Selasa, 23 April 2013

BN perlu kerja kuat tawan semula Sungai Petani

SUNGAI PETANI - Sungai Petani, antara bandar paling membangun di samping Kulim dan Alor Setar di negeri jelapang padi ini, dihuni oleh semua kaum yang ada di Malaysia termasuk Iban dan Orang Asli.
Keunikan Parlimen Sungai Petani juga kerana penduduknya terbahagi tiga iaitu bandar, pinggir bandar dan pedalaman, bermakna taraf sosio mereka dikategorikan senang, sederhana dan miskin.
Faktor ini bermaksud wakil rakyat sama ada anggota Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (Dun) mestilah daripada kalangan orang yang tinggal dan menetap di kawasan ini dan boleh memberi khidmat jika mahu dipilih pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Pertandingan empat penjuru di Parlimen Sungai Petani serta tiga Dun dalam kawasannya iaitu Pantai Merdeka dan Bakar Arang, masing-masing tiga penjuru manakala Sidam, lima penjuru boleh menggambarkan laluan berliku Barisan Nasional (BN).
Pemerhati politik tempatan meramalkan BN tidak akan mendapat laluan mudah dan hanya kerja kuat habis-habisan untuk menjamin kemenangan.
"Latar belakang pengundi dalam tiga kategori tadi menuntut wakil rakyat yang dekat di hati, mudah dihubungi dan ditemui. Faktor pendidikan tinggi bukan keutamaan mereka.
"BN boleh tumbang semua empat kerusi ini jika menganggap pihak lawan tidak menggugat walaupun mereka calon Bebas," kata pemerhati politik yang ditemui Bernama di sini malam tadi.
Penyandang Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul daripada PKR yang ditemui berkata beliau tidak mengenali calon BN, Dr Syamsul Anuar Che Mey, seolah-olah memperlekehkannya.Dua lagi ialah Ong Wei Sin (Bebas) dan Suhaimi Hashim (Kita).
Wei Sin ialah bekas Naib Ketua Pemuda MCA Kedah dan Ketua Pemuda MCA Sungai Petani.
Di Dun Pantai Merdeka, Ketua Umno bahagian Sungai Petani, Ali Yahya 'diganggu' bekas ahli jawatankuasanya, Mohd Yusuf Lazim yang bertanding atas tiket Bebas untuk menentang penyandang, Abdullah Jusoh (Pas).
Ali bagaimanapun penuh yakin sokongan untuk Mohd Yusuf tidak seteruk yang dijangka berdasarkan komitmen jawatankuasa bahagian termasuk Wanita dan Puteri Umno selain mengharapkan undi BN tidak pecah.
Bakar Arang pada 2008 dimenangi calon PKR, namun kali ini menyaksikan ketiga-tiga calon iaitu Lee Yean Wang (BN), Ooi Tze Min (PKR) dan Ong Kah Soon (Bebas) bertanding buat pertama kali.
"Harapan untuk merampas kembali Bakar Arang lebih cerah berbanding Pantai Merdeka manakala Sidam sukar diramal kerana tiga calon Bebas yang bertanding mempunyai pengaruh tersendiri," tambah mereka.
Seorang veteran Umno Sungai Petani yang enggan namanya disiarkan berkata Ooi Beng Kooi (Bebas) adalah bekas jawatankuasa parti Gerakan Sungai Petani manakala bekas ketua Pemuda PKR Kedah dan pemimpin parti Kita Kedah, Zamil Ibrahim turut bertanding sebagai calon Bebas.
Calon BN, Bee Sieong Heng juga berdepan Robert Ling Kui Ee (PKR), Uh Chorng Von (Kita) dan seorang lagi calon Bebas, Tan Hock Huat.
Sebanyak 40.5 peratus daripada 25,183 pengundi Sidam adalah Cina, Melayu (37.6 peratus), India (21 peratus) dan lain-lain 0.9 peratus.
Zamil yang sempat ditemui berkata beliau bertanding dengan misi untuk memelihara kepentingan orang Melayu di Sidam sejak kerusi itu diserahkan kepada Gerakan sejak sekian lama.
"Saya fikir ada kelebihan berbanding calon-calon lain. Selain sokongan rakan-rakan di sini, undi protes mungkin memihak kepada saya," tambahnya. - Bernama