Isnin, 10 Disember 2012

BN Kedah bela kebajikan rakyat

ALOR SETAR 9 Dis. - Peranan Barisan Nasional (BN) Kedah dalam menjaga kebajikan rakyat cukup menyerlah dalam pelbagai program yang dijalankan termasuk secara rasmi dengan kerjasama beberapa agensi Kerajaan Pusat atau atas kapasiti UMNO bahagian, wakil rakyat dan pemimpin parti.

Pengerusi BN Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, antara agensi yang terlibat adalah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) menerusi Program Jasa Prihatin, Kemas, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Unit Penyelarasan dan Perlaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).
"Antara bantuan kebajikan yang disalurkan adalah membantu mangsa kebakaran, mangsa ribut, banjir, sakit, tanaman yang mengalami kerosakan, keluarga susah, bantuan rawatan di hospital serta bantuan persekolahan.

"Begitu juga apabila tiba musim perayaan seperti Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali, pelbagai jenis bantuan dihulurkan bagi memastikan golongan kurang berkemampuan turut sama menyambut perayaan berkenaan dengan meriah," katanya di sini hari ini.

Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, pada Ramadan lalu, kira-kira 45,000 penduduk miskin mendapat bantuan barangan keperluan dan wang tunai. Katanya, dalam sambutan Deepavali dan Tahun Baru Cina pula pemimpin BN sentiasa sibuk turun padang bertemu rakyat dan menyampaikan bantuan kerana parti itu amat merasai denyut nadi rakyat yang kurang berkemampuan.

Menurutnya, antara bantuan terbaharu adalah sumbangan RM3,000 seorang kepada 12 peniaga di Pekan Jeniang yang premis peniagaan mereka terbakar pada Oktober lalu.
"Semasa banjir besar melanda Kedah pada 2010, pemimpin BN Kedah adalah yang paling ke hadapan membantu mangsa banjir.
"Mereka bertungkus lumus membantu di pusat pemindahan banjir, membantu menghulurkan makanan kepada mangsa yang tidak mahu berpindah serta melawat rumah mangsa banjir bagi memastikan keselamatan dan keperluan mereka," katanya.
Ahmad Bashah berkata, selepas banjir 2010, pelbagai jenis bantuan dihulurkan seperti wang RM500 kepada keluarga yang terlibat, bantuan barangan seperti tilam dan dapur serta bantuan terhadap kerosakan tanaman.

Bagi BN Kedah, katanya, memang menjadi iltizam parti itu untuk membantu seluruh rakyat Kedah terutama di saat mereka paling memerlukan iaitu semasa bencana dan kesusahan. "Kita adalah parti yang peduli dengan kesusahan rakyat dan akan berusaha membantu mereka sedaya upaya. "Janji kita juga, rakyat akan sentiasa dibantu. Kita mahu setiap rakyat turut sama merasai nikmat kejayaan negara. Yang susah adalah keutamaan BN Kedah," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, BN Kedah akan terus memperbanyakkan bantuan kepada seluruh rakyat negeri ini sekiranya diberi peluang memerintah Kedah kembali.
Menurutnya, BN amat menyedari rakyat mengharapkan bantuan kerajaan dan BN adalah parti yang sentiasa mempedulikan rakyat menerusi slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'. "Memperjuangkan kepentingan rakyat adalah azimat dan matlamat kami dan kami akan berusaha demi rakyat Kedah, itu janji kami," katanya. - Sumber - Utusan