Khamis, 22 Januari 2009

Antara Pemilihan UMNO dan Pilihan Raya : mana jadi pilihan pemimpin

Selepas kekalahan UMNO di Kuala Terengganu pelbagai reaksi yang kita dapat. Sejak Pilihan Raya Umum(PRU) yang lalu, UMNO seolah-olah tidak melakukan sesuatu bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadapnya. Apa yang diberi tumpuan adalah peralihan kuasa dan pemilihan parti. Apabila isu peralihan kuasa dan pemilihan parti mula dicemari, rakyat semakin menjauhkan diri dari UMNO. Pakatan Rakyat cuba mengukuhkan kedudukkan di mata rakyat. Pelbagai helah mereka lakukan, namun rakyat seolah-olah merestui apa yang mereka laksanakan terutama di Perak dan Selangor. Ini adalah kerana imej UMNO tidak segera dipulihkan di mata rakyat.

Apa yang mengembirakan kerana masih ada jua segelintir pemimpin yang masih mampu bersuara bagi mengimbangi suara pembangkang. Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin harus dilihat dari perspektif yang positif ia-itu mahukan perubahan yang lebih ketara dalam UMNO. Namun ada segelintir pemimpin masih dengan gaya mengampu yang tak sudah-sudah.

Penulis difahamkan, kempen menjelang PAU Mac depan sedang giat dijalankan, almaklumlah ramai kepimpinan tertinggi bimbang kalau mereka kalah dalam pemilihan Mac nanti kedudukan yang disandang juga mungkin terbang dan melayang. Jadi antara kepentingan peribadi dengan kepentingan parti yang mana harus diberi keutamaan. Kalau dalam pemilihan UMNO kita berjaya tetapi dalam pilihan raya kita gagal, jadilah kita umpama menang sorak kampung tergadai.

Kepimpinan harus akur bahawa rakyat kini telah mula menilai sejauh mana kemampuan UMNO membantu rakyat berbanding dengan Pakatan Rakyat. Mana-mana parti yang berjaya menawan hati rakyat, itulah yang menjadi pilihan mereka. Kita tidak boleh salahkan rakyat, kerana mereka berhak memilih yang terbaik dari yang baik-baik.

Isnin, 19 Januari 2009

UMNO tidak releven di Kuala Terengganu

Kekalahan UMNO di Kuala Terengganu memberi impak yang besar menjelang Perhimpunan Agong UMNO Mac nanti. Sejak Pilihan Raya Umum sudah ada dua kali Pilihan Raya Kecil. Kalau di Permatang Pauh kerusi PKR kembali kepada PKR tetapi di Kuala Terengganu kerusi UMNO, kini menjadi milik PAS.

Rakyat telah membuat pilihan mereka. Sekarang kepimpinan tertinggi UMNO mesti menilai diri masing-masing, apakah rakyat masih menerima mereka selepas PRU yang lalu. Ini adalah kerana kempen yang keterlaluan semasa pemilihan Bahagian membuatkan rakyat mula muak dengan UMNO. Sekiranya perwakilan UMNO silap membuat perhitungan pada Mac nanti, padahnya UMNO mungkin di talkin selepas PRU ke-13 nanti.

Persoalannya mampukah bakal Perdana Menteri, Datuk Najib membawa UMNO/BN untuk memperolehi majoriti 2/3 di Parlimen dan menawan semula lima negeri dalam PRU-13 nanti. Ini adalah kerana dalam dua PRK, ternyata Datuk Najib gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan berkesan. Sewajarnya para perwakilan dalam PAU nanti memilih barisan kepimpinan yang boleh diterima rakyat bukannya yang hanya boleh diterima oleh warga UMNO sahaja. Ini amat penting bagi memastikan UMNO terus releven. Kalau para perwakilan gagal membuat pilihan yang tepat pada Mac nanti, rakyat akan meluahkan perasaan tidak puas hati mereka atas kertas undi dalam PRU-13 nanti.