Isnin, 12 Julai 2010

Mesyuarat perwakilan Sungai Petani kecoh



MOHD. Yusuf Lazim (kanan) bangun menyatakan pendirian tidak puas hati secara terbuka dengan Ali Yahaya semasa hendak memulakan ucapan pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sungai Petani, Kedah, semalam.


SUNGAI PETANI 11 Julai - Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sungai Petani hari ini kecoh apabila sebahagian besar perwakilan tidak membenarkan ketua bahagian, Ali Yahaya berucap pada majlis perasmiannya.

Kekecohan hampir 45 minit itu bermula kira-kira pukul 9.30 pagi iaitu selepas bacaan doa dan nyanyian lagu Negaraku apabila seorang Ahli Jawatankuasa bahagian itu, Mohd. Yusuf Lazim bangun dan terus menyatakan perasaan tidak puas hati secara terbuka terhadap Ali.

Menurut Mohd. Yusof, Ali tidak layak menjadi ketua bahagian kerana menimbulkan pelbagai kesulitan kepada kepimpinan parti dan mahu beliau melepaskan jawatan.

Tindakan tersebut disokong sebahagian besar perwakilan termasuk ahli Wanita dan Puteri, malah Naib Ketua UMNO bahagian, Datuk Firdaus Zakaria dan Ketua Puteri bahagian, Shahanim Mohd. Yusof yang berada di atas pentas turut turun menyertai perwakilan meminta Ali berundur.

Suasana tegang tercetus apabila berlaku kejadian tolak menolak dan pertikaman lidah antara perwakilan dengan penyokong Ali.

Ekoran itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Abd. Azeez Abd. Rahim selaku pemantau dari Ibu Pejabat UMNO terpaksa campur tangan dan meminta perwakilan memberi laluan kepada Ali berucap, namun mereka bertegas tidak membenarkan Ali berbuat demikian.

Keadaan itu memaksa Abd. Azeez beralah dan mencadangkan agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom terus berucap merasmikan majlis berkenaan serta menyambung mesyuarat selepas itu dan dipersetujui perwakilan.

Bekas Pemangku Ketua UMNO bahagian, Abu Bakar Ahmad mendakwa, lebih 60 peratus daripada 441 perwakilan yang hadir mahu Ali melepaskan jawatan.

"Kami ingin menyampaikan mesej kepada pucuk pimpinan parti bahawa Ali tidak dikehendaki lagi di Sungai Petani. Dia tidak layak jadi ketua bahagian. Macam-macam masalah dicetuskan beliau termasuk menghalang dan cuba mensabotaj program yang diadakan oleh sayap parti," jelasnya.

Beliau mendakwa, Ali menjadi punca 10 cawangan tidak dapat mengadakan mesyuarat dan satu cawangan dibubarkan. UMNO Bahagian Sungai petani mempunyai 130 cawangan.

Sementara itu, Abd. Azeez ketika ditemui berkata, pihaknya akan membuat laporan mengenai kejadian itu dan membentangkannya kepada Majlis Tertinggi (MT) UMNO dalam tempoh terdekat ini.

"Sebarang tindakan dan keputusan mengenai kes berkenaan akan diputuskan oleh MT yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Beliau berharap, kemelut berkenaan dapat diselesaikan dengan semangat kekeluargaan dan berlandaskan perlembagaan parti.

"Bagi mereka yang masih tidak berpuas hati terhadap kepimpinan, boleh hantar memorandum mengikut saluran dan tertib yang digariskan perlembagaan," katanya.

Selain Abd. Azeez, Ibu Pejabat UMNO turut menghantar Setiausaha Kerjanya, Datuk Mohd. Rauf Yusof dan Ahli MT, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir memantau mesyuarat terbabit.

Dalam perkembangan berkaitan, Ali dibenar memberi ucapan penangguhan pada akhir mesyuarat berkenaan kira-kira pukul 5 petang ini. - Utusan Malaysia


Sepanjang pemerhatian saya, kekecohan sebenarnya tak sampai pun 30 minit. Keadaan di redakan oleh Datuk Abd. Azeez Abd. Rahim. Manakalana pengundian G7 berjalan lancar. Ucapan penangguhan juga hangat. Namun begitu lebih dari 60% perwakilan masih menunggu sehingga Ketua Bahagian, Ali Yahya selesai membuat penggulungan. Matlamat sebenar kekecohan adalah untuk menyatakan rasa tidak puas hati sebahagian perwakilan kepada Ketua Bahagian.

Tiada ulasan: