Selasa, 7 September 2010

Najib diminta campur pergolakan Umno Sungai Petani

Kumpulan anti ketua bahagian Umno Sungai Petani, Ali Yahya kini mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak campurtangan bagi menyelesaikan pergolakan dalaman bahagian itu. Pengerusi Gerakan Anti Ali (GAA), Abu Bakar Ahmad berkata hasrat itu dinyatakan dalam pertemuan mereka dengan Timbalan Pengerusi Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanifah pagi tadi di sebuah hotel di Sungai Petani.

Abu Berkata mereka mengadakan pertemuan itu kerana tidak puas hati terhadap Umno negeri yang didakwa mengenepikan pihaknya dalam rundingan dengan pejabat agung sehingga arahan dikeluarkan tanpa mendapat pandangan semua pihak. Katanya, pihaknya meminta supaya Ahmad Bashah menetapkan tarikh dan masa untuk bertemu dengan Najib. Ini kerana mereka berbuat demikian tidak mahu "membelakangkan" Ahmad Bashah sebagai pemantau bahagian berkenaan.

Abu Bakar juga malah mendakwa pihaknya tidak menerima surat itu yang dikeluarkan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor yang bertarikh 19 Ogos lalu, antaranya didakwa mengarahkan Ali Yahya menjalankan tugas sebagai ketua bahagian seperti biasa. "Kalau begitu, gantung (pentadbiran bahagian) buat apa, Dah gantung, mana boleh jalankan tugas, "kata Abu Bakar Ahmad yang juga bekas pemangku ketua bahagian berkenaan.

Katanya, kerana tidak dibawa berbincang, mereka tidak tahu apa yang sebenarnya dijelaskan kepada Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya. "Beliau (Ahmad Bashah) sepatutnya berbincang dengan kita dan Ali, kemudian bawa dua rumusan (hasil perbincangan) dan bawa ke pengetahuan beliau," katanya merujuk lepada pertemuan Umno negeri dengan Ali pada 16 Ogos lalu di Kuala Lumpur.

Ditanya arahan Tengku Adnan dalam surat itu, Ahmad mendakwa Umno negeri diarahkan mengambil alih pentadbiran bahagian secara keseluruhan, termasuk ketiga-tiga sayap parti dan setiap mesyuarat bahagian perlu dihadiri oleh pengerusi Umno negeri atau wakilnya.

pada 21 Julai lalu, Umno Sungai Petani diambil alih pengurusannya oleh perhubungan negeri ekoran perbalahan dan kekecohannya dalam mensyuarat perwakilan bahagian itu pada 11 Julai lalu. Sumber - Malaysiakini (06/09/10)

Isnin, 6 September 2010

UMNO Sungai Petani masih bergolak

Kemelut perebut jawatan UMNO Bahagian Sungai Petani masih belum selesai. Gerakan Anti-Ali (GAA) mengakui bahawa ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Ali Yahya masih lagi memegang jawatan berkenaan.

Bagaimanapun beliau dikatakan tidak lagi mempunyai kuasa untuk mengurus dan menjalankan program di bahagian itu termasuk menyampaikan ucapan dalam program yang diadakan. "Majlis Tertinggi sudah menyerahkan kepada UMNO Kedah untuk mengambil alih keseluruhan pentadbiran, majlis dan program yang diadakan. Di (Ali) tidak boleh menguruskan program".

"(Dia) tak boleh sampaikan ucapan. Tak boleh... Macam kita pergi kerja ke pejabat, atas meja ada surat. Tapi kita tak boleh tandatangan surat, (dan) tidak boleh beri ucapan (dalam program) kata setiausaha GAA, Khairul Anuar Zainol."

Namun menurut Khairul Anuar, Ali di kesan melanggar arahan itu dengan menghadiri satu majlis pemberian elaun kepada Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) dan juga menyampaikan ucapan pada majlis tersebut. Katanya, beliau dimaklumkan berhubung perkara berkenaan daripada salah seorang pengerusi JKKKP yang hadir dalam majlis yang dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) pada 29 Ogos lalu.

Sehubungan itu, Khairul Anuar yang juga ketua UMNO Cawangan Industri, Sungai Petani mengesa Ali supaya "duduk berehat" dan memberi peluang kepada perhubungan UMNO negeri menguruskan program di bahagian tersebut dengan baik. Khairul Anuar mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa keputusan Majlis Tertinggi (MT) mengekalkan Ali sebagai ketua bahagian Sungai Petani setelah memutuskan pengurusan bahagian tersebut diambil alih oleh UMNO Kedah.

Mengulas lanjut, beliau juga menggesa jawatan yang diberikan atas kapasiti Ali sebagai ketua bahagian "dibekukan" termasuk jawatan Penyelaras Parlimen dan Pengerusi majlis pembangunan pertanian negeri sehingga Perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden UMNO "membuat keputusan".

Bukan prejudis

"Apabila keadaan selesai, dia ambil balik (jawatan tersebut), kita bukan prejudis sangat, katanya." Khairul Anuar juga mengesa UMNO Negeri supaya bersikap lebih telus dengan memanggil kedua-dua kumpulan, kumpulan Ali dan GAA untuk mendengar segala masalah yang timbul bagi menyelesaikannya dengan kadar segera.

Pada 21 Julai lalu, UMNO bahagian Sungai Petani diambil alih pengurusannya oleh Perhubungan Negeri ekoran perbalahan dan kekecohannya dalam mesyuarat bahagian itu AGM pada 11 Julai lalu. Persidangan perwakilan UMNO bahagian Sungai Petani kecoh apabila sebahagian perwakilan tidak membenarkan Ali berucap dimajlis perasmiannya. Keadaan bertambah kecoh apabila lebih ramai perwakilan bangun termasuk Naib Ketua bahagian, Datuk Firdaus Zakaria dan Ketua Puteri Sungai Petani, Shahanim Mohd Yusof yang turun dari pentas meminta Ali berundur sehingga menyebabkan pertikaman lidah antara perwakilan dengan ponyokong Ali.

Isu itu dirujuk kepada MT yang kemudianya menyerahkannya kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri untuk mencari jalan penyelesaian dengan diketuai Ahmad Bashah, yang dilantik pemangku ketua UMNO bahagian Sungai Petani. Selepas itu, Ahmad Bashah mengumumkan Ali kekal ketua bahagian tetapi diprotes GAA yang menganggap timbalan pengerusi UMNO Negeri (Ahmad Bashah) masih memangku jawatan Ali selaras dengan arahan MT dan Ali sewajarnya tidak memegang sebarang jawatan - sumber Malaysiakini (04/09/10)