Selasa, 13 Julai 2010

Kenyataan Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani

'Serah kepada MT untuk tindakan'

KUALA LUMPUR 12 Julai - Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Ali Yahaya menyerahkan kepada Majlis Tertinggi (MT) parti untuk menilai dan mengambil tindakan ekoran kekecohan yang berlaku pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian itu semalam.

Menurut Ali, pihaknya telah menyerahkan rakaman video sepanjang perjalanan mesyuarat itu kepada MT melalui Setiausaha Kerja Ibu Pejabat UMNO, Datuk Mohd. Rauf Yusof.

Katanya, selain bukti itu, beliau juga percaya Ahli MT, Datuk Abd. Azeez Abd. Rahim yang hadir selaku pemantau dari Ibu Pejabat UMNO boleh menjadi saksi kejadian pada hari tersebut.

"Selepas mesyuarat tamat, saya mengadakan mesyuarat di peringkat pengurusan bahagian bagi membincangkan kejadian itu dan meminta MT untuk mengambil tindakan keras ke atas ahli-ahli UMNO bahagian yang membuat kecoh.

"Berasaskan bukti (rakaman video) yang kini berada di Ibu Pejabat UMNO, diharap MT akan menyelesaikan perkara ini berdasarkan perlembagaan parti berikutan berkelakuan mereka yang tidak beretika,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ali memberi penjelasan berhubung Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sungai Petani semalam yang menjadi kecoh apabila sebahagian daripada perwakilan tidak membenarkan beliau berucap pada majlis perasmian.

Kekecohan hampir 45 minit itu bermula kira-kira pukul 9.30 pagi iaitu selepas bacaan doa dan nyanyian lagu Negaraku apabila seorang Ahli Jawatankuasa UMNO bahagian itu, Mohd. Yusuf Lazim bangun dan terus menyatakan perasaan tidak puas hati secara terbuka terhadap Ali.

Menurut Ali lagi, pertikaman lidah dan kekecohan itu bukannya berlaku sepanjang mesyuarat berlangsung, sebaliknya ia berlaku ketika majlis perasmian sahaja.

Beliau turut menyangkal dakwaan bekas Pemangku Ketua UMNO bahagian, Abu Bakar Ahmad bahawa lebih 60 peratus daripada 441 perwakilan yang hadir mahu beliau melepaskan jawatan sebagai ketua bahagian.

Katanya, jumlah sebenar ahli yang melakukan kekecohan pada majlis pembukaan tersebut ialah sekitar 30 hingga 40 orang sahaja.

"Saya hairan kenyataan itu mendakwa perwakilan yang mahu saya meletak jawatan mencecah 60 peratus sedangkan ketika saya memberi ucapan penangguhan mesyuarat, seramai 350 daripada lebih 430 perwakilan yang berada di dalam dewan menyatakan sokongan mereka kepada saya.

"Mesyuarat semalam berjalan lancar dan kekecohan yang berlaku hanya sewaktu perasmian,'' jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Firdaus Zakaria menjelaskan tindakannya yang turut turun pentas semasa insiden kekecohan dalam mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian semalam adalah bertujuan meleraikan perwakilan.

Sehubungan itu, katanya, tindakan yang diambil tersebut bukan bertujuan menyertai sebahagian perwakilan mendesak Ketua Bahagiannya, Ali Yahaya supaya berundur dari jawatan itu.

"Saya sebenarnya diminta oleh Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd. Rauf Yusof untuk turun membantu menenangkan perwakilan terbabit. Mungkin dalam suasana kelam-kabut tersebut, saya dilihat seolah-olah menyertai perwakilan membantah.

"Apa pun, saya bersyukur kerana tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku kerana masalah kemudiannya diselesaikan dengan baik," katanya sebagai mengulas kekeliruan dalam laporan media yang menyatakan beliau bersama Ketua Puteri UMNO bahagian, Shahanim Mohd. Yusof turut turun pentas memberikan sokongan terhadap perwakilan yang mencetuskan kekecohan.

Sementara itu, Badan Perhubungan UMNO negeri akan mendapatkan laporan penuh insiden kekecohan dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sungai Petani semalam.

Sambil melahirkan kekecewaannya, Timbalan Pengerusi badan itu, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, kejadian itu sepatutnya tidak berlaku memandangkan UMNO mempunyai saluran dalaman untuk menyalurkan sebarang permasalahan. - sumber Utusan Malaysia

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sebenarnya tangan ghaib dibelakang suma citer ni adalah dato firdaus. Ni la bangsa mamak & warisan sikitul dalam sejarah moden melayu. dia la yg sponsor duit utk pastikan benda2 mcm ni berlaku....

Anak Pantai Merdeka berkata...

Maklumat tidak rasmi yang saya dapat pun begitu juga. Al-maklumlah Timbalan Ketua Bahagian menghadapi masalah kesihatan, maka sekiranya semua ini berjaya, tak mustahil Dato' Firdaus bakal ditabalkan sebagai Pemangku Ketua Bahagian.

Bab sponsor duit itu saya tak pasti tetapi apa-apa semua ini dirancang oleh pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Bahagian.