SUNGAI PETANI 12 Feb. – Bangkai ikan paus spesies Bryde‘s Whale yang ditemui terdampar di pantai Pulau Sayak, Kota Kuala Muda dekat sini kelmarin akan dilapah dan ditanam dagingnya, dalam tempoh terdekat.
Pegawai Penyelidik Unit Mamalia Marin, Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (Tumec), Terengganu, Mohd. Lazim Mohd. Saif berkata, ia bertujuan membolehkan pihaknya mengambil tulang untuk proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta mempamerkan kepada umum pada masa akan datang.
“Siasatan awal yang dijalankan menunjukkan paus ini jantan, ukuran panjang antara 10 hingga 12 meter dan beratnya pula dalam lingkungan lima tan.
“Berdasarkan keadaan bangkai dan kulit yang melecur, ia dipercayai mati lebih seminggu lalu sebelum dihanyutkan ke lokasi ini.
“Proses bedah siasat tidak dapat dijalankan memandangkan struktur sudah tidak kukuh. Oleh itu, memadai kita hanya lepah daging dan ambil tulangnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd. Lazim yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang ekosistem marin memberitahu, punca kematian ikan paus tersebut belum dapat dipastikan setakat ini.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada ikan termakan bahan buangan seperti plastik, botol minuman atau tali.
Kelmarin, penduduk Pulau Sayak, dekat sini gempar apabila seekor bangkai ikan paus seberat kira-kira empat tan terdampar di pantai yang terletak kira-kira 500 meter di belakang Pusat Pengeluaran dan Penyelidikan Benih Udang Kebangsaan.
Mamalia itu itu dipercayai jenis Bryde‘s berdasarkan ciri-ciri fizikalnya iaitu mempunyai kepala lebar dan tidak bergigi.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Perikanan negeri ketika dihubungi menasihatkan orang ramai supaya tidak mengusik atau mengambil serpihan tulang bangkai ikan paus berkenaan.
Ini kerana, bangkai haiwan marin tersebut merupakan spesies terancam dan dilindungi di bawah Peraturan-peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Marin Terancam) 1999 (Pindaan) 2008.
“Sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” jelas jurucakap itu.
Dalam pada itu, tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, lokasi penemuan bangkai ikan paus terus dikunjungi orang ramai sejak awal pagi lagi.
Kebanyakan pengunjung mengambil kesempatan merakamkan gambar selain memerhatikan keadaan ikan tersebut dengan lebih dekat meskipun terpaksa menghidu bau kurang menyenangkan.
Seorang kakitangan kerajaan, Ahmad Kasa, 53, dari Seberang Jaya, Pulau Pinang berkata, dia mengambil keputusan membawa anak-anaknya untuk melihat lebih dekat ikan paus tersebut selepas membaca laporan Utusan Malaysia, hari ini.
“Seumur hidup saya, ini adalah pertama kali saya tengok ikan paus begitu besar. Walaupun sudah mati, namun kami sekeluarga masih teruja melihatnya,” katanya. - Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan