Isnin, 11 Julai 2011

Persidangan Perwakilan UMNO Sungai Petani sedikit kecoh

Sungai Petani, 9 Julai - Persidangan perwakilan UMNO Bahagian Sungai Petani sedikit kecoh berikutan tindakan sekumpulan anggota parti Bahagian itu yang tidak berpuas hati dengan penggantungan ketua bahagian itu Ali Yahaya oleh Majlis Tertinggi (MT)

Kumpulan kira-kira 40 lelaki itu membawa sepanduk dan kain rentang memasuki dewan Institut Kemahiran Mara (IKM), tempat persidangan berlangsung sebaik Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md. Hanifah memasuki dewan kira-kira pukul 10 pagi.

Sepanduk dan kain rentang itu, antara lain tertera perkataan "mengapa ketua yang dipilih dipinggirkan" dan "kami mahu keadilan" selain mempersoalkan keputusan MT berhubung masalah bahagian itu.

Kekecohan itu bagaimanapun reda selepas 10 minit apabila Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Kedah Dato' Mukhriz Tun Mahathir meminta semua anggota UMNO menyelesaikan semua masalah sebagai satu keluarga. Kumpulan lelaki itu kemudianya beredar keluar.

Jawatan Ali sebagai ketua bahagian itu digantung berikutan kekecohan persidangan perwakilan bahagian itu pada 2010 dan kini ditadbir oleh sebuah jawatankuasa Panel Pengurusan dan Pentadbiran diketuai Mukhriz.

Selain Mukhriz, jawatankuasa Panel itu dianggotai Datuk Md Rozai Shafian, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir, Datuk Jamil Khir Baharom dan Datuk Othman Aziz.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Ahmad Bashah berkata memang ada sedikit rasa tidak puas hati dikalangan perwakilan tetapi keadaan adalah terkawal dan tidak menjejaskan perjalan mesyuarat.

Mukhriz pula berkata, beliau yakin masalah yang berlaku atau rasa tidak puas hati dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

sumber - Bernama

Tiada ulasan: