Jumaat, 30 Januari 2009

Menjelang Mac 2009

Beberapa peristiwa panas menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Mac nanti. Dalam masa dua bulan yang penuh debaran, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak mengantikan Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali berikutan tindakan ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang menyertai Parti Keadilan Rakyat. Rasa tidak puas hati ADUN BN di Perak adalah kerana Datuk Seri Tajol dikatakan gagal melaksanakan langkah-langkah positif selepas BN kalah di Perak. Ini juga kerana kegagalan Badan Perhubungan UMNO Perak mengatasi beberapa masalah UMNO di beberapa Bahagian di Perak.

Cadangan Tan Sri Tengku Ahmad Ritahaudeen supaya semua sayap dalam UMNO dibubarkan mendapat reaksi yang cukup membayangkan betapa sayangnya pemimpin UMNO terhadap jawatan yang disandangkan mereka. Cadangan ini telah mencuit hati kepimpinan tertinggi UMNO. Dicadangkan adalah lebih sesuai cadangan-cadangan ini dibincangkan di PAU Mac nanti kerana disini semua perwakilan boleh memberi pandangan mereka. Maka pandangan terbaik haruslah dilaksanakan semoga UMNO akan terus diterima di mata warga UMNO terutama ahli akar umbi. UMNO kini harus mengambil kira pandangan akar umbi selain dari pandangan kepimpinan tertinggi kerana hidup mati UMNO didukong oleh semua warga UMNO bukannya oleh kepimpinan sahaja.

Seharusnya sebarang pertelagahan dalam UMNO dihentikan di semua peringkat. Sewajarnya UMNO mesti bersatu bagi memastikan pembangkang tidak dapat memperkotak-katikkan kita. Walau apa pun lagu yang didendangkan, kita jangan terus menari mengikut rentak mereka. Sebagai sebuah parti yang cukup berpengalaman, gunakan kelebihan ini bagi memastikan rakyat selesa dengan UMNO.