Selasa, 7 September 2010

Najib diminta campur pergolakan Umno Sungai Petani

Kumpulan anti ketua bahagian Umno Sungai Petani, Ali Yahya kini mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak campurtangan bagi menyelesaikan pergolakan dalaman bahagian itu. Pengerusi Gerakan Anti Ali (GAA), Abu Bakar Ahmad berkata hasrat itu dinyatakan dalam pertemuan mereka dengan Timbalan Pengerusi Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanifah pagi tadi di sebuah hotel di Sungai Petani.

Abu Berkata mereka mengadakan pertemuan itu kerana tidak puas hati terhadap Umno negeri yang didakwa mengenepikan pihaknya dalam rundingan dengan pejabat agung sehingga arahan dikeluarkan tanpa mendapat pandangan semua pihak. Katanya, pihaknya meminta supaya Ahmad Bashah menetapkan tarikh dan masa untuk bertemu dengan Najib. Ini kerana mereka berbuat demikian tidak mahu "membelakangkan" Ahmad Bashah sebagai pemantau bahagian berkenaan.

Abu Bakar juga malah mendakwa pihaknya tidak menerima surat itu yang dikeluarkan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor yang bertarikh 19 Ogos lalu, antaranya didakwa mengarahkan Ali Yahya menjalankan tugas sebagai ketua bahagian seperti biasa. "Kalau begitu, gantung (pentadbiran bahagian) buat apa, Dah gantung, mana boleh jalankan tugas, "kata Abu Bakar Ahmad yang juga bekas pemangku ketua bahagian berkenaan.

Katanya, kerana tidak dibawa berbincang, mereka tidak tahu apa yang sebenarnya dijelaskan kepada Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya. "Beliau (Ahmad Bashah) sepatutnya berbincang dengan kita dan Ali, kemudian bawa dua rumusan (hasil perbincangan) dan bawa ke pengetahuan beliau," katanya merujuk lepada pertemuan Umno negeri dengan Ali pada 16 Ogos lalu di Kuala Lumpur.

Ditanya arahan Tengku Adnan dalam surat itu, Ahmad mendakwa Umno negeri diarahkan mengambil alih pentadbiran bahagian secara keseluruhan, termasuk ketiga-tiga sayap parti dan setiap mesyuarat bahagian perlu dihadiri oleh pengerusi Umno negeri atau wakilnya.

pada 21 Julai lalu, Umno Sungai Petani diambil alih pengurusannya oleh perhubungan negeri ekoran perbalahan dan kekecohannya dalam mensyuarat perwakilan bahagian itu pada 11 Julai lalu. Sumber - Malaysiakini (06/09/10)

Isnin, 6 September 2010

UMNO Sungai Petani masih bergolak

Kemelut perebut jawatan UMNO Bahagian Sungai Petani masih belum selesai. Gerakan Anti-Ali (GAA) mengakui bahawa ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Ali Yahya masih lagi memegang jawatan berkenaan.

Bagaimanapun beliau dikatakan tidak lagi mempunyai kuasa untuk mengurus dan menjalankan program di bahagian itu termasuk menyampaikan ucapan dalam program yang diadakan. "Majlis Tertinggi sudah menyerahkan kepada UMNO Kedah untuk mengambil alih keseluruhan pentadbiran, majlis dan program yang diadakan. Di (Ali) tidak boleh menguruskan program".

"(Dia) tak boleh sampaikan ucapan. Tak boleh... Macam kita pergi kerja ke pejabat, atas meja ada surat. Tapi kita tak boleh tandatangan surat, (dan) tidak boleh beri ucapan (dalam program) kata setiausaha GAA, Khairul Anuar Zainol."

Namun menurut Khairul Anuar, Ali di kesan melanggar arahan itu dengan menghadiri satu majlis pemberian elaun kepada Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) dan juga menyampaikan ucapan pada majlis tersebut. Katanya, beliau dimaklumkan berhubung perkara berkenaan daripada salah seorang pengerusi JKKKP yang hadir dalam majlis yang dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) pada 29 Ogos lalu.

Sehubungan itu, Khairul Anuar yang juga ketua UMNO Cawangan Industri, Sungai Petani mengesa Ali supaya "duduk berehat" dan memberi peluang kepada perhubungan UMNO negeri menguruskan program di bahagian tersebut dengan baik. Khairul Anuar mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa keputusan Majlis Tertinggi (MT) mengekalkan Ali sebagai ketua bahagian Sungai Petani setelah memutuskan pengurusan bahagian tersebut diambil alih oleh UMNO Kedah.

Mengulas lanjut, beliau juga menggesa jawatan yang diberikan atas kapasiti Ali sebagai ketua bahagian "dibekukan" termasuk jawatan Penyelaras Parlimen dan Pengerusi majlis pembangunan pertanian negeri sehingga Perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden UMNO "membuat keputusan".

Bukan prejudis

"Apabila keadaan selesai, dia ambil balik (jawatan tersebut), kita bukan prejudis sangat, katanya." Khairul Anuar juga mengesa UMNO Negeri supaya bersikap lebih telus dengan memanggil kedua-dua kumpulan, kumpulan Ali dan GAA untuk mendengar segala masalah yang timbul bagi menyelesaikannya dengan kadar segera.

Pada 21 Julai lalu, UMNO bahagian Sungai Petani diambil alih pengurusannya oleh Perhubungan Negeri ekoran perbalahan dan kekecohannya dalam mesyuarat bahagian itu AGM pada 11 Julai lalu. Persidangan perwakilan UMNO bahagian Sungai Petani kecoh apabila sebahagian perwakilan tidak membenarkan Ali berucap dimajlis perasmiannya. Keadaan bertambah kecoh apabila lebih ramai perwakilan bangun termasuk Naib Ketua bahagian, Datuk Firdaus Zakaria dan Ketua Puteri Sungai Petani, Shahanim Mohd Yusof yang turun dari pentas meminta Ali berundur sehingga menyebabkan pertikaman lidah antara perwakilan dengan ponyokong Ali.

Isu itu dirujuk kepada MT yang kemudianya menyerahkannya kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri untuk mencari jalan penyelesaian dengan diketuai Ahmad Bashah, yang dilantik pemangku ketua UMNO bahagian Sungai Petani. Selepas itu, Ahmad Bashah mengumumkan Ali kekal ketua bahagian tetapi diprotes GAA yang menganggap timbalan pengerusi UMNO Negeri (Ahmad Bashah) masih memangku jawatan Ali selaras dengan arahan MT dan Ali sewajarnya tidak memegang sebarang jawatan - sumber Malaysiakini (04/09/10)

Khamis, 22 Julai 2010

Badan Perhubungan UMNO Kedah tadbir Bahagian Sungai Petani

Mengenai kekecohan yang berlaku pada mesyuarat Umno Bahagian Sungai Petani, Najib berkata, pentadbiran bahagian berkenaan juga kini diserahkan kepada Badan Perhubungan Umno Kedah untuk diuruskan buat sementara waktu.

"Pengambilalihan kuasa pentadbiran oleh Badan Perhubungan Umno negeri-negeri berkenaan adalah untuk sementara waktu... bila sudah kembali pulih, kita beri balik kuasa kepada Umno bahagian itu.

"Ini bukan sesuatu perkara yang luar biasa, ia pernah berlaku dalam Umno," katanya. - sumber Mstar


MT telah buat keputusan, maka semua pihak kena akur. Jadikan ini sebagai satu pengajaran. Di harapkan UMNO Sungai Petani akan kembali pulih seperti sediakala...

Selasa, 13 Julai 2010

Kenyataan Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani

'Serah kepada MT untuk tindakan'

KUALA LUMPUR 12 Julai - Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Ali Yahaya menyerahkan kepada Majlis Tertinggi (MT) parti untuk menilai dan mengambil tindakan ekoran kekecohan yang berlaku pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian itu semalam.

Menurut Ali, pihaknya telah menyerahkan rakaman video sepanjang perjalanan mesyuarat itu kepada MT melalui Setiausaha Kerja Ibu Pejabat UMNO, Datuk Mohd. Rauf Yusof.

Katanya, selain bukti itu, beliau juga percaya Ahli MT, Datuk Abd. Azeez Abd. Rahim yang hadir selaku pemantau dari Ibu Pejabat UMNO boleh menjadi saksi kejadian pada hari tersebut.

"Selepas mesyuarat tamat, saya mengadakan mesyuarat di peringkat pengurusan bahagian bagi membincangkan kejadian itu dan meminta MT untuk mengambil tindakan keras ke atas ahli-ahli UMNO bahagian yang membuat kecoh.

"Berasaskan bukti (rakaman video) yang kini berada di Ibu Pejabat UMNO, diharap MT akan menyelesaikan perkara ini berdasarkan perlembagaan parti berikutan berkelakuan mereka yang tidak beretika,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ali memberi penjelasan berhubung Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sungai Petani semalam yang menjadi kecoh apabila sebahagian daripada perwakilan tidak membenarkan beliau berucap pada majlis perasmian.

Kekecohan hampir 45 minit itu bermula kira-kira pukul 9.30 pagi iaitu selepas bacaan doa dan nyanyian lagu Negaraku apabila seorang Ahli Jawatankuasa UMNO bahagian itu, Mohd. Yusuf Lazim bangun dan terus menyatakan perasaan tidak puas hati secara terbuka terhadap Ali.

Menurut Ali lagi, pertikaman lidah dan kekecohan itu bukannya berlaku sepanjang mesyuarat berlangsung, sebaliknya ia berlaku ketika majlis perasmian sahaja.

Beliau turut menyangkal dakwaan bekas Pemangku Ketua UMNO bahagian, Abu Bakar Ahmad bahawa lebih 60 peratus daripada 441 perwakilan yang hadir mahu beliau melepaskan jawatan sebagai ketua bahagian.

Katanya, jumlah sebenar ahli yang melakukan kekecohan pada majlis pembukaan tersebut ialah sekitar 30 hingga 40 orang sahaja.

"Saya hairan kenyataan itu mendakwa perwakilan yang mahu saya meletak jawatan mencecah 60 peratus sedangkan ketika saya memberi ucapan penangguhan mesyuarat, seramai 350 daripada lebih 430 perwakilan yang berada di dalam dewan menyatakan sokongan mereka kepada saya.

"Mesyuarat semalam berjalan lancar dan kekecohan yang berlaku hanya sewaktu perasmian,'' jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Firdaus Zakaria menjelaskan tindakannya yang turut turun pentas semasa insiden kekecohan dalam mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian semalam adalah bertujuan meleraikan perwakilan.

Sehubungan itu, katanya, tindakan yang diambil tersebut bukan bertujuan menyertai sebahagian perwakilan mendesak Ketua Bahagiannya, Ali Yahaya supaya berundur dari jawatan itu.

"Saya sebenarnya diminta oleh Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd. Rauf Yusof untuk turun membantu menenangkan perwakilan terbabit. Mungkin dalam suasana kelam-kabut tersebut, saya dilihat seolah-olah menyertai perwakilan membantah.

"Apa pun, saya bersyukur kerana tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku kerana masalah kemudiannya diselesaikan dengan baik," katanya sebagai mengulas kekeliruan dalam laporan media yang menyatakan beliau bersama Ketua Puteri UMNO bahagian, Shahanim Mohd. Yusof turut turun pentas memberikan sokongan terhadap perwakilan yang mencetuskan kekecohan.

Sementara itu, Badan Perhubungan UMNO negeri akan mendapatkan laporan penuh insiden kekecohan dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sungai Petani semalam.

Sambil melahirkan kekecewaannya, Timbalan Pengerusi badan itu, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, kejadian itu sepatutnya tidak berlaku memandangkan UMNO mempunyai saluran dalaman untuk menyalurkan sebarang permasalahan. - sumber Utusan Malaysia

Isnin, 12 Julai 2010

Mesyuarat perwakilan Sungai Petani kecoh



MOHD. Yusuf Lazim (kanan) bangun menyatakan pendirian tidak puas hati secara terbuka dengan Ali Yahaya semasa hendak memulakan ucapan pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sungai Petani, Kedah, semalam.


SUNGAI PETANI 11 Julai - Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sungai Petani hari ini kecoh apabila sebahagian besar perwakilan tidak membenarkan ketua bahagian, Ali Yahaya berucap pada majlis perasmiannya.

Kekecohan hampir 45 minit itu bermula kira-kira pukul 9.30 pagi iaitu selepas bacaan doa dan nyanyian lagu Negaraku apabila seorang Ahli Jawatankuasa bahagian itu, Mohd. Yusuf Lazim bangun dan terus menyatakan perasaan tidak puas hati secara terbuka terhadap Ali.

Menurut Mohd. Yusof, Ali tidak layak menjadi ketua bahagian kerana menimbulkan pelbagai kesulitan kepada kepimpinan parti dan mahu beliau melepaskan jawatan.

Tindakan tersebut disokong sebahagian besar perwakilan termasuk ahli Wanita dan Puteri, malah Naib Ketua UMNO bahagian, Datuk Firdaus Zakaria dan Ketua Puteri bahagian, Shahanim Mohd. Yusof yang berada di atas pentas turut turun menyertai perwakilan meminta Ali berundur.

Suasana tegang tercetus apabila berlaku kejadian tolak menolak dan pertikaman lidah antara perwakilan dengan penyokong Ali.

Ekoran itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Abd. Azeez Abd. Rahim selaku pemantau dari Ibu Pejabat UMNO terpaksa campur tangan dan meminta perwakilan memberi laluan kepada Ali berucap, namun mereka bertegas tidak membenarkan Ali berbuat demikian.

Keadaan itu memaksa Abd. Azeez beralah dan mencadangkan agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom terus berucap merasmikan majlis berkenaan serta menyambung mesyuarat selepas itu dan dipersetujui perwakilan.

Bekas Pemangku Ketua UMNO bahagian, Abu Bakar Ahmad mendakwa, lebih 60 peratus daripada 441 perwakilan yang hadir mahu Ali melepaskan jawatan.

"Kami ingin menyampaikan mesej kepada pucuk pimpinan parti bahawa Ali tidak dikehendaki lagi di Sungai Petani. Dia tidak layak jadi ketua bahagian. Macam-macam masalah dicetuskan beliau termasuk menghalang dan cuba mensabotaj program yang diadakan oleh sayap parti," jelasnya.

Beliau mendakwa, Ali menjadi punca 10 cawangan tidak dapat mengadakan mesyuarat dan satu cawangan dibubarkan. UMNO Bahagian Sungai petani mempunyai 130 cawangan.

Sementara itu, Abd. Azeez ketika ditemui berkata, pihaknya akan membuat laporan mengenai kejadian itu dan membentangkannya kepada Majlis Tertinggi (MT) UMNO dalam tempoh terdekat ini.

"Sebarang tindakan dan keputusan mengenai kes berkenaan akan diputuskan oleh MT yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Beliau berharap, kemelut berkenaan dapat diselesaikan dengan semangat kekeluargaan dan berlandaskan perlembagaan parti.

"Bagi mereka yang masih tidak berpuas hati terhadap kepimpinan, boleh hantar memorandum mengikut saluran dan tertib yang digariskan perlembagaan," katanya.

Selain Abd. Azeez, Ibu Pejabat UMNO turut menghantar Setiausaha Kerjanya, Datuk Mohd. Rauf Yusof dan Ahli MT, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir memantau mesyuarat terbabit.

Dalam perkembangan berkaitan, Ali dibenar memberi ucapan penangguhan pada akhir mesyuarat berkenaan kira-kira pukul 5 petang ini. - Utusan Malaysia


Sepanjang pemerhatian saya, kekecohan sebenarnya tak sampai pun 30 minit. Keadaan di redakan oleh Datuk Abd. Azeez Abd. Rahim. Manakalana pengundian G7 berjalan lancar. Ucapan penangguhan juga hangat. Namun begitu lebih dari 60% perwakilan masih menunggu sehingga Ketua Bahagian, Ali Yahya selesai membuat penggulungan. Matlamat sebenar kekecohan adalah untuk menyatakan rasa tidak puas hati sebahagian perwakilan kepada Ketua Bahagian.

Isnin, 10 Mei 2010

1,700 ahli PKR keluar parti

Menurut berita dari Utusan, terdapat lebih 1,700 ahli PKR berketurunan India telah keluar dari PKR kerana hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan mereka khususnya Penasihat Parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Letchumanan Kattu Raja, 60 tahun, seorang usahawan yang mengetuai kumpulan terbabit, mereka akan menyertai MIC. Semasa Kedah di perintah oleh BN kerusi DUN Lunas adalah milik MIC. Apakah MIC kini bersedia untuk mengalas tanggungjawab dalam PRU akan datang untuk membantu BN kembali mengusai negeri Kedah.

Sekiranya sokongan rakyat terhadap PKR semakin meruncing, komponen BN mestilah mengukuhkan pengaruhnya untuk menguasai semula negeri Kedah. Tanpa perpaduan yang kukoh di kalangan komponen BN, agak sukar untuk BN menawan kembali negeri Kedah dari tangan Pakatan Rakyat.

Rabu, 5 Mei 2010

Remaja samun kafe siber, rakan cedera ditembak polis

KUALA LUMPUR 5 Mei – Sekumpulan remaja yang menyamun sebuah premis menerima padah apabila salah seorang daripada mereka ditembak polis dalam satu kejadian di sebuah kafe siber di Jalan Genting Klang di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.10 pagi itu, dua anggota polis berpakaian preman yang ditugaskan untuk menjalankan rondaan di kawasan itu masuk ke dalam kafe siber berkenaan dan pergi ke tandas.

Sebaik keluar dari tandas, kedua-dua mereka terkejut apabila premis terbabit bertukar kecoh apabila tujuh lelaki bersenjatakan parang menjerit-jerit serta menghunus dan melibas senjata yang dibawa mereka.

Kesemua suspek yang menyamun kafe siber itu menggunakan pelbagai jenis senjata seperti pedang samurai, parang panjang, parang pemotong daging, kapak, gergaji dan pisau. - sumber Utusan.

Belum habis kes Aminulrashid, kini muncul pula kes yang juga melibatkan remaja dengan pihak PDRM. Kejadian berlaku juga melepasi tengah malam. Sesuaikah remaja berada diluar rumah di kala dinihari.