Jumaat, 11 Mac 2011

UMNO Sungai Petani : selesaikan segera krisis

Ketua Umno cawangan Industri dalam bahagian Sungai Petani, Khairul Anuar Zainol akan keluar parti sekiranya krisis kepimpinan yang membabitkan ketua bahagian tersebut, Ali Yahya, masih gagal diselesaikan oleh Umno negeri dan pusat.

Dalam mesyuarat perwakilan bahagian itu Julai lalu, berlaku kekecohan apabila sebahagian besar perwakilan tidak membenarkan Ali berucap di majlis perasmiannya, serta mendesak beliau berundur.

Selepas kejadian tersebut, mereka yang tidak sehaluan dengan Ali telah menubuhkan Gerakan Anti-Ali (GAA) untuk mendesak beliau meletak jawatan.

Isu tersebut kemudiannya dirujuk kepada Majlis Tertinggi (MT) yang kemudian menyerahkannya kepada badan perhubungan Umno Kedah mencari jalan penyelesaian. Timbalan pengerusi Umno Kedah ketika itu, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dilantik memangku jawatan ketua bahagian Sungai Petani.

Khairul yang juga setiausaha GAA berkata beliau akan menjadi ketua cawangan pertama yang akan bertindak keluar daripada Umno sekiranya isu tersebut gagal diselesaikan dengan segera. Beliau bagaimanapun tidak mahu menyatakan bila akan berbuat demikian tetapi berkata: "Saya ada tempoh berbuat demikian."

'Dapat sokongan'
Khairul juga mendakwa ada ketua cawangan yang menghubunginya menyatakan sokongan tetapi beliau enggan menyatakan identiti mereka. "Saya tak mahu ajak (keluar parti dan) saya tak larang, (malah) saya sendiri akan buat dahulu (keluar parti) jika perkara ini tidak diselesaikan dengan segera. "Saya memang akan mengambil tindakan itu, sekiranya tidak diselesaikan, tidak mustahil ia akan berlaku," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Khairul Anuar juga tidak menafikan mengenai SMS yang disebarkan mengenai hasratnya untuk keluar parti jika isu kepimpinan bahagian itu tidak diselesaikan segera.

Bahagian tersebut mempunyai 130 cawangan dan Khairul mendakwa 81 daripadanya menolak kepimpinan Ali. Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga presiden Umno turut meminta bahagian Sungai Petani menyelesaikan masalah dalaman mereka itu.

SMS tersebar
Mengulas lanjut, Khairul Anwar berkata sejak SMS itu beredar, beberapa "tokoh tertentu" menghubungi dan menasihatinya supaya memberi masa kepada perdana menteri dan kepimpinan Umno Kedah untuk menyelesaikan masalah dalaman itu.

Katanya, isu terdapat dapat diselesaikan sekiranya dengan jawatan-jawatan kanan di peringkat bahagian seperti setiausaha, ketua penerangan dan bendahari disandang oleh pemimpin GAA. Bahkan, katanya, jawatan setiausaha juga perlu disandang oleh individu yang boleh diterima kedua-dua kumpulan dan perkara itu telahpun dimaklumkan kepada Ahmad Bashah dan setiausaha Umno negeri, Datuk Othman Abdul Aziz.

Dengan nada kecewa, Khairul memberitahu bahawa jawatan tersebut sekarang ini disandang oleh pemimpin Umno dari kumpulan Ali. Khairul berkata, beliau tidak berniat untuk "menggertak" semua pihak susulan tersebarnya SMS tersebut, tetapi beliau "tidak ada pilihan" kerana mendakwa ramai akar umbi Umno merungut dan bertanyakan hasil perbincangan itu.

"Saya masih berharap masalah (bahagian) ini dapat diselesaikan dengan segera untuk memberi tumpuan kepada pilihan raya umum yang akan datang. "Bahagian ini masih di awang-awangan, nampak sahaja kulit di luar cantik, tetapi di dalam bergolak. Semua pihak termasuk Umno pusat, negeri dan Ali sendiri perlu menyatukan semula ahli," katanya.
Sumber - Malaysiakini

Ulasan APM

Menurut Setiausaha GAA, krisis akan selesai sekiranya Ketua Bahagian melantik pimpinan GAA kejawatan-jawatan kanan UMNO SP. Apa makna semuanya ini. Apakah motif perjuangan GAA, kepentingan peribadi atau parti. Kalau sekarang sudah tolak kepimpinan Ketua Bahagian, adakah bila dilantik kejawatan yang diidam-idamkan semuanya boleh selesai...maknanya GAA memperjuangkan kepentingan peribadi berbanding dengan kepentingan parti. Perwakilan 2008 telah memutuskan Ali Yahaya sebagai Ketua Bahagian, maka kita kena akur keputusan tersebut. Dalam setiap pertandingan akan ada yang menang dan kalah, terimalah realiti, pemilihan akan datang kita buat keputusan apa yang kita mahu. Dahulukan parti bukannya kepentingan peribadi. JANGAN LUPA UMNO ADALAH PEMBANGKANG DI SUNGAI PETANI, APAKAH INI AKAN BERTERUSAN DALAM PRU AKAN DATANG...TEPUK DADA TANYA SELERA!!