Jumaat, 10 Mei 2013

Masyarakat Cina kurang sifat perpaduan, kata sejarahwan kepada Utusan

KUALA LUMPUR, 10 Mei — Tokoh sejarahwan dalam akhbar pro-kerajaan Utusan Malaysia menyifatkan masyarakat Cina tidak memahami perpaduan, ia ekoran sokongan buruk masyarakat tersebut ke atas Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini.


Di dalam artikel bertajuk “Suara Tokoh Cina”, pakar sejarah Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim berkata sifat perkauman dalam masyarakat tersebut masih menebal sejak mereka masuk ke Malaya selepas dibawa oleh penjajah British.

“Kaum Cina tidak faham tentang semangat perpaduan. Ramai daripada mereka tidak anggap Malaysia sebagai negara sendiri sebaliknya sentiasa merasakan dijajah,” kata Khoo yang dipetik berkata dalam Utusan Malaysia. “Sebab itu semangat perkauman mereka masih tebal.”

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia tersebut paling lantang mengkritik dan menyalahkan masyarakat Cina ke atas prestasi buruk BN dalam Pilihan Raya 2013 disamping menyerang DAP yang dikatakan menghasut masyarakat tersebut.

Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga selepas keputusan PRU13 mengeluarkan kenyataan kontroversi apabila mengganggap pilihan raya kali ini adalah “Tsunami Cina” dan kemudiaan Utusan Malaysia menyokongnya dengan mengeluarkan artikel berbentuk perkauman “Apa lagi Cina mahu”.

Budayawan profesor Dr Lim Swee Tin pula menegaskan masyarakat Cina tidak mampu berpecah daripada masyarakat Melayu dan India kerana kekuatan pentadbiran negara memerlukan penyatuan.

Walaubagaimanapun, Lim menyatakan masyarakat Cina tidak berupaya menangkis niat jahat daripada pihak berkepentingan sama ada dari luar mahupun dalam negara terhadap kejahteraan Malaysia secara sendirian tanpa bantuan daripada masyarakat Melayu dan India.

“Saya penuh yakin dengan kemampuan Datuk Seri Najib Razak untuk memulihkan keadaan ini dengan membentuk penyatuan nasional.

“Kita pernah hadapi situasi cemas seumpama ini, tetapi kerana kebijaksanaan pemimpin-pemimpin negara, maka rakyat kembali bersatu,” kata Lim.

Disamping itu, parti pembangkang juga wajar dipersalahkan atas situasi yang berlaku ini kerana janji mereka tawarkan, kata pensyarah kanan Jabatan Pengajian Tionghua Universiti Malaya, Dr Thock Ker Pong.

Thock berkata masyarakat Cina melihat kejayaan transformasi yang dibawa oleh BN sejak beberapa tahun ini tetapi konsep perpisahan antara kaum mengikut komponen menjadi batu penghalang untuk mereka mengundi gabungan pemerintah tersebut.

“Saya juga merasakan BN gagal untuk melihat kepentingan mengutamakan golongan berpendapatan sederhana dalam setiap pemberian yang dilakukan.

“Ini kerana ramai kaum Cina berada pada kelas pertengahan dan mereka tidak merasai apa-apa daripada transformasi itu,” katanya.

Penganalisis telah menekankan keputusan Pilihan Raya 2013 bukanlah “Tsunami Cina” seperti didakwa oleh Najib akan tetapi peralihan besar pengundi bandar dan kelas menengah yang menyaksikan jurang antara bandar-luar bandar Malaysia semakin luas.

BN memenangi 133 berbanding 222 kerusi yang dipertandingkan untuk parlimen, menurun tujuh kerusi, kepada pembangkang jika dibandingkan dengan keputusan Pilihan Raya 2008.

Daripada 89 kerusi dimenangi PR, DAP memperolehi kerusi terbesar dengan 38 kerusi.

BN turut hilang undi popular kepada PR - pertama kali sejak 1969 ketika parti itu dikenali sebagai Parti Perikatan.

Malaysian Insider


..

Khamis, 9 Mei 2013

Pak Lah: Jangan jadikan keputusan PRU13 isu perkauman

KUALA LUMPUR - Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata pengganti beliau Datuk Seri Najib Tun Razak masih menjadi pemimpin terbaik untuk menerajui negara selepas pilihan raya umum.


Bekas Perdana Menteri itu berkata beliau memberikan sokongan penuh kepada Najib dan berharap perdana menteri akan meneruskan agenda transformasi beliau.

"Rakyat Malaysia telah memberikan isyarat jelas yang mereka mahukan perubahan dan Najib perlu respons kepada itu dengan mempergiatkan lagi program transformasi beliau untuk menangani isu seperti rasuah, jenayah dan kos hidup.

"Saya percaya beliau sudah mempunyai strategi-strategi untuk melakukan penambahbaikan dalam bidang-bidang berkenaan," kata bekas Perdana Menteri itu dalam kenyataan hari ini.

Abdullah kini berada di Bahrain untuk menghadiri mesyuarat tahunan ke-31 Majlis Antara Tindakan.

Abdullah yang melepaskan jawatan awal 2009 berkata, beliau juga ingin menyeru supaya rakyat bersatu padu dan sedia untuk bermuafakat. "Kita tidak boleh membiarkan sebarang percubaan untuk menjadikan keputusan pilihan raya sebagai isu perkauman".

"Tindakan tuduh-menuduh dan menyalahkan mana-mana komuniti adalah tidak adil dan tidak memberi manfaat," katanya. Abdullah juga mahu pihak pembangkang untuk menerima dan menghormati keputusan pilihan raya.

"Rakyat Malaysia berhak untuk menikmati kestabilan dan kepastian yang hanya tercapai apabila semua pihak dapat memperakui keputusan pilihan raya".

"Marilah kita terus maju ke depan demi kepentingan semua rakyat Malaysia," katanya.

Sinar Harian

Selasa, 7 Mei 2013

Pengkhianat parti kena tindakan

calon
Ali (dua, kiri) dilihat bersalaman dengan calon PKR (dari kiri) Simon Ooi, Johari dan Dr Robert yang diumumkan memenangi kerusi Dun Bakar Arang, Parlimen Sungai Petani dan Dun Sidam

SUNGAI PETANI - Senarai pemimpin Umno yang membantu calon Bebas bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bakal dihadapkan ke Jawatankuasa Khas Lembaga Disiplin kerana bersubahat dengan pengkhianat parti.


Ali Yahaya yang memenangi kerusi Dun Pantai Merdeka berkata, mana-mana pemimpin yang didapati membantu calon Bebas bertanding juga akan dikenakan tindakan. Ali Yahaya yang memenangi kerusi Dun Pantai Merdeka berkata, mana-mana pemimpin yang didapati membantu calon Bebas bertanding juga akan dikenakan tindakan.

Menurutnya, ahli Umno yang mewakili Bebas bertanding dalam PRU ke-13 dipecat Jawatankuasa Khas Lembaga Disiplin Umno dan mana-mana pemimpin yang membantu mereka juga bakal dikenakan tindakan.
“Kita sudah lapor kepada Jawatankuasa Khas Lembaga Disiplin Umno berhubung mereka yang terlibat, termasuk pemimpin parti yang menyokong dari belakang. “Fenomena ini sebenarnya berlaku daripada pemimpin kecewa yang tidak dicalonkan kepimpinan parti,” katanya.

Walaupun menerima tentangan hebat daripada penyokong di Dun Pantai Merdeka (N27) setelah BN Kedah mengumumkan beliau sebagai calon, Ali berkata, dia tetap berkempen dan turun padang. “Saya akui berhadapan tekanan sepanjang berkempen, tetapi bersyukur akhirnya penduduk di N27 tetap memberi sokongan sehingga membolehkan BN merampas kembali Pantai Merdeka daripada Pas,” katanya.

Ali menang dengan majoriti 1,707 apabila mendapat undian 15,393 mengalahkan Abdullah Jusoh (Pas) 13,686. Calon Bebas bagi kerusi N27 ialah bekas Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Sungai Petani, Mohd Yusof Lazim, yang hanya memperoleh 316 undi.

Ali berkata, beliau sebagai Ketua Umno Bahagian Sungai Petani akan merombak semula kepimpinan di bahagian itu bagi memantapkan parti. Menurutnya, kekalahan BN di Dun Sidam dan Dun Bakar Arang termasuk di kerusi Parlimen atas faktor tertentu kerana menjangkakan sukar untuk mendapat undi daripada masyarakat Cina.

“Saya akan bekerja keras lagi selepas ini termasuk di Parlimen di mana kita akan rombak semula kepimpinan dengan gabungan orang lama dan muda untuk mantapkan Umno di Sungai Petani. “Walaupun gagal menguasai Parlimen Sungai Petani, tetapi kita menguasai kerajaan tempatan termasuk akan bekerjasama sepenuhnya dengan agensi Kerajaan Pusat dan negeri,” katanya.

Katanya, kemenangan satu kerusi BN di Pantai Merdeka amat bermakna kerana menyumbang kepada pembentukan Kerajaan BN Kedah yang sebelum ini diterajui Pas. - Sinar Harian - 07.05.2013