Isnin, 17 Januari 2011

UMNO Kedah gerak jentera pilihan raya bulan depan

ALOR SETAR 17 Jan. - UMNO Negeri Kedah akan mula menggerakkan jentera pilihan rayanya bulan depan bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya umum diadakan pada tahun ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, UMNO perlu bersedia dan bersiap dengan segera bagi memperlihatkan kesungguhan untuk menawan semula Kedah kerana masa sudah suntuk.

Katanya, program Gelombang Merah akan dikerahkan bulan depan dan melakukan penambahbaikan terhadap program-program sebelum ini dengan slogan “BN Menang Kedah Senang”.

”Kena gerak betul-betul. Kita juga kena siapkan “bilik perang” yang dulu dikenali sebagai bilik gerakan. Kita akan wujudkan di setiap 672 daerah mengundi. Bilik ini peringkat bahagian pun ada, negeri pun ada,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan UMNO negeri malam tadi.

Ini merupakan mesyuarat pertama sejak rombakan bagi dua jawatan tertinggi dalam Umno negeri yang menyaksikan Ahmad Bashah dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri manakala Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir sebagai Timbalannya berkuat kuasa 1 Januari lepas. - Bernama