Jumaat, 10 Mei 2013

Masyarakat Cina kurang sifat perpaduan, kata sejarahwan kepada Utusan

KUALA LUMPUR, 10 Mei — Tokoh sejarahwan dalam akhbar pro-kerajaan Utusan Malaysia menyifatkan masyarakat Cina tidak memahami perpaduan, ia ekoran sokongan buruk masyarakat tersebut ke atas Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini.


Di dalam artikel bertajuk “Suara Tokoh Cina”, pakar sejarah Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim berkata sifat perkauman dalam masyarakat tersebut masih menebal sejak mereka masuk ke Malaya selepas dibawa oleh penjajah British.

“Kaum Cina tidak faham tentang semangat perpaduan. Ramai daripada mereka tidak anggap Malaysia sebagai negara sendiri sebaliknya sentiasa merasakan dijajah,” kata Khoo yang dipetik berkata dalam Utusan Malaysia. “Sebab itu semangat perkauman mereka masih tebal.”

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia tersebut paling lantang mengkritik dan menyalahkan masyarakat Cina ke atas prestasi buruk BN dalam Pilihan Raya 2013 disamping menyerang DAP yang dikatakan menghasut masyarakat tersebut.

Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga selepas keputusan PRU13 mengeluarkan kenyataan kontroversi apabila mengganggap pilihan raya kali ini adalah “Tsunami Cina” dan kemudiaan Utusan Malaysia menyokongnya dengan mengeluarkan artikel berbentuk perkauman “Apa lagi Cina mahu”.

Budayawan profesor Dr Lim Swee Tin pula menegaskan masyarakat Cina tidak mampu berpecah daripada masyarakat Melayu dan India kerana kekuatan pentadbiran negara memerlukan penyatuan.

Walaubagaimanapun, Lim menyatakan masyarakat Cina tidak berupaya menangkis niat jahat daripada pihak berkepentingan sama ada dari luar mahupun dalam negara terhadap kejahteraan Malaysia secara sendirian tanpa bantuan daripada masyarakat Melayu dan India.

“Saya penuh yakin dengan kemampuan Datuk Seri Najib Razak untuk memulihkan keadaan ini dengan membentuk penyatuan nasional.

“Kita pernah hadapi situasi cemas seumpama ini, tetapi kerana kebijaksanaan pemimpin-pemimpin negara, maka rakyat kembali bersatu,” kata Lim.

Disamping itu, parti pembangkang juga wajar dipersalahkan atas situasi yang berlaku ini kerana janji mereka tawarkan, kata pensyarah kanan Jabatan Pengajian Tionghua Universiti Malaya, Dr Thock Ker Pong.

Thock berkata masyarakat Cina melihat kejayaan transformasi yang dibawa oleh BN sejak beberapa tahun ini tetapi konsep perpisahan antara kaum mengikut komponen menjadi batu penghalang untuk mereka mengundi gabungan pemerintah tersebut.

“Saya juga merasakan BN gagal untuk melihat kepentingan mengutamakan golongan berpendapatan sederhana dalam setiap pemberian yang dilakukan.

“Ini kerana ramai kaum Cina berada pada kelas pertengahan dan mereka tidak merasai apa-apa daripada transformasi itu,” katanya.

Penganalisis telah menekankan keputusan Pilihan Raya 2013 bukanlah “Tsunami Cina” seperti didakwa oleh Najib akan tetapi peralihan besar pengundi bandar dan kelas menengah yang menyaksikan jurang antara bandar-luar bandar Malaysia semakin luas.

BN memenangi 133 berbanding 222 kerusi yang dipertandingkan untuk parlimen, menurun tujuh kerusi, kepada pembangkang jika dibandingkan dengan keputusan Pilihan Raya 2008.

Daripada 89 kerusi dimenangi PR, DAP memperolehi kerusi terbesar dengan 38 kerusi.

BN turut hilang undi popular kepada PR - pertama kali sejak 1969 ketika parti itu dikenali sebagai Parti Perikatan.

Malaysian Insider


..

Tiada ulasan: