Jumaat, 26 November 2010

UMNO Kedah peruntuk RM1.5 juta untuk program kecmerlangan pendidikan

KUALA LUMPUR 25 Nov. – Badan Perhubungan UMNO Kedah meluluskan pemberian peruntukan RM1.5 juta kepada 15 bahagian di negeri itu untuk program kecemerlangan pendidikan dan bantuan kewangan kepada pelajar miskin.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pemberian bantuan itu diutamakan kepada golongan pelajar miskin dan tidak berkemampuan serta yang cemerlang dalam peperiksaan-peperiksaan utama bertujuan membantu pembangunan pendidikan di negeri itu.

Katanya, peruntukan itu adalah untuk sesi persekolahan bermula Januari 2011 dan setiap bahagian akan menerima peruntukan berjumlah RM100,000.

“Pemberian peruntukan ini adalah inisiatif Badan Perhubungan UMNO Kedah dalam usaha membantu meringankan beban ibu bapa setiap kali bermula sesi persekolahan.

“Selain itu, kami merasakan pemberian ini merupakan cara terbaik mendekati masyarakat dan kami juga mahu lihat setiap pelajar cemerlang dalam pelajaran,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas badan itu di sini hari ini.

Program bantuan kewangan pelajar miskin meliputi pemberian uniform dan beg sekolah manakala program kecemerlangan pendidikan pula memberi insentif kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan utama.

Menurut Shafie, program itu akan diteruskan setiap tahun bagi memastikan pembangunan pendidikan di Kedah adalah selaras dengan keperluan rakyat.

Justeru, beliau berharap bantuan diberikan akan membantu melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang di setiap peringkat persekolahan.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada ahli badan perhubungan UMNO negeri di atas sumbangan dan usaha dalam memastikan mangsa banjir di Kedah tidak diabaikan.- sumber Utusan