Selasa, 25 November 2008

Tekad bakal perdana menteri

“Kami bertekad untuk membuat yang terbaik dan InsyaAllah akan merampas semula majoriti dua pertiga seperti mana yang dinikmati sebelum ini,” ujar beliau dalam temuramah dengan agensi berita AFP di sela-sela Sidang kemuncak APEC di Peru hari Isnin. Selain tekad tersebut, Najib menjelaskan keutamaan yang perlu dilakukan bagi melonjakkan semula imej gabungan parti pemerintah. “Parti perlu disegarkan semula terutama dalam soal imej dan bagaimana masyarakat melihat UMNO dan BN,” katanya - petikan dari Agendadaily.com

Kenyataan bakal presiden UMNO yang juga bakal perdana menteri cukup mengambarkan tekad dan harapan yang cukup tinggi. Tekad dan harapan perlu disusuli dengan kesungguhan dan kerja kuat bagi membina semula keyakinan rakyat terhadap UMNO. Persepsi negatif rakyat terhadap BN/UMNO perlu dikikis sebaik mungkin.

Beberapa perkara perlu perhatian segera. Pertama, rasuah dalam UMNO perlu dibenteras dan dilenyapkan bagi menyakinkan rakyat bahawa pimpinan yang di pilih adalah berasaskan kepada integriti sesaorang calon. Sekiranya calon yang menang hanya bertunjangkan kepada sogokkan, ianya akan menghakis kepercayaan rakyat kepada pucuk pimpinan. Sekiranya rakyat sudah hilang keyakinan kepada pucuk pimpinan, amat sukar untuk BN menawan kembali negeri-negeri yang tewas dalam PRU yang lalu.

Kedua, Kewibawaan sesaorang menteri yang dilantik juga harus di perhalusi. Lantikan menteri mestilah berasaskan merit supaya menteri yang di lantik dapat memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat. Kita tidak mahu menteri yang hanya pandai "berkokok" tetapi tidak mampu menanggani masalah rakyat. Sekiranya masalah rakyat gagal di atasi, rakyat pasti akan menolak BN sekali lagi dalam PRU akan datang.

Ketiga, Dalam menghadapi masalah ekonomi global, pucuk pimpinan mestilah membina kekuatan tersendiri dan mampu menanggani situasi semasa dengan baik dan tenang. Bebanan rakyat perlu dikurangkan. Jangan terlalu menghimpit rakyat dalam membuat sesuatu keputusan. Sekiranya rakyat terus terhimpit mereka terpaksa membuat pilihan.