Selasa, 29 September 2009

Isa Samad sah calon BN di Bagan Pinang

PORT DICKSON 29 Sept. – Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad hari ini diumumkan secara rasmi sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang pada 11 Oktober ini.
Pengumuman itu dibuat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Pengerusi BN dalam majlis Jamuan Hari Raya
Aidilfitri BN peringkat negeri di Batu 6, Jalan Pantai dekat sini petang ini.
Mohd. Isa, 60, merupakan Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 23 tahun.
Hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu ialah pada 3 Oktober ini.
Terdapat 13,664 pengundi berdaftar layak mengundi pada Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang dengan 9,060 merupakan pengundi biasa manakala 4,604 pengundi pos.
DUN Bagan Pinang mempunyai 62.7 peratus pengundi Melayu, 20.7 peratus India, 10.9 peratus Cina dan 5.5 peratus kaum lain.
Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Azman Mohd Nor pada 4 September lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-12, Allahyarham Azman memenangi kerusi DUN itu selepas mendapat 6,430 undi mengalahkan calon Pas, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi. - Utusan
Sebelum keputusan ini diumumkan lagi pelbagai pihak dari UMNO Bahagian telah menyatakan sokongan mereka kepada TS Isa. Mungkin amat sukar bagi pucuk pimpinan membuat keputusan memandangkan TS Isa adalah seorang veteran UMNO dan bekas Menteri Besar.
Kini keputusan sebenar terletak ditangan pengundi Bagan Pinang, apakah TS Isa masih relevan di sana atau sebaliknya. Sekiranya BN kalah dalam PRK ini, imej BN akan jatuh merudum. Apa yang penting kini adalah kerja kuat jentera BN bagi memastikan calon BN terus mengekalkan kerusi Bagan Pinang.