasional (BN) kini berdepan dengan pelbagai persepsi. Bagi memenuhi kehendak rakyat pimpinan BN perlu menanggani pelbagai masalah yang dihadapi oleh parti komponen. Sekiranya kewibawaan BN dapat diyakini, tentunya rakyat akan kembali menaruh kepercayaan kepada BN.

Slogan 1Malaysia dan pelaksanaannya mestilah telus. Ketelusan amat diperlukan bagi memenuhi kehendak rakyat. Rakyat menaruh harapan yang tinggi terhadap kepimpinan DS Najib. Seandainya kepimpinan DS Najib boleh diterima rakyat, penulis yakin persepsi umum terhadap BN akan berubah.

Begitu pun masalah yang dihadapi parti komponen mestilah diselesaikan sebelum PRU ke-13. Masalah kepimpinan MIC perlu segera diselesaikan, begitu juga krisis MCA. BN hanya akan terus releven dengan sokongan tiga kaum utama di dalam BN terutama di Semenanjung.

Hal hal remeh temeh akan selesai sekiranya kepimpinan BN terus kukoh dan persepsi rakyat pasti berubah. Sokongan pengundi di Bagan Pinang dalam PRK akan menjadi titik tolak kepada penerimaan rakyat terhadap BN. Tugas berat menanti jentera PRK Bagan Pinang bagi memastikan BN dapat mengekalkan kerusinya. Tugasan utama pimpinan memilih calon yang boleh di terima oleh pengundi di Bagan Pinang.

Sabtu, 19 September 2009

Pemecatan Soi Lek di ubah

KUALA LUMPUR 19 Sept. – Jawatankuasa Pusat (CC) MCA malam ini mengubah keputusan Majlis Presiden pada 26 Ogos lepas untuk memecat Timbalan Presiden, Datuk Dr. Chua Soi Lek dari parti itu.

Sebaliknya, CC menggantung keahlian Dr. Soi Lek selama empat tahun berkuat kuasa serta-merta. - Sumber Utusan Online.

Apakah keputusan ini akan mengubah pergolakan yang melanda MCA. Apakah dengan keputusan ini bermakna krisis yang melanda parti kedua terbesar dalam BN telah selesai ataupun adakan ini mainan politik pihak-pihak yang berkepentingan dalam MCA bagi mengekalkan kedudukan mereka. Semua ini amat bermakna apa lagi menjelang PRK Bagan Pinang yang bakal menyaksikan pelbagai pendedahan akan dikeluarkan. Apa yang pasti BN mestilah membersihkan imej terlebih dahulu sebelum rakyat memberi sepenuh kepercayaan kepada BN kembali.


Jumaat, 18 September 2009

Dr. Mahathir : Samy Vellu patut letak jawatan

Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu akan menjadi liabiliti kepada BN dalam pilihanraya umum akan datang disebabkan kepimpinannya yang gagal, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.Mantan perdana menteri itu berkata beliau bimbang sokongan rakyat terhadap BN akan merosot dan BN akan menjadi mangsa pula kerana Samy Vellu masih lagi memimpin MIC.
Dalam satu temubual dengan Bernama, Dr Mahathir berkata Samy perlu melepaskan jawatan presiden MIC kerana beliau perlu bertanggungjawab terhadap kegagalan parti itu dalam pilihan raya umum yang lepas malah beliau sendiri pun kalah."Kalau kita tengok di negara lain, apabila seseorang pemimpin gagal, dia dengan sendirinya letak jawatan. Kalau di Jepun, dia commit harakiri bunuh diri). Kita tak suruhlah dia (Samy) commit harakiri."You (Samy) gagal pimpin MIC sampai you (Samy) sendiri kalah," katanya. Sumber Malaysiakini
BN perlu kuat untuk bersaing dengan PKR, PAS dan DAP. Untuk itu amat perlu komponen BN memikirkan strategi terbaik untuk memenangi hati rakyat. Teguran Dr. Mahathir adalah amat tepat pada masanya. Mungkinkah konsep 1Malaysia belum lagi sebati dengan rakyat, maka hasilnya belum lagi kelihatan. BN berada dalam situasi yang yang yang agak tenat kini. MIC tenat kena Samy yang memimpin MIC selama 28 tahun belum bersedia mengundurkan diri. Bagi MCA pula berdepan dengan EGM yang akan diadakan tak lama lagi bagi menyelesaikan krisis dalaman mereka. Sekiranya krisis dalam BN tidak dapat diatasi agak sukar bagi BN mengekalkan kuasanya dalam PRU akan datang.

Selasa, 28 Julai 2009

Kit Siang buat laporan polis terhadap ancaman bunuh Presiden MCA

PETALING JAYA: Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang semalam membuat laporan polis berhubung ancaman bunuh yang diterima Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat di ibu pejabat polis Petaling Jaya di sini.
"Ong yang sepatutnya membuat laporan polis tetapi oleh kerana beliau tidak berani berbuat demikian, saya menjalankan tanggungjawab awam saya untuk membuat laporan bagi pihaknya demi keselamatannya.
"Walaupun pandangan politik kami berbeza, saya tidak mahu sebarang keburukan berlaku pada Ong," katanya pada sidang akhbar selepas membuat laporan polis itu pada 12.30 tengah hari.
Lim juga berkata beliau turut melampirkan laporan dalam akhbar berbahasa Cina dan Inggeris mengenai dakwaan ancaman bunuh yang diterima Ong dalam laporan polisnya.
"Kini terpulang kepadanya untuk bekerjasama dengan polis dan biarkan mereka menyiasat," katanya dan berharap presiden MCA itu akan memberikan fakta dan keterangan kepada polis bagi membantu siasatan.
Semalam, akhbar Sunday Star melaporan ancaman bunuh itu yang berbunyi: "If you're wiped out from this world some day, you should know why this has happened." (Jika anda dilenyapkan dari dunia ini pada satu hari, anda patut tahu kenapa ini berlaku). BERNAMA
Beginilah bijaknya orang Cina berpolitik di Malaysia. Orang Melayu asyik bergaduh. Lihat saja pelbagai kenyataan yang mengelirukan dikeluarkan oleh Datuk Nik Aziz Nik Mat, menteri besar Kelantan. Orang bukan Melayu sanggup bersatu membela bangsa mereka. Dalam kes Kg. Buah Pala, Pulau Pinang, MIC sanggup membelanjakan RM3.2 juta demi untuk memperjuangkan bangsanya.

Ahad, 19 Julai 2009

Program latihan bagi pemimpin UMNO

SHAH ALAM 19 Julai — Pemimpin Umno di semua peringkat akan mengikuti program latihan dan motivasi secara berperingkat bagi menyuntik semangat baru di kalangan mereka mulai bulan depan. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata program latihan itu juga untuk mengukuhkan kepemimpinan parti dan meneruskan usaha bagi memperjuangkan nasib orang Melayu dan masyarakat Malaysia.
Beliau berkata program itu akan dimulakan dengan pembabitan Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno di Institut Latihan Memperkasa Umno (ILMU), Janda Baik, Pahang. Menurutnya program yang dipersetujui di peringkat Jawatankuasa Pengurusan dan MT Umno itu, akan diperluaskan ke seluruh negara membabitkan pemimpin Umno di peringkat bahagian dan cawangan.

“Program ini akan melibatkan semua peringkat pimpinan sebab merekalah menjadi penggerak utama yang akan membimbing ahli-ahli parti di peringkat cawangan dan kita mahu supaya ada imej baru yang dapat kita tonjolkan. “Ia (modul-modul program) juga akan digandingkan dengan tindakan mesra rakyat seperti mendengar dan menyelesaikan rintihan masyarakat secara berkesan,” kata Timbalan Presiden Umno kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Shah Alam di sini, hari ini.
sumber - BERNAMA
Ini adalah salah satu langkah positif kearah memantapkan kembali UMNO. Usaha sebegini hendaknya dapat memberi kesan positif. Kepimpinan peringkat Cawangan dan Bahagian yang membuat jati diri mampu untuk memperbaiki prestasi serta menyakinkan rakyat/pengundi tentang hala tuju UMNO sebenarnya. Diharapkan kepimpinan di semua peringkat menyambut baik usaha ini.
Bagi menghadapi PRU akan datang, UMNO mestilah mula mengerakkan semua jentera dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan. Bagi negeri-negeri yang tewas dalam PRU yang lalu, usaha sebegini perlu dipertingkatkan lagi. Rakyat akan menilai sejauh mana kemampuan UMNO/BN melaksanakan tanggungjawab sosial mereka. Sebenarnya UMNO bukanlah sebuah parti 'elit' tetapi ianya adalah parti untuk semua orang Melayu.

4 tumpuan UMNO kini

Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, empat agenda itu ialah memastikan parti berkenaan berjaya dalam setiap pilihan raya pada masa depan; memperkuatkan parti; menyatupadukan orang Melayu; dan usaha mengukuhkan sokongan anggota parti komponen Barisan Nasional (BN) kepada UMNO.

Beliau berkata, setiap anggota UMNO kini perlu berani membuat pembaharuan dalam parti supaya ia menjadi ejen tarikan kepada parti itu untuk terus menerajui BN pada masa depan. sumber - Utusan Malaysia


Semua agenda yang disebutkan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia ini hendaklah di praktikkan dalam semua bentuk kepimpinan parti. Bermula dari cawangan terus ke bahagian. Manakala UMNO peringkat negeri harus memantau supaya semua agenda ini dilaksanakan. Masa berlalu dengan begitu pantas. Untuk itu barisan kepimpinan mesti mengutamakan parti demi mengubah persepsi umum terhadap UMNO.


Gunakan sepenuh mensyuarat perwakilan yang sedang berlangsung untuk mengukuhkan parti. Jauhi sengketa sesama sendiri. Harus diingat rakyat memerhati gelagat kepimpinan UMNO hari ini. Sekiranya kepimpinan bermula dari peringkat Pusat, Negeri , Bahagian dan Cawangan telah berubah, hati rakyat juga akan berubah kembali memberi sokongan kepada UMNO. Keputusan PRK Manik Urai membuktikan bahawa UMNO/BN masih diterima rakyat.


Kini sepatutnya kepimpinan UMNO mesti bekerja keras supaya hasilnya bakal dapat dipungut dalam PRU ke-13 nanti. Tanpa kerja kuat amat sukar untuk UMNO menyakinkan pengundi, hatta ahli UMNO itu sendiri. Jangan pinggirkan ahli-ahli UMNO dimana-mana peringkat. Sokongan akar umbi amat diperlukan bagi memastikan UMNO terus relevan.

Khamis, 2 Julai 2009

DAP Kedah mula bertindak



DAP Kedah keluar Pakatan Rakyat
Jul 1, 09 6:23pm


DAP Kedah memutuskan untuk keluar dari gabungan Pakatan Rakyat negeri itu kerana membantah tindakan kerajaan negeri merobohkan satu-satunya pusat penyembelihan babi di Alor Star. Sebelum itu, pada jam 3.30 petang petugas Majlis Bandaraya Alor Star menjalankan operasi merobohkan pusat penyembelihan tersebut. Berikutan itu, Pengerusi DAP Kedah/Perlis, Thomas Su dan penyokongnya cuba menghalang operasi tersebut tetapi tidak berjaya. DAP negeri kemudiannya mengadakan satu mesyuarat tergempar untuk membincangkan insiden tersebut. Dan pada kira-kira jam 5 petang tadi, Thomas mengumumkan keputus dan DAP Kedah/Perlis untuk keluar dari Pakatan Rakyat. - sumber Malaysiakini.

Kesimpulan dari peristiwa ini menunjukkan bahawa komponen parti yang berada dalam Pakatan Rakyat belum kukoh. Masing-masing parti bertindak mengikut citarasa sendiri bukannya komponen. Rakyat Kedah memerlukan sebuah kerajaan yang kukoh dan stabil bagi memajukan negeri Kedah Darulaman.

Jumaat, 15 Mei 2009

Kepimpinan baru UMNO Kedah

Kehadiran muka-muka baru dalam Perhubungan UMNO Negeri Kedah diharapkan dapat memperkukohkan kedudukan UMNO dinegeri Kedah. Dengan perlantikan Datuk Ir. Nawawi Ahmad sebagai setiausaha bersama Datuk Mukhriz Mahathir sebagai bendahari merupakan pemimpin muda yang memungkinkan dapat menyakinkan ahli UMNO dan rakyat akan kepimpinan baru UMNO negeri.

Perlantikan Datuk Jamil Khir sebagai ketua penerangan diharapkan dapat memberi nafas baru kepada UMNO Kedah. Diharapkan Datuk Jamil dapat mempergunakan platform ini sebaik mungkin dalam menyakinkan rakyat terhadap kepimpinan UMNO terkini.

Selain itu sokongan padu semua ketua-ketua bahagian dalam negeri Kedah juga amat penting bagi mengukohkan kedudukan UMNO di mata rakyat. Rakyat dahagakan perubahan. Semoga barisan kepimpinan yang diketuai oleh DS Shafie Apdal dan dibantu oleh Datuk Paduka Ahmad Bashah dapat membawa perubahan dan dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan dan UMNO negeri Kedah.

Jumaat, 17 April 2009

Datuk Jamil Khir perlu dilantik untuk mengetuai UMNO Kedah

UMNO Kedah perlu berubah. Perubahan drastik amat perlu untuk mengembalikan keyakinan rakyat Kedah terhadap UMNO. Sejak tewas dalam PRU yang lalu, UMNO nampak tidak bermaya. Pemilihan UMNO pula telah dicemari oleh politik wang. Perkara ini digembar-gemburkan samada oleh kawan dan lawan. Ini menyebabkan UMNO semakin lemah dan persepsi rakyat terhadap UMNO semakin menyimpang.

Bagi memperbaiki imej dan persepsi rakyat terhadap UMNO Kedah, satu perubahan besar perlu dilaksanakan segera. Perdana Menteri, DS Najib Razak sewajar memandang serius hal ini. Dalam barisan kabinet DS Najib terdapat seorang menteri dan dua timbalan menteri dari Kedah. Pemilihan Mej. Jen. (B) Datuk Jamil Khir Baharom sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri memberi isyarat bahawa DS Najib telah menaruh kepercayaan kepada tokoh agama dari ATM ini untuk mengembalikan imej UMNO Kedah.

Penulis mencadangkan supaya Datuk Jamil Khir diberi tanggungjawab untuk mengetuai UMNO Kedah. Ini adalah kerana Jamil Khir belum mempunyai sebarang rekod yang tidak baik dalam UMNO. Beliau juga diharapkan dapat berdepan dengan pengaruh PAS yang semakin kukoh di Kedah. Sebagai seorang yang berpengalaman dalam bidang agama, beliau dilihat mampu mengubah persepsi rakyat terhadap UMNO. Pengstrukturan semula Perhubungan UMNO Kedah amat perlu. Dalam tempoh kurang dari empat tahun mendatang sebelum menjelang PRU ke-13, UMNO Kedah mesti bangun menyusun langkah dan Datuk Jamil Khir adalah insan yang diharapkan dapat mengembalikan imej serta persepsi rakyat Kedah.

Selasa, 14 April 2009

Tiga Pemuda Utara dilantik sebagai pegawai utama Pemuda Malaysia

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, YB. Khairy Jamaludin Abu Bakar telah melantik empat pegawai utama dalam Pergerakan tersebut. Datuk Rozabil (KP Arau) dilantik sebagai Penolong Bendahari, Datuk Reezal Merican (KP Kepala Batas) sebagai Ketua Penerangan dan Sdr. Shaiful Hazizy (KP Merbok) sebagai Setiausaha Kerja Pemuda. Selain itu Sdr. Megat Firdouz Megat Junid (Timbalan Ketua Bahagian Subang) dilantik sebagai Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia.

Nampaknya Pemuda di Utara Semenanjung lebih bijak mengambil hati ketua mereka. Adakah ini merupakan strategi baru bagi mengukuhkan pergerakan tersebut. Sebagai sayap UMNO, Pemuda mestilah memainkan peranannya dengan lebih berkesan supaya ianya diterima oleh golongan muda di negara ini. Golongan muda merupakan pengundi baru yang bakal menentukan manakah parti yang bakal menjadi pemerintah selepas PRU ke-13 nanti.

Jumaat, 27 Mac 2009

UMNO : antara harapan dan cabaran

Kini DS Najib Razak telah dinobatkan sebagai Presiden UMNO. Persepsi rakyat terhadap beliau kurang menyakinkan. Ini adalah kerana pembangkang berjaya membawa pelbagai isu yang dikaitkan dengan beliau. Beliau mestilah bekerja keras dan menangkis semua persepsi negatif terhadapnya. Rakyat ingin kepimpinan terbaik sebagai pemimpin mereka. Begitu juga dengan TS Muhyiddin Yasin yang dianggap cukup lantang menjelang peralihan kuasa. Rakyat inginkan pemimpin yang lantang dan berani. Sekarang bermulalah era tranformasi. TS Muhyiddin mesti buktikan kepada warga UMNO beliau mampu bekerjasama dengan TS Najib membawa tranformasi dalam UMNO supaya persepsi rakyat terhadap UMNO berubah.

Gandingan DS Zahid Hamidi, DS Hishamuddin Hussein dan DS Shafie Apdal mestilah selari dan kepimpinan tertinggi dalam membawa tranformasi dalam UMNO. Warga UMNO menaruh harapan yang tinggi kepada mereka. Akar umbi mahukan perubahan dan perubahan ini mestilah selari dengan perkembangan semasa.

Kepimpinan baru sayap-sayap UMNO juga dilihat memainkan peranan penting dalam membawa perubahan. Tanpa perubahan UMNO akan ditolak oleh rakyat. Inilah cabaran yang cukup hebat yang terpikul dibahu kepimpinan tertinggi UMNO. Warga UMNO seramai 3.4 juta amat berharap perubahan berlaku dalam UMNO sejajar dengan perkembangan semasa.

Khamis, 26 Mac 2009

Ketua Pemuda dan cabarannya

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menang selasa sebagai ketua Wanita Umno. Khairy Jamaluddin berjaya menewaskan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan Datuk Mukhriz Mahathir bagi mengisi jawatan Ketua Pemuda. Sementara Naib Ketua Pemuda dikuasai oleh Datuk Razali Ibrahim. Manakala Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pula menang sebagai Ketua Puteri dan Puan Shahanim Mohd Yusoff, Naib Ketua Puteri. Mungkin UMNO Kedah boleh berbangga kerana Ketua Puterinya berjaya menjadi Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia.

Setelah keputusan pertandingan Pemuda diumumkan bergema laungan "Khairy rasuah" dan menyifatkan kemenangan ini bukan seperti dihasratkan oleh Umno.

Inilah adalah kali pertama dalam sejarah Pemuda UMNO laungan 'rasuah' bergema menyambut kemenangan seorang ketua. Apa ini yang dinamakan pembaharuan dalam Pemuda UMNO. Kalau begini pembaharuan yang dicipta, jelas menunjukkan bahawa Pemuda UMNO akan terus ditolak oleh rakyat. Jangan alpa ujian getir akan terus menanti di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.

Selasa, 3 Februari 2009

Menteri yang berprinsip

Menteri Thai letak jawatan

BANGKOK 3 Feb. - Hanya dalam tempoh yang singkat, kerajaan baru Thailand menghadapi pergolakan politik pertamanya dengan peletakan jawatan Menteri Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia Witoon Nambutr berikutan skandal ikan bertin yang busuk.
Witoon, anggota parti pemerintah Demokrat dari Ubon Ratchathani di Timur Laut negara itu, mengumumkan peletakan jawatan beliau selepas mesyuarat kabinet mingguan yang dipengerusikan Perdana Menteri dan ketua parti tersebut Abhisit Vejjajiva di Rumah Kerajaan hari ini.
“Saya membuat keputusan sendiri untuk meletak jawatan, tiada sesiapa pun memberi tekanan kepada saya, saya tidak bersalah, saya tidak ada kaitan dengan kes ikan bertin yang busuk itu tetapi saya meletakkan jawatan untuk menjaga nama baik parti saya, kerajaan dan negara,” kata beliau pada persidangan akhbar di sini. - Bernama


Inilah yang dikatakan pemimpin yang berprinsip. Mampukah kita memiliki pemimpin yang sebegini di Malaysia. Rakyat sebenarnya mahukan seorang pemimpin yang terbaik dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi. Sekiranya situasi begini ada di kalangan kita, kita mampu menjana kekuatan dalam parti dan kerajaan. Prinsip yang sebegini melambangkan pemimpin tersebut lebih mementingkan parti dan kerajaan berbanding dirinya sendiri.

Rakyat telah memilih pemimpin dan sepatutnya mandat tersebut dimanfaat sebaiknya. Sebaliknya rakyat akan kecewa sekiranya pemimpin yang mereka pilih lebih mementingkan dirinya berbanding rakyat yang diwakilinya. Jangan sampai satu masa nanti rakyat sudah tidak lagi menghormati pemimpin. Sebarang tindakan yang hendak dilakukan pemimpin hendaklah berhemah, bukannya tindakan yang membuatkan rakyat semakin benci dan meluat kepada pemimpin.

Penulis cukup terharu bila Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sanggup melepaskan jawatannya berikutan kekalahan BN untuk memperolehi majoriti 2/3 di Parlimen. Kini masih lagi ada pemimpin yang masih mahu mengekalkan kedudukannya walaupun negeri yang dipimpinnya tewas. Sewajarnya pemimpin tersebut mengambil tanggungjawab atas kekalahan tersebut. Mungkin prinsip pemimpin berkenaan tidak sama dengan prinsip Witoon Nambutr.

Bebas yang tidak bebas

UMNO nafi tawar wang pada exco Kedah untuk lompat
Abdul Rahim Sabri


Umno Kedah nafi BN pernah berjanji menawarkan wang kepada Arumugam Vengatarakoo dalam cubaan memancing exco negeri Kedah itu menyertai parti tersebut."Kita menafikan kita buat benda-benda (menawarkan wang) itu. Tak mungkin, buang duit, buang duit saja," kata Ketua Penerangan Umno Kedah, Datuk Mohd Hadzir Ismail ketika dihubungi Malaysiakini.Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Selambau itu semalam membuat laporan polis, mendawa ada usaha mengajaknya meninggalkan PKR, termasuk melalui ugutan jenayah terhadapnya, keluarga dan pegawainya.Bagaimanapun, Arumugam tidak menjelaskan jumlah wang yang ditawarkan kepadanya dan pihak yang cuba menyogoknya.- Sumber Malaysiakini.

YB Arumugam bertanding atas tiket bebas dan menang. Kemudian beliau lompat masuk PKR dan dilantik sebagai exco. Dalam senario ini beliau bukanlah bertanding atas tiket BN dan lompat. Kalau tanding guna logo BN kemudian lompat, logiknya juga BN nak kacau dia.

Kalau beliau masuk BN pun BN masih tak boleh memerintah di Kedah. BN hanya ada 13 kerusi berbanding PAS 17, PKR 5 (termasuk Bukit Selambau) dan DAP 1 kerusi. Rasanya BN tak perlu nak rebut kerusi tersebut, kalau nak pun kena tunggu PRU ke-13. Hakikatnya Pakatan Rakyat kukoh di Kedah.

Cuma kini kita tunggu apa pula reaksi Mantan MB kedah selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri atas laporan polis yang dibuat oleh YB Arumugam. Pemimpin harus membersihkan nama UMNO sebelum UMNO terus dicemari.

Isnin, 2 Februari 2009

Politik kini semakin bercelaru

Percaturan politik di Perak terus meruncing. Adakah mereka-mereka yang terlibat ada masalah dengan parti-parti yang mereka wakili. Kalau ADUN Bota, Datuk Nasaruddin ada masalah dengan UMNO dan keluar parti, bagaimana pula dengan ADUN Behrang, Jamaludin Mohd. Radzi. Begitu juga dengan ADUN Changkat Jering, Mohd Osman Jailu. Apakah mereka juga ada masalah dengan PKR. Tidak terkecuali juga dengan ADUN Jelapang, Hee Yit Foong yang mewakili DAP. Adakah persefahaman mereka dalam Pakatan Rakyat begitu rapuh atau ada pihak yang cuba memancing mereka. Terkini pendedahan Fauzi Muda, selaku Ketua Bahagian Ipoh Barat parti PKR yang mendakwa pihak UMNO cuba memujuk mereka melompat parti tahun lalu.

Kestabilan kerajaan negeri Perak boleh tergugat sekiranya pergolakkan politik ini tidak ditanggani dengan cara berhemah. Keputusan SPR mengenai kedudukan kerusi Behrang dan Changkat Jering nanti akan menentukan pola politik Perak mungkin berubah.

Dakwaan ADUN Bukit Selambau mengenai ugutan yang di terima adalah serius dan boleh menyebabkan persepsi rakyat terhadap BN akan mula terhakis. Kalau kes Fauzi Muda dan Arumugam Vengatarako benar, tentunya ianya memberi impak yang besar kepada BN. Rakyat kini sedang memerhati gelagat wakil-wakil rakyat yang mereka pilih Mac tahun lalu. Adakah semua yang terlibat benar-benar ikhlas untuk berkhidmat kepada rakyat yang mereka wakili atau sebaliknya.

Pelbagai dakwaan boleh mereka cetuskan, ini membuatkan rakyat akan lebih berhati-hati memilih wakil mereka di masa hadapan. Harapan rakyat wakil yang mereka pilih hendaklah memberi khidmat kepada mereka. Percaturan politik samada BN, PKR, DAP mestilah percaturan yang diterima rakyat, sekiranya percaturan tersebut dilihat sebagai memenuhi kepentingan peribadi, percayalah, rakyat akan menolak mereka nanti.

Jumaat, 30 Januari 2009

Menjelang Mac 2009

Beberapa peristiwa panas menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Mac nanti. Dalam masa dua bulan yang penuh debaran, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak mengantikan Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali berikutan tindakan ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang menyertai Parti Keadilan Rakyat. Rasa tidak puas hati ADUN BN di Perak adalah kerana Datuk Seri Tajol dikatakan gagal melaksanakan langkah-langkah positif selepas BN kalah di Perak. Ini juga kerana kegagalan Badan Perhubungan UMNO Perak mengatasi beberapa masalah UMNO di beberapa Bahagian di Perak.

Cadangan Tan Sri Tengku Ahmad Ritahaudeen supaya semua sayap dalam UMNO dibubarkan mendapat reaksi yang cukup membayangkan betapa sayangnya pemimpin UMNO terhadap jawatan yang disandangkan mereka. Cadangan ini telah mencuit hati kepimpinan tertinggi UMNO. Dicadangkan adalah lebih sesuai cadangan-cadangan ini dibincangkan di PAU Mac nanti kerana disini semua perwakilan boleh memberi pandangan mereka. Maka pandangan terbaik haruslah dilaksanakan semoga UMNO akan terus diterima di mata warga UMNO terutama ahli akar umbi. UMNO kini harus mengambil kira pandangan akar umbi selain dari pandangan kepimpinan tertinggi kerana hidup mati UMNO didukong oleh semua warga UMNO bukannya oleh kepimpinan sahaja.

Seharusnya sebarang pertelagahan dalam UMNO dihentikan di semua peringkat. Sewajarnya UMNO mesti bersatu bagi memastikan pembangkang tidak dapat memperkotak-katikkan kita. Walau apa pun lagu yang didendangkan, kita jangan terus menari mengikut rentak mereka. Sebagai sebuah parti yang cukup berpengalaman, gunakan kelebihan ini bagi memastikan rakyat selesa dengan UMNO.

Khamis, 22 Januari 2009

Antara Pemilihan UMNO dan Pilihan Raya : mana jadi pilihan pemimpin

Selepas kekalahan UMNO di Kuala Terengganu pelbagai reaksi yang kita dapat. Sejak Pilihan Raya Umum(PRU) yang lalu, UMNO seolah-olah tidak melakukan sesuatu bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadapnya. Apa yang diberi tumpuan adalah peralihan kuasa dan pemilihan parti. Apabila isu peralihan kuasa dan pemilihan parti mula dicemari, rakyat semakin menjauhkan diri dari UMNO. Pakatan Rakyat cuba mengukuhkan kedudukkan di mata rakyat. Pelbagai helah mereka lakukan, namun rakyat seolah-olah merestui apa yang mereka laksanakan terutama di Perak dan Selangor. Ini adalah kerana imej UMNO tidak segera dipulihkan di mata rakyat.

Apa yang mengembirakan kerana masih ada jua segelintir pemimpin yang masih mampu bersuara bagi mengimbangi suara pembangkang. Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin harus dilihat dari perspektif yang positif ia-itu mahukan perubahan yang lebih ketara dalam UMNO. Namun ada segelintir pemimpin masih dengan gaya mengampu yang tak sudah-sudah.

Penulis difahamkan, kempen menjelang PAU Mac depan sedang giat dijalankan, almaklumlah ramai kepimpinan tertinggi bimbang kalau mereka kalah dalam pemilihan Mac nanti kedudukan yang disandang juga mungkin terbang dan melayang. Jadi antara kepentingan peribadi dengan kepentingan parti yang mana harus diberi keutamaan. Kalau dalam pemilihan UMNO kita berjaya tetapi dalam pilihan raya kita gagal, jadilah kita umpama menang sorak kampung tergadai.

Kepimpinan harus akur bahawa rakyat kini telah mula menilai sejauh mana kemampuan UMNO membantu rakyat berbanding dengan Pakatan Rakyat. Mana-mana parti yang berjaya menawan hati rakyat, itulah yang menjadi pilihan mereka. Kita tidak boleh salahkan rakyat, kerana mereka berhak memilih yang terbaik dari yang baik-baik.

Isnin, 19 Januari 2009

UMNO tidak releven di Kuala Terengganu

Kekalahan UMNO di Kuala Terengganu memberi impak yang besar menjelang Perhimpunan Agong UMNO Mac nanti. Sejak Pilihan Raya Umum sudah ada dua kali Pilihan Raya Kecil. Kalau di Permatang Pauh kerusi PKR kembali kepada PKR tetapi di Kuala Terengganu kerusi UMNO, kini menjadi milik PAS.

Rakyat telah membuat pilihan mereka. Sekarang kepimpinan tertinggi UMNO mesti menilai diri masing-masing, apakah rakyat masih menerima mereka selepas PRU yang lalu. Ini adalah kerana kempen yang keterlaluan semasa pemilihan Bahagian membuatkan rakyat mula muak dengan UMNO. Sekiranya perwakilan UMNO silap membuat perhitungan pada Mac nanti, padahnya UMNO mungkin di talkin selepas PRU ke-13 nanti.

Persoalannya mampukah bakal Perdana Menteri, Datuk Najib membawa UMNO/BN untuk memperolehi majoriti 2/3 di Parlimen dan menawan semula lima negeri dalam PRU-13 nanti. Ini adalah kerana dalam dua PRK, ternyata Datuk Najib gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan berkesan. Sewajarnya para perwakilan dalam PAU nanti memilih barisan kepimpinan yang boleh diterima rakyat bukannya yang hanya boleh diterima oleh warga UMNO sahaja. Ini amat penting bagi memastikan UMNO terus releven. Kalau para perwakilan gagal membuat pilihan yang tepat pada Mac nanti, rakyat akan meluahkan perasaan tidak puas hati mereka atas kertas undi dalam PRU-13 nanti.

Selasa, 6 Januari 2009

Tamparan awal KT - Calon Akim sokong PAS

Tiga calon bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu ialah calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, calon Pas, Abdul Wahid Endut dan calon bebas, Azharudin Mamat. Sementara itu, dua lagi calon yang disebut-sebut sebelum ini untuk bertanding pada pilihan raya itu iaitu calon Bebas, Isma Airsath dan Maimun Yusuf tidak kelihatan sehingga tamat proses penamaan calon itu.


Pertandingan tiga penjuru ini sama seperti di PRK Permatang Pauh, cuma di Kuala Terengganu di tandingi oleh calon Bebas selain dari BN dan PAS. Penarikkan diri calon AKIM Harun Mohamad dari bertanding dan keputusan beliau menyokong parti PAS merupakan tamparan awal kepada BN. Walaupun tindakan Harun Mohamad tidak direstui partinya AKIM, namun ianya memberi mesej jelas bahawa AKIM Kuala Terengganu tentunya berpihak kepada PAS.

Jentera BN haruslah mantap dalam melaksanakan tugasan kempen. Rakyat bukannya mahu pembangunan semata-mata tetapi keperihatinan kerajaan terhadap rakyat perlu diberi keutamaan. Keperitan hidup rakyat haruslah ditanggani secara sistematik bukannya bila ada saja PRK baru pemerintah hendak memenuhi kehendak rakyat di kawasan tersebut. Pembangkang akan mencari seberapa banyak kelemahan BN dan BN perlu menangkis segala tuduhan secara berhemah bukan dengan melatah.

Jumaat, 2 Januari 2009

Debaran menanti Mac 2009

Tahun baru telah menjelma. Maka hanya tinggal tiga bulan lagi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) akan diadakan. Sekarang ini jentera BN/UMNO tertumpu di Kuala Terengganu. BN harus memastikan Timbalan Menteri Dalam Negeri itu menang dengan selesa. Kempen mengambil hati pengundi bukan Melayu telah bermula, kempen memenangi orang Melayu harus dipergiatkan. UMNO dan PAS adalah seimbang di sana. Satu cabaran besar menanti. Kalau kalah Dato' Wan Farid hanya akan bergelar Ketua Bahagian tanpa sebarang porfolio dalam kabinet.

Selepas Pilihan Raya Kecil(PRK) ini tentunya para calon yang bertanding dalam PAU akan mulakan kempen bagi memastikan mereka diberi undi pada PAU 2009. Undi ini juga bakal menentukan arah tuju negara tercinta ini. Sekiranya UMNO mempunyai presiden dan timbalan presiden yang sehaluan, maka kapal yang dinakhodai ini boleh menuju kepelabuhan dengan jayanya, tetapi jika sebaliknya, amat sukar untuk UMNO pulih terutama dalam PRU akan datang.

Begitu juga juga dengan pemilihan naib-naib presiden, mereka merupakan pemimpin kanan masa depan yang mampu mencorakkan agenda negara. Hanya para perwakilan UMNO seluroh Malaysia yang akan menentukan arah tuju sebenar UMNO dan kempimpinannya. Kalau lagu dan irama yang mereka bawa ke PAU nanti sama seperti lagu dan irama diperingkat bahagian tentunya ianya mengecewakan warga UMNO keselurohannya.