Selasa, 3 Februari 2009

Menteri yang berprinsip

Menteri Thai letak jawatan

BANGKOK 3 Feb. - Hanya dalam tempoh yang singkat, kerajaan baru Thailand menghadapi pergolakan politik pertamanya dengan peletakan jawatan Menteri Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia Witoon Nambutr berikutan skandal ikan bertin yang busuk.
Witoon, anggota parti pemerintah Demokrat dari Ubon Ratchathani di Timur Laut negara itu, mengumumkan peletakan jawatan beliau selepas mesyuarat kabinet mingguan yang dipengerusikan Perdana Menteri dan ketua parti tersebut Abhisit Vejjajiva di Rumah Kerajaan hari ini.
“Saya membuat keputusan sendiri untuk meletak jawatan, tiada sesiapa pun memberi tekanan kepada saya, saya tidak bersalah, saya tidak ada kaitan dengan kes ikan bertin yang busuk itu tetapi saya meletakkan jawatan untuk menjaga nama baik parti saya, kerajaan dan negara,” kata beliau pada persidangan akhbar di sini. - Bernama


Inilah yang dikatakan pemimpin yang berprinsip. Mampukah kita memiliki pemimpin yang sebegini di Malaysia. Rakyat sebenarnya mahukan seorang pemimpin yang terbaik dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi. Sekiranya situasi begini ada di kalangan kita, kita mampu menjana kekuatan dalam parti dan kerajaan. Prinsip yang sebegini melambangkan pemimpin tersebut lebih mementingkan parti dan kerajaan berbanding dirinya sendiri.

Rakyat telah memilih pemimpin dan sepatutnya mandat tersebut dimanfaat sebaiknya. Sebaliknya rakyat akan kecewa sekiranya pemimpin yang mereka pilih lebih mementingkan dirinya berbanding rakyat yang diwakilinya. Jangan sampai satu masa nanti rakyat sudah tidak lagi menghormati pemimpin. Sebarang tindakan yang hendak dilakukan pemimpin hendaklah berhemah, bukannya tindakan yang membuatkan rakyat semakin benci dan meluat kepada pemimpin.

Penulis cukup terharu bila Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sanggup melepaskan jawatannya berikutan kekalahan BN untuk memperolehi majoriti 2/3 di Parlimen. Kini masih lagi ada pemimpin yang masih mahu mengekalkan kedudukannya walaupun negeri yang dipimpinnya tewas. Sewajarnya pemimpin tersebut mengambil tanggungjawab atas kekalahan tersebut. Mungkin prinsip pemimpin berkenaan tidak sama dengan prinsip Witoon Nambutr.

Bebas yang tidak bebas

UMNO nafi tawar wang pada exco Kedah untuk lompat
Abdul Rahim Sabri


Umno Kedah nafi BN pernah berjanji menawarkan wang kepada Arumugam Vengatarakoo dalam cubaan memancing exco negeri Kedah itu menyertai parti tersebut."Kita menafikan kita buat benda-benda (menawarkan wang) itu. Tak mungkin, buang duit, buang duit saja," kata Ketua Penerangan Umno Kedah, Datuk Mohd Hadzir Ismail ketika dihubungi Malaysiakini.Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Selambau itu semalam membuat laporan polis, mendawa ada usaha mengajaknya meninggalkan PKR, termasuk melalui ugutan jenayah terhadapnya, keluarga dan pegawainya.Bagaimanapun, Arumugam tidak menjelaskan jumlah wang yang ditawarkan kepadanya dan pihak yang cuba menyogoknya.- Sumber Malaysiakini.

YB Arumugam bertanding atas tiket bebas dan menang. Kemudian beliau lompat masuk PKR dan dilantik sebagai exco. Dalam senario ini beliau bukanlah bertanding atas tiket BN dan lompat. Kalau tanding guna logo BN kemudian lompat, logiknya juga BN nak kacau dia.

Kalau beliau masuk BN pun BN masih tak boleh memerintah di Kedah. BN hanya ada 13 kerusi berbanding PAS 17, PKR 5 (termasuk Bukit Selambau) dan DAP 1 kerusi. Rasanya BN tak perlu nak rebut kerusi tersebut, kalau nak pun kena tunggu PRU ke-13. Hakikatnya Pakatan Rakyat kukoh di Kedah.

Cuma kini kita tunggu apa pula reaksi Mantan MB kedah selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri atas laporan polis yang dibuat oleh YB Arumugam. Pemimpin harus membersihkan nama UMNO sebelum UMNO terus dicemari.

Isnin, 2 Februari 2009

Politik kini semakin bercelaru

Percaturan politik di Perak terus meruncing. Adakah mereka-mereka yang terlibat ada masalah dengan parti-parti yang mereka wakili. Kalau ADUN Bota, Datuk Nasaruddin ada masalah dengan UMNO dan keluar parti, bagaimana pula dengan ADUN Behrang, Jamaludin Mohd. Radzi. Begitu juga dengan ADUN Changkat Jering, Mohd Osman Jailu. Apakah mereka juga ada masalah dengan PKR. Tidak terkecuali juga dengan ADUN Jelapang, Hee Yit Foong yang mewakili DAP. Adakah persefahaman mereka dalam Pakatan Rakyat begitu rapuh atau ada pihak yang cuba memancing mereka. Terkini pendedahan Fauzi Muda, selaku Ketua Bahagian Ipoh Barat parti PKR yang mendakwa pihak UMNO cuba memujuk mereka melompat parti tahun lalu.

Kestabilan kerajaan negeri Perak boleh tergugat sekiranya pergolakkan politik ini tidak ditanggani dengan cara berhemah. Keputusan SPR mengenai kedudukan kerusi Behrang dan Changkat Jering nanti akan menentukan pola politik Perak mungkin berubah.

Dakwaan ADUN Bukit Selambau mengenai ugutan yang di terima adalah serius dan boleh menyebabkan persepsi rakyat terhadap BN akan mula terhakis. Kalau kes Fauzi Muda dan Arumugam Vengatarako benar, tentunya ianya memberi impak yang besar kepada BN. Rakyat kini sedang memerhati gelagat wakil-wakil rakyat yang mereka pilih Mac tahun lalu. Adakah semua yang terlibat benar-benar ikhlas untuk berkhidmat kepada rakyat yang mereka wakili atau sebaliknya.

Pelbagai dakwaan boleh mereka cetuskan, ini membuatkan rakyat akan lebih berhati-hati memilih wakil mereka di masa hadapan. Harapan rakyat wakil yang mereka pilih hendaklah memberi khidmat kepada mereka. Percaturan politik samada BN, PKR, DAP mestilah percaturan yang diterima rakyat, sekiranya percaturan tersebut dilihat sebagai memenuhi kepentingan peribadi, percayalah, rakyat akan menolak mereka nanti.