Ahad, 19 Julai 2009

Program latihan bagi pemimpin UMNO

SHAH ALAM 19 Julai — Pemimpin Umno di semua peringkat akan mengikuti program latihan dan motivasi secara berperingkat bagi menyuntik semangat baru di kalangan mereka mulai bulan depan. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata program latihan itu juga untuk mengukuhkan kepemimpinan parti dan meneruskan usaha bagi memperjuangkan nasib orang Melayu dan masyarakat Malaysia.
Beliau berkata program itu akan dimulakan dengan pembabitan Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno di Institut Latihan Memperkasa Umno (ILMU), Janda Baik, Pahang. Menurutnya program yang dipersetujui di peringkat Jawatankuasa Pengurusan dan MT Umno itu, akan diperluaskan ke seluruh negara membabitkan pemimpin Umno di peringkat bahagian dan cawangan.

“Program ini akan melibatkan semua peringkat pimpinan sebab merekalah menjadi penggerak utama yang akan membimbing ahli-ahli parti di peringkat cawangan dan kita mahu supaya ada imej baru yang dapat kita tonjolkan. “Ia (modul-modul program) juga akan digandingkan dengan tindakan mesra rakyat seperti mendengar dan menyelesaikan rintihan masyarakat secara berkesan,” kata Timbalan Presiden Umno kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Shah Alam di sini, hari ini.
sumber - BERNAMA
Ini adalah salah satu langkah positif kearah memantapkan kembali UMNO. Usaha sebegini hendaknya dapat memberi kesan positif. Kepimpinan peringkat Cawangan dan Bahagian yang membuat jati diri mampu untuk memperbaiki prestasi serta menyakinkan rakyat/pengundi tentang hala tuju UMNO sebenarnya. Diharapkan kepimpinan di semua peringkat menyambut baik usaha ini.
Bagi menghadapi PRU akan datang, UMNO mestilah mula mengerakkan semua jentera dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan. Bagi negeri-negeri yang tewas dalam PRU yang lalu, usaha sebegini perlu dipertingkatkan lagi. Rakyat akan menilai sejauh mana kemampuan UMNO/BN melaksanakan tanggungjawab sosial mereka. Sebenarnya UMNO bukanlah sebuah parti 'elit' tetapi ianya adalah parti untuk semua orang Melayu.

4 tumpuan UMNO kini

Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, empat agenda itu ialah memastikan parti berkenaan berjaya dalam setiap pilihan raya pada masa depan; memperkuatkan parti; menyatupadukan orang Melayu; dan usaha mengukuhkan sokongan anggota parti komponen Barisan Nasional (BN) kepada UMNO.

Beliau berkata, setiap anggota UMNO kini perlu berani membuat pembaharuan dalam parti supaya ia menjadi ejen tarikan kepada parti itu untuk terus menerajui BN pada masa depan. sumber - Utusan Malaysia


Semua agenda yang disebutkan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia ini hendaklah di praktikkan dalam semua bentuk kepimpinan parti. Bermula dari cawangan terus ke bahagian. Manakala UMNO peringkat negeri harus memantau supaya semua agenda ini dilaksanakan. Masa berlalu dengan begitu pantas. Untuk itu barisan kepimpinan mesti mengutamakan parti demi mengubah persepsi umum terhadap UMNO.


Gunakan sepenuh mensyuarat perwakilan yang sedang berlangsung untuk mengukuhkan parti. Jauhi sengketa sesama sendiri. Harus diingat rakyat memerhati gelagat kepimpinan UMNO hari ini. Sekiranya kepimpinan bermula dari peringkat Pusat, Negeri , Bahagian dan Cawangan telah berubah, hati rakyat juga akan berubah kembali memberi sokongan kepada UMNO. Keputusan PRK Manik Urai membuktikan bahawa UMNO/BN masih diterima rakyat.


Kini sepatutnya kepimpinan UMNO mesti bekerja keras supaya hasilnya bakal dapat dipungut dalam PRU ke-13 nanti. Tanpa kerja kuat amat sukar untuk UMNO menyakinkan pengundi, hatta ahli UMNO itu sendiri. Jangan pinggirkan ahli-ahli UMNO dimana-mana peringkat. Sokongan akar umbi amat diperlukan bagi memastikan UMNO terus relevan.