Jumaat, 11 November 2011

BN akan hanya meletakkan calon yang boleh menang

PUTRAJAYA 10 Nov. - Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan had umur dan juga tanpa mengira berapa kali menjadi wakil rakyat bagi calonnya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 asalkan calon berkenaan boleh menang, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sambil mengakui pilihan raya umum akan datang sebagai sengit, Perdana Menteri berkata, apa yang penting ialah individu berkenaan adalah calon terbaik untuk Barisan Nasional (BN).

"Calon boleh menang ini boleh merangkumi semua, tidak kira muda atau tua, tidak ada had umur, tidak ada had berapa kali menjadi wakil rakyat. Kesimpulannya, calon boleh menang.

"Tidak kira umur, tidak kira berapa kali jadi wakil rakyat, tidak kira jika orang kata kitar semula, yang penting sekali ialah calon boleh menang, sebab kita nak BN menang dengan cemerlang dalam pilihan raya umum nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada majlis bersama ahli Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) di Seri Perdana di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden Mubarak, Datuk Seri Abdul Aziz Rahman dan Ketua Penerangan Mubarak yang juga Pengerusi Bernama, Datuk Abdul Rahman Sulaiman.

Menurut Najib, beliau memerlukan semua tenaga yang ada dan ia merupakan gandingan antara yang baru dan lama bagi sama-sama bergabung tenaga berjuang pada pilihan raya nanti.

Beliau menambah, yang penting sekali ialah mendokong calon boleh menang yang ditentukan oleh parti kerana pilihan raya umum akan datang dianggap sebagai sengit.

"Dulu mereka takde (tiada) negeri, sekarang ada empat buat negeri, ada tapak, ada pangkalan. Dulu mereka takde (tiada) tapak, bila ada tapak, macam-macam boleh buat.

"Dari segi kemampuan pun lebih berbanding dulu, sebab itu kita jangan pandang mudah pada pilihan raya ini," katanya.

Sehubungan itu, tambahnya, beliau amat mengalu-alukan peranan Mubarak bagi menguatkan kepimpinan parti berikutan perubahan landskap sosial politik pada masa ini yang berubah dengan pantas.

Najib berkata, perubahan itu berlaku berdasarkan tiga faktor iaitu taraf pendidikan yang semakin meningkat, revolusi teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dan fenomena globalisasi atau dunia tanpa sempadan.

Katanya, ini bermakna generasi yang baru pada hari ini adalah generasi yang berbeza dan anggota parti diingatkan supaya tidak mendabik dada ketika turun padang, sebaliknya meyakinkan mereka bahawa kerajaan sekarang adalah yang terbaik untuk rakyat.

Selain itu, Najib seterusnya memberitahu, anggota parti mesti membawa label atau jenama bahawa BN merupakan pemangkin dan pencetus kepada pembaharuan dan perubahan yang telah dilaksanakan sejak dahulu lagi.

"Kita dah buat banyak perkara yang mendahului zaman, kitalah parti sebenarnya yang berhak untuk dinamakan sebagai parti yang mencetus pembaharuan dan perubahan dalam negara," katanya. - BERNAMA

Isnin, 3 Oktober 2011

Orang UMNO perlu balik pada perjuangan asal untuk menang Pilihan Raya

JITRA, 2 Okt (Bernama) -- Ahli Umno perlu balik pada perjuangan asal parti demi agama, bangsa dan tanah air dengan mengetepikan kepentingan diri untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang dijangka tidak lama lagi.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata hanya dengan cara itu penyakit yang menjadi 'duri dalam daging' iaitu mencantas atau menikam belakang dalam diri orang-orang Umno akan terhapus.

"Dulu orang Umno berkorban apa saja untuk parti, sanggup gadai barang kemas dan sebagainya untuk bantu parti tetapi sekarang mereka pegang jawatan sebab hendak dapat kontrak, jadi calon atau sebab tertentu.

"Jika diadakan PRU waktu ini, Umno boleh kalah besar kerana sokongan dan semangat mereka telah pudar," kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas menyampaikan 'Bicara Negarawan' pada perhimpunan perdana Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) siri kedua peringkat negeri di Dewan Wawasan di sini, hari ini.

Hampir 2,000 pengerusi dan setiausaha JKKKP dari seluruh negeri hadir mendengar bicara beliau yang berlangsung selama sejam. Hadir sama pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah, timbalannya Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir serta jawatankuasa Perhubungan Umno Kedah.

Dr Mahathir berkata Barisan Nasional (BN) bagaimanapun boleh menang besar pada PRU ke-13 sekiranya penyakit dalam diri orang Umno ini terhapus.

Beliau yang ditanya adakah sesuai PRU diadakan sekarang, menjawab: "Pada pendapat saya sekarang belum sesuai. Banyak lagi yang perlu dilakukan lagipun Umno belum cukup kuat."

"Dalam Umno masih ada puak. Saya fikir perpecahan masih kritikal. Kalau ada kesedaran dan perasaan syukur dan terus bersatu, BN boleh menang. Orang Umno seharusnya buang sifat tidak puas hati. Walaupun tidak dapat apa yang dihajati mereka tetap menikmatinya dalam bentuk lain," katanya.

Mengenai parti Pas yang mengulangi hendak melaksanakan hukum hudud, beliau berkata: "Mereka buat begitu kerana rasa nak kalah."

"Negara ini mengandungi penduduk berbilang agama dan bangsa. Kalau 100 peratus Islam tiada masalah. Hudud yang hendak dilaksanakan terhadap orang Islam sahaja seperti kata (Datuk) Nik Aziz Nik Mat (Mursyidul Am Pas), itu betul... tidak adil. Islam menuntut keadilan dalam semua perkara.

"Dalam satu kes melibatkan seorang Islam dan seorang bukan Islam, orang Islam dihukum potong tangan dan bukan Islam dijel....adilkah itu. Bagi Nik Aziz adillah, bagi saya tidak adil.

"Kalau nak potong tangan, sama-sama kena potong tangan, kalau jel, sama-sama masuk jel. Jenayah sama hukuman pun patut sama.

"Kerajaan bukan tidak setuju dengan hukum hudud tetapi keadaan dalam negara kita tidak sesuai. Berapa banyak negara Islam yang benar-benar melaksanakan hukum hudud," soal Dr Mahathir.

Beliau yang ditanya seorang wartawan akhbar Cina mengenai sama ada kerajaan akan membenarkan Chin Peng yang dilaporkan sakit untuk balik ke Malaysia, Dr Mahathir berkata rakyat masih marah pada komunis.

"Dia pilih untuk mengkhianati negara.... kita kena ambil kira perasaan orang kerana ramai jadi mangsa komunis, kehilangan keluarga, putus kaki. Ramai orang tidak maafkan dia. Kita kena fikir perasaan mereka bukan Chin Peng," tambahnya.

Dr Mahathir menegaskan Chin Peng berjuang kerana hendak mendirikan kerajaan komunis bukan menuntut kemerdekaan, berlainan dengan perjuangan Datuk Onn Jaafar, Tun Sambanthan dan beberapa lagi tokoh yang memperjuangkan kemerdekaan.

-- BERNAMA

Selasa, 2 Ogos 2011

Cabaran UMNO Kedah

BARU-baru ini dalam satu pertemuan, seorang pemimpin veteran UMNO memberitahu penulis bahawa Kedah merupakan salah sebuah negeri yang Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang cerah untuk merampasnya kembali daripada pembangkang.

Pelbagai kemelut yang melanda pentadbiran kerajaan negeri di bawah Pas kini memungkinkan BN mempunyai harapan untuk meraih kembali sokongan rakyat di negeri Jelapang padi tersebut.

Namun begitu persoalan yang bermain di fikiran banyak pihak termasuk pemimpin veteran tersebut ialah sejauh manakah pemimpin-pemimpin UMNO dan BN di Kedah benar-benar bersedia untuk melunaskan misi berkenaan.

Semua orang Kedah tahu, Pas yang dibantu oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP tidaklah sehebat mana di negeri berkenaan.

Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Kedah, pada Khamis lalu dikatakan banyak menyuntik semangat dan memberikan isyarat kepada rakyat Kedah bahawa mereka perlu menyokong BN.

Keprihatinan Perdana Menteri yang bersedia meluangkan masa melakukan tinjauan mesra dan meluluskan peruntukan sebagai RM1.12 juta bagi membina sebuah masjid di Taman Wira Mergong, di Alor Setar turut membantu meningkatkan imej BN.

Tetapi soalnya, sejauh manakah UMNO dan BN Kedah di bawah kepimpinan Datuk Ahmad Bashah Md.Hanipah mampu merebut peluang untuk memastikan sokongan rakyat kembali kepada parti berkenaan.

Ketika berbual-bual dengan seorang pemimpin UMNO Kedah di Kuala Lumpur baru-baru ini, penulis mendapati terlalu banyak kelemahan yang perlu diperbaiki oleh Ahmad Bashah dan pemimpin parti berkenaan jika mereka mahu menegakkan kembali panji-panji BN di negeri itu.

Perkara yang paling ketara ialah sehingga kini biar pun Kedah sudah jatuh ke tangan pembangkang masih belum ada kesedaran di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO untuk berhenti berpolitik sesama mereka.

Sama ada hendak diakui atau tidak berdasarkan maklumat yang diterima oleh penulis, daripada keseluruhan 15 bahagian UMNO di Kedah, 10 daripadanya bermasalah. Ia berpunca daripada politiking sesama sendiri - satu 'penyakit' yang tidak pernah mampu diubati dalam UMNO sejak dulu lagi.

Mungkin akan ada pemimpin UMNO akan menganggap tulisan ini ibarat membuka pekung di dada atau satu rekaan tetapi hakikat tetap hakikat, fakta tetap fakta.

Pemimpin-pemimpin UMNO Kedah perlu insaf bahawa mereka bukan pemerintah di negeri berkenaan tetapi pembangkang, oleh itu sikap dan tindakan serta semangat perlu berteraskan kepada keazaman untuk merampas kembali negeri itu daripada Pas, PKR dan DAP.

''Masalah utama ialah hendak mencari calon, kita kena akui sampai sekarang belum ada calon yang paling sesuai bagi memenuhi apa yang dipanggil 'calon boleh menang' seperti mana dikehendaki oleh Perdana Menteri,'' kata pemimpin UMNO tersebut.

Keadaan menjadi bertambah rumit apabila masalah dalaman di 10 bahagian berkenaan masih juga tidak selesai-selesai, biar pun UMNO sudah jadi pembangkang di Kedah.

Masing-masing masih lagi hendak 'mempromosikan' diri sendiri dan merasakan paling layak untuk menjadi calon, biarpun ada antara mereka yang ditafsirkan, ''umum nama sahaja pun dah kalah.''

Kesudahannya di sesetengah bahagian yang bermasalah ini wujud sekurang-kurangnya enam 'war lord' yang mempunyai pengikut masing-masing iaitu ketua bahagian, timbalan ketua bahagian, naib ketua, ketua Wanita, ketua Pemuda dan ketua Puteri.

Justeru jika salah seorang dipilih sebagai calon belum tentu yang lain akan menyokong sebaliknya akan wujudnya apa yang orang Kedah panggil 'das kaki' atau orang Kelantan kata 'cah keting'.

Walaupun perbalahan ini tidaklah begitu ketara 'di permukaan' tetapi rakyat di kawasan-kawasan terlibat amat memahami kemelut yang berlaku justeru semua itu hanya merugikan UMNO dan BN.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila ada dakwaan bahawa Ahmad Bashah sebagai pengerusi perhubungan UMNO negeri tidak mempunyai cengkaman bagi mengatasi kemelut yang berlaku. Malahan Ahmad Bashah juga dikatakan terlalu bergantung kepada pucuk pimpinan parti untuk melaksanakan sesuatu program.

Ahmad Bashah dan seluruh kepimpinan Kedah perlu menunjukkan kesungguhan untuk merampas negeri itu daripada Pas.

Setakat ini kita memuji kelantangan UMNO Kedah mendedahkan kepincangan pentadbiran Kerajaan Pas tetapi ia belum mencukupi bagi menjana kemenangan, jika di dalam UMNO sendiri masih ada kelemahan yang tidak diperbaiki.

Kita yakin sebagai seorang yang cukup berpengalaman dalam berpolitik, Ahmad Bashah mampu mengendalikan keadaan, apa yang diperlukan daripada beliau ialah keberanian membuat keputusan dan bertindak.

Jika benar pemimpin-pemimpin UMNO dan BN di Kedah mahu menang dalam pilihan raya mereka perlu bersatu padu dan mengukuhkan perpaduan sesama mereka.

Tindakan bertelingkah dalam mesyuarat bahagian adalah sesuatu perbuatan yang memalukan kerana UMNO bukannya pemerintah tetapi pembangkang.

Kalau berada dalam kedudukan pembangkang pun masih belum mahu insaf lagi, apakah pemimpin UMNO Kedah hanya akan sedar apabila parti itu terus ditolak selama-lamanya di negeri berkenaan?

Oleh itu adalah wajar jika pemimpin-pemimpin UMNO Kedah memahami cabaran besar yang ada di hadapan mereka, bersatulah dalam satu barisan dan perkukuhkanlah kedudukan.

Banyakkan program-program untuk memenangi hati rakyat seperti mana diusahakan oleh Najib dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Janganlah pemimpin UMNO Kedah hanya bijak mengatur strategi untuk menjatuhkan lawan politik daripada parti sendiri tetapi beku mindanya dalam menumbangkan pembangkang.

Satu fakta yang harus difahami ialah pembangkang tidaklah sekuat mana di Kedah dan senario 2008 tidak lagi menghantui BN sehingga memungkinkan rakyat akan terus menolak parti itu.

Justeru inilah kesempatan terbaik kepada UMNO Kedah untuk bangkit semula dan ia hanya akan tercapai jika pemimpin-pemimpin parti itu bak kata salah seorang daripada mereka menyingkirkan tindakan'marahkan dua ekor nyamuk, satu kelambu dibakar'.

Apakah maksud tindakan berkenaan? Terserahlah kepada pemimpin-pemimpin UMNO di Kedah memikirkannya, apa yang pasti selagi mereka tidak meletakkan kepentingan parti mengatasi segala-galanya, bukan kata 'kelambu', bilik tidur pun boleh hangus bersama-sama akibat 'panas bahang' politiking sesama sendiri.

sumber - Utusan

Isnin, 11 Julai 2011

Sekitar Persidangan UMNO Bahagian Sungai Petani - 9 Julai

Setelah puas menunggu, sepertinya juga musim durian yang semakin galak buah-buahnya yang masak dan gugur untuk dilahap oleh penagih durian, akhirnya UMNO Bahagian Sungai Petani (UBSP) bermesyuarat pada hari ini. Ketika aku beredar tadi, aku nampak perwakilan-perwakilan sedang keluar mengikut cawangan masing-masing dengan teratur dan keadaan agak tegang serta terkawal.

Ketika di Kuala Lumpur, lembu-lembu Ambiga terus diperbodohkan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang yang berdegil dan masuk ke KL serta berlindung dibeberapa buah hotel seperti KL international dan Hilton perwakilan UMNO Sungai Petani nampaknya begitu bersemangat. Kumpulan penyokong Ali Yahya(GPA), penyokong GAA dan perwakilan yang tidak menyebelahi kepada mana-mana kumpulan berada didalam dan luar dewan dengan tujuan yang sama, iaitu memenuhi peraturan parti yang menetapkan setiap UMNO Bahagian wajib mengadakan Mesyuarat Perwakilan Bahagian dan hari ini adalah tarikh terakhir manakala Sungai Petani rupanya menempa sejarah sebagai Bahagian yang terakhir mengadakan Mesyuarat Perwakiklan Bahagian. Ibaratnya kalau berlumba lari, pelari yang bernama UBSP adalah yang terakhir melintasi garisan penamat larian. Tahniah kerana masih mampu menghabiskan larian anda walaupun nampak tercungap-cungap dengan teruk.

Aku yang berada sejak awal lagi memang mengharapkan mesyuarat kali ini berjalan dengan lancar berbanding mesyuarat yang telah diadakan pada tahun lepas kerana ingin melihat sendiri dengan mata kepala aku sendiri samada mesyuarat kali ini sama seperti tahun lepas atau sebaliknya.

Ternyata rupa-rupanya telah ada perancangan dari kumpulan yang menyokong Ketua UBSP(GPA) untuk mengadakan mini protes ala-ala demonsrtrasi bagi mempertikaikan beberapa perkara yang mereka berasa tidak puas hati. Namun ianya langsung tidak mengganggu perjalanan mesyuarat di mana perasmiannya telah disempurnakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Dato' Paduka Ahmad Bashah. Manakala Timbalan Pengerusi BPUNK Dato' Mukhriz Tun Mahathir turut berucap mewakili UBSP (dan Ketuanya).

Ternyata kesemua perwakilan nampaknya akur dengan perancangan yang diatur sebegitu rupa bagi mengelakkan ketegangan semasa perasmian mesyuarat seperti yang telah berlaku pada tahun lepas.

Selepas selsai perasmian oleh Pengerusi BPUNK, satu sidang akhbar telah di adakan bagi menerangkan kedudukan atau status UBSP dan tindakan perlu oleh BPUNK dan UBSP sendiri yang di terangkan oleh Dato' Paduka Ahmad Bashah dan Timbalan beliau, Dato' Muhkriz Tun Mahathir.

Sumber - Pelantaq hujah - Terima kasih Det Guar

Persidangan Perwakilan UMNO Sungai Petani sedikit kecoh

Sungai Petani, 9 Julai - Persidangan perwakilan UMNO Bahagian Sungai Petani sedikit kecoh berikutan tindakan sekumpulan anggota parti Bahagian itu yang tidak berpuas hati dengan penggantungan ketua bahagian itu Ali Yahaya oleh Majlis Tertinggi (MT)

Kumpulan kira-kira 40 lelaki itu membawa sepanduk dan kain rentang memasuki dewan Institut Kemahiran Mara (IKM), tempat persidangan berlangsung sebaik Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md. Hanifah memasuki dewan kira-kira pukul 10 pagi.

Sepanduk dan kain rentang itu, antara lain tertera perkataan "mengapa ketua yang dipilih dipinggirkan" dan "kami mahu keadilan" selain mempersoalkan keputusan MT berhubung masalah bahagian itu.

Kekecohan itu bagaimanapun reda selepas 10 minit apabila Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Kedah Dato' Mukhriz Tun Mahathir meminta semua anggota UMNO menyelesaikan semua masalah sebagai satu keluarga. Kumpulan lelaki itu kemudianya beredar keluar.

Jawatan Ali sebagai ketua bahagian itu digantung berikutan kekecohan persidangan perwakilan bahagian itu pada 2010 dan kini ditadbir oleh sebuah jawatankuasa Panel Pengurusan dan Pentadbiran diketuai Mukhriz.

Selain Mukhriz, jawatankuasa Panel itu dianggotai Datuk Md Rozai Shafian, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir, Datuk Jamil Khir Baharom dan Datuk Othman Aziz.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Ahmad Bashah berkata memang ada sedikit rasa tidak puas hati dikalangan perwakilan tetapi keadaan adalah terkawal dan tidak menjejaskan perjalan mesyuarat.

Mukhriz pula berkata, beliau yakin masalah yang berlaku atau rasa tidak puas hati dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

sumber - Bernama

Isnin, 4 Julai 2011

UMNO Kedah mula gerak jentera pilihan raya

LANGKAWI 4 Julai - Badan Perhubungan UMNO Kedah mula mengerakkan jentera pilihan raya dengan mengarah semua bahagian menubuhkan jawatankuasa pilihan raya peringkat peti undi dalam persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, penubuhan jawatankuasa sebanyak 672 peti undi di seluruh Kedah dapat diselesaikan dalam minggu pertama atau kedua bulan ini.

"Kita telah mengeluarkan arahan dan peruntukan kepada semua bahagian UMNO Kedah supaya mengambil tindakan menubuhkan jawatankuasa itu”, katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas badan itu di sini malam Ahad. - Bernama

Selasa, 19 April 2011

Persiapan menjelang PRU ke-13

ALOR SETAR 18 April - Semua bahagian UMNO di negeri ini diarahkan supaya memberi tumpuan khusus kepada perbincangan menyediakan jentera parti yang lebih padu dan berkesan pada mesyuarat perwakilan bahagian masing-masing yang dijadual bermula bulan depan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, para perwakilan mesti mengetepikan perkara remeh temeh dan mengelakkan pertelingkahan pada mesyuarat berkenaan kerana agenda besar yang perlu diberi fokus adalah memastikan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 berjalan lancar.

Tambahan, kata beliau, tiada pemilihan parti di peringkat bahagian diadakan pada tahun ini sekali gus membolehkan komitmen penuh diberikan kepada agenda tersebut.

"Kita mahu menyelesaikan mesyuarat bahagian UMNO dengan sebaiknya kerana agenda besar ialah menghadapi pilihan raya umum. Dalam mesyuarat perwakilan bahagian nanti, baik kita membincangkan mengenai persiapan kita ke arah itu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat badan berkenaan di Bangunan Tunku di sini semalam.

Ahmad Bashah berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) kini perlu mengerah segala tenaga dan pemikiran untuk menghadapi PRU yang akan diadakan pada bila-bila masa bagi merampas semula pemerintahan negeri ini daripada pembangkang.

Bagi tujuan itu kata beliau, persiapan awal telah pun dimulakan dengan menumpukan kepada gerak kerja yang melibatkan pergerakan Pemuda, Puteri dan Wanita di semua peringkat.

"Tumpuan gerak kerja jentera tersebut termasuk menarik ahli-ahli baru, mendekati pengundi, memeriksa pendaftaran pengundi, mengadakan kursus kepimpinan dan program penerangan kepada masyarakat mengenai isu-isu," katanya.

Menurut beliau, UMNO Kedah turut memperkenalkan kursus Mental, Jasad dan Roh (Mejar) yang merupakan medium paling kuat dalam membentuk jati diri seorang kepada pengundi baru yang bakal menjadi tenaga barisan hadapan parti itu.

Katanya, peringkat pertama kursus berkenaan melibatkan seramai 4,500 peserta di seluruh negeri ini dengan setiap bahagian UMNO menghantar kira-kira 300 wakil - Sumber Utusan Malaysia

Jumaat, 11 Mac 2011

UMNO Sungai Petani : selesaikan segera krisis

Ketua Umno cawangan Industri dalam bahagian Sungai Petani, Khairul Anuar Zainol akan keluar parti sekiranya krisis kepimpinan yang membabitkan ketua bahagian tersebut, Ali Yahya, masih gagal diselesaikan oleh Umno negeri dan pusat.

Dalam mesyuarat perwakilan bahagian itu Julai lalu, berlaku kekecohan apabila sebahagian besar perwakilan tidak membenarkan Ali berucap di majlis perasmiannya, serta mendesak beliau berundur.

Selepas kejadian tersebut, mereka yang tidak sehaluan dengan Ali telah menubuhkan Gerakan Anti-Ali (GAA) untuk mendesak beliau meletak jawatan.

Isu tersebut kemudiannya dirujuk kepada Majlis Tertinggi (MT) yang kemudian menyerahkannya kepada badan perhubungan Umno Kedah mencari jalan penyelesaian. Timbalan pengerusi Umno Kedah ketika itu, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dilantik memangku jawatan ketua bahagian Sungai Petani.

Khairul yang juga setiausaha GAA berkata beliau akan menjadi ketua cawangan pertama yang akan bertindak keluar daripada Umno sekiranya isu tersebut gagal diselesaikan dengan segera. Beliau bagaimanapun tidak mahu menyatakan bila akan berbuat demikian tetapi berkata: "Saya ada tempoh berbuat demikian."

'Dapat sokongan'
Khairul juga mendakwa ada ketua cawangan yang menghubunginya menyatakan sokongan tetapi beliau enggan menyatakan identiti mereka. "Saya tak mahu ajak (keluar parti dan) saya tak larang, (malah) saya sendiri akan buat dahulu (keluar parti) jika perkara ini tidak diselesaikan dengan segera. "Saya memang akan mengambil tindakan itu, sekiranya tidak diselesaikan, tidak mustahil ia akan berlaku," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Khairul Anuar juga tidak menafikan mengenai SMS yang disebarkan mengenai hasratnya untuk keluar parti jika isu kepimpinan bahagian itu tidak diselesaikan segera.

Bahagian tersebut mempunyai 130 cawangan dan Khairul mendakwa 81 daripadanya menolak kepimpinan Ali. Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga presiden Umno turut meminta bahagian Sungai Petani menyelesaikan masalah dalaman mereka itu.

SMS tersebar
Mengulas lanjut, Khairul Anwar berkata sejak SMS itu beredar, beberapa "tokoh tertentu" menghubungi dan menasihatinya supaya memberi masa kepada perdana menteri dan kepimpinan Umno Kedah untuk menyelesaikan masalah dalaman itu.

Katanya, isu terdapat dapat diselesaikan sekiranya dengan jawatan-jawatan kanan di peringkat bahagian seperti setiausaha, ketua penerangan dan bendahari disandang oleh pemimpin GAA. Bahkan, katanya, jawatan setiausaha juga perlu disandang oleh individu yang boleh diterima kedua-dua kumpulan dan perkara itu telahpun dimaklumkan kepada Ahmad Bashah dan setiausaha Umno negeri, Datuk Othman Abdul Aziz.

Dengan nada kecewa, Khairul memberitahu bahawa jawatan tersebut sekarang ini disandang oleh pemimpin Umno dari kumpulan Ali. Khairul berkata, beliau tidak berniat untuk "menggertak" semua pihak susulan tersebarnya SMS tersebut, tetapi beliau "tidak ada pilihan" kerana mendakwa ramai akar umbi Umno merungut dan bertanyakan hasil perbincangan itu.

"Saya masih berharap masalah (bahagian) ini dapat diselesaikan dengan segera untuk memberi tumpuan kepada pilihan raya umum yang akan datang. "Bahagian ini masih di awang-awangan, nampak sahaja kulit di luar cantik, tetapi di dalam bergolak. Semua pihak termasuk Umno pusat, negeri dan Ali sendiri perlu menyatukan semula ahli," katanya.
Sumber - Malaysiakini

Ulasan APM

Menurut Setiausaha GAA, krisis akan selesai sekiranya Ketua Bahagian melantik pimpinan GAA kejawatan-jawatan kanan UMNO SP. Apa makna semuanya ini. Apakah motif perjuangan GAA, kepentingan peribadi atau parti. Kalau sekarang sudah tolak kepimpinan Ketua Bahagian, adakah bila dilantik kejawatan yang diidam-idamkan semuanya boleh selesai...maknanya GAA memperjuangkan kepentingan peribadi berbanding dengan kepentingan parti. Perwakilan 2008 telah memutuskan Ali Yahaya sebagai Ketua Bahagian, maka kita kena akur keputusan tersebut. Dalam setiap pertandingan akan ada yang menang dan kalah, terimalah realiti, pemilihan akan datang kita buat keputusan apa yang kita mahu. Dahulukan parti bukannya kepentingan peribadi. JANGAN LUPA UMNO ADALAH PEMBANGKANG DI SUNGAI PETANI, APAKAH INI AKAN BERTERUSAN DALAM PRU AKAN DATANG...TEPUK DADA TANYA SELERA!!

Isnin, 14 Februari 2011

Ikan paus ditemui mati di pantai Pulau Sayak

SUNGAI PETANI 12 Feb. – Bangkai ikan paus spesies Bryde‘s Whale yang ditemui terdampar di pantai Pulau Sayak, Kota Kuala Muda dekat sini kelmarin akan dilapah dan ditanam dagingnya, dalam tempoh terdekat.

Pegawai Penyelidik Unit Mamalia Marin, Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (Tumec), Terengganu, Mohd. Lazim Mohd. Saif berkata, ia bertujuan membolehkan pihaknya mengambil tulang untuk proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta mempamerkan kepada umum pada masa akan datang.

“Siasatan awal yang dijalankan menunjukkan paus ini jantan, ukuran panjang antara 10 hingga 12 meter dan beratnya pula dalam lingkungan lima tan.

“Berdasarkan keadaan bangkai dan kulit yang melecur, ia dipercayai mati lebih seminggu lalu sebelum dihanyutkan ke lokasi ini.

“Proses bedah siasat tidak dapat dijalankan memandangkan struktur sudah tidak kukuh. Oleh itu, memadai kita hanya lepah daging dan ambil tulangnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Lazim yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang ekosistem marin memberitahu, punca kematian ikan paus tersebut belum dapat dipastikan setakat ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada ikan termakan bahan buangan seperti plastik, botol minuman atau tali.

Kelmarin, penduduk Pulau Sayak, dekat sini gempar apabila seekor bangkai ikan paus seberat kira-kira empat tan terdampar di pantai yang terletak kira-kira 500 meter di belakang Pusat Pengeluaran dan Penyelidikan Benih Udang Kebangsaan.

Mamalia itu itu dipercayai jenis Bryde‘s berdasarkan ciri-ciri fizikalnya iaitu mempunyai kepala lebar dan tidak bergigi.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Perikanan negeri ketika dihubungi menasihatkan orang ramai supaya tidak mengusik atau mengambil serpihan tulang bangkai ikan paus berkenaan.

Ini kerana, bangkai haiwan marin tersebut merupakan spesies terancam dan dilindungi di bawah Peraturan-peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Marin Terancam) 1999 (Pindaan) 2008.

“Sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” jelas jurucakap itu.

Dalam pada itu, tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, lokasi penemuan bangkai ikan paus terus dikunjungi orang ramai sejak awal pagi lagi.

Kebanyakan pengunjung mengambil kesempatan merakamkan gambar selain memerhatikan keadaan ikan tersebut dengan lebih dekat meskipun terpaksa menghidu bau kurang menyenangkan.

Seorang kakitangan kerajaan, Ahmad Kasa, 53, dari Seberang Jaya, Pulau Pinang berkata, dia mengambil keputusan membawa anak-anaknya untuk melihat lebih dekat ikan paus tersebut selepas membaca laporan Utusan Malaysia, hari ini.

“Seumur hidup saya, ini adalah pertama kali saya tengok ikan paus begitu besar. Walaupun sudah mati, namun kami sekeluarga masih teruja melihatnya,” katanya. - Utusan

Ahad, 13 Februari 2011

Pertemuan di PWTC

Presiden parti UMNO, DS Najib Razak telah mengadakan pertemuan dengan 118 ketua-ketua UMNO Bahagian di PWTC. Ini adalah Program Tranformasi Politik(PTP) yang mana merupakan satu kaedah yang diperkenalkan oleh PM bagi mengetahui dengan lebih mendalam masalah rakyat di bahagian-bahagian. Dalam pertemuan in PM lebih menekankan masalah dalaman parti diperingkat bahagian-bahagian perlu diselesai segera bagi menyakinkan rakyat bahawa UMNO masih releven. Beliau berharap semua masalah yang timbul dapat diperbetulkan dengan segera.

Kedah adalah negeri pertama dalam pertemuan tersebut. Ini adalah kerana kemelut beberapa UMNO Bahagian di Kedah dilihat boleh menjejaskan prestasi BN sekiranya PRU diadakan. Semua isu mengenai projek-projek yang melibatkan kesejahteraan rakyat diambil perhatian akan diselesai dalam masa singkat mengikut kemampuan kerajaan.

Pertemuan ini dilihat betapa seriusnya PM mahukan UMNO terus stabil dan dapat diterima oleh rakyat. Diharapkan semua ketua-ketua bahagian terutama di negeri Kedah memahami hasrat PM dan dapat menyelesaikan segala sengketa dalaman parti dengan kadar yang segera. Badan Perhubungan UMNO Negeri diharapkan dapat memainkan peranan yang lebih jelas dan berkesan menyelesaikan masalah ini. Jadikanlah pertemuan ini sebagai satu titik permulaan untuk mengembalikan keutuhan UMNO bahagian-bahagian.

Sejauh mana kemampuan ketua-ketua bahagian untuk menanggani kemelut masing-masing. Di bahgian Sungai Petani, kemampuan ketuanya akan teruji sekiranya tidak mampu menghadapi kumpulan yang menggelarkan diri mereka kumpulan GAA. Apakah selepas ini semua kemelut ini dapat diselesaikan. Apakah segala punca permasalahan dapat dirungkai dengan sebaik-baiknya nanti. Akan berpaut kembalikah kiambang selepas PTP ini.

Isnin, 17 Januari 2011

UMNO Kedah gerak jentera pilihan raya bulan depan

ALOR SETAR 17 Jan. - UMNO Negeri Kedah akan mula menggerakkan jentera pilihan rayanya bulan depan bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya umum diadakan pada tahun ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, UMNO perlu bersedia dan bersiap dengan segera bagi memperlihatkan kesungguhan untuk menawan semula Kedah kerana masa sudah suntuk.

Katanya, program Gelombang Merah akan dikerahkan bulan depan dan melakukan penambahbaikan terhadap program-program sebelum ini dengan slogan “BN Menang Kedah Senang”.

”Kena gerak betul-betul. Kita juga kena siapkan “bilik perang” yang dulu dikenali sebagai bilik gerakan. Kita akan wujudkan di setiap 672 daerah mengundi. Bilik ini peringkat bahagian pun ada, negeri pun ada,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan UMNO negeri malam tadi.

Ini merupakan mesyuarat pertama sejak rombakan bagi dua jawatan tertinggi dalam Umno negeri yang menyaksikan Ahmad Bashah dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri manakala Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir sebagai Timbalannya berkuat kuasa 1 Januari lepas. - Bernama