Selasa, 19 April 2011

Persiapan menjelang PRU ke-13

ALOR SETAR 18 April - Semua bahagian UMNO di negeri ini diarahkan supaya memberi tumpuan khusus kepada perbincangan menyediakan jentera parti yang lebih padu dan berkesan pada mesyuarat perwakilan bahagian masing-masing yang dijadual bermula bulan depan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, para perwakilan mesti mengetepikan perkara remeh temeh dan mengelakkan pertelingkahan pada mesyuarat berkenaan kerana agenda besar yang perlu diberi fokus adalah memastikan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 berjalan lancar.

Tambahan, kata beliau, tiada pemilihan parti di peringkat bahagian diadakan pada tahun ini sekali gus membolehkan komitmen penuh diberikan kepada agenda tersebut.

"Kita mahu menyelesaikan mesyuarat bahagian UMNO dengan sebaiknya kerana agenda besar ialah menghadapi pilihan raya umum. Dalam mesyuarat perwakilan bahagian nanti, baik kita membincangkan mengenai persiapan kita ke arah itu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat badan berkenaan di Bangunan Tunku di sini semalam.

Ahmad Bashah berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) kini perlu mengerah segala tenaga dan pemikiran untuk menghadapi PRU yang akan diadakan pada bila-bila masa bagi merampas semula pemerintahan negeri ini daripada pembangkang.

Bagi tujuan itu kata beliau, persiapan awal telah pun dimulakan dengan menumpukan kepada gerak kerja yang melibatkan pergerakan Pemuda, Puteri dan Wanita di semua peringkat.

"Tumpuan gerak kerja jentera tersebut termasuk menarik ahli-ahli baru, mendekati pengundi, memeriksa pendaftaran pengundi, mengadakan kursus kepimpinan dan program penerangan kepada masyarakat mengenai isu-isu," katanya.

Menurut beliau, UMNO Kedah turut memperkenalkan kursus Mental, Jasad dan Roh (Mejar) yang merupakan medium paling kuat dalam membentuk jati diri seorang kepada pengundi baru yang bakal menjadi tenaga barisan hadapan parti itu.

Katanya, peringkat pertama kursus berkenaan melibatkan seramai 4,500 peserta di seluruh negeri ini dengan setiap bahagian UMNO menghantar kira-kira 300 wakil - Sumber Utusan Malaysia