Selasa, 3 Februari 2009

Menteri yang berprinsip

Menteri Thai letak jawatan

BANGKOK 3 Feb. - Hanya dalam tempoh yang singkat, kerajaan baru Thailand menghadapi pergolakan politik pertamanya dengan peletakan jawatan Menteri Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia Witoon Nambutr berikutan skandal ikan bertin yang busuk.
Witoon, anggota parti pemerintah Demokrat dari Ubon Ratchathani di Timur Laut negara itu, mengumumkan peletakan jawatan beliau selepas mesyuarat kabinet mingguan yang dipengerusikan Perdana Menteri dan ketua parti tersebut Abhisit Vejjajiva di Rumah Kerajaan hari ini.
“Saya membuat keputusan sendiri untuk meletak jawatan, tiada sesiapa pun memberi tekanan kepada saya, saya tidak bersalah, saya tidak ada kaitan dengan kes ikan bertin yang busuk itu tetapi saya meletakkan jawatan untuk menjaga nama baik parti saya, kerajaan dan negara,” kata beliau pada persidangan akhbar di sini. - Bernama


Inilah yang dikatakan pemimpin yang berprinsip. Mampukah kita memiliki pemimpin yang sebegini di Malaysia. Rakyat sebenarnya mahukan seorang pemimpin yang terbaik dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi. Sekiranya situasi begini ada di kalangan kita, kita mampu menjana kekuatan dalam parti dan kerajaan. Prinsip yang sebegini melambangkan pemimpin tersebut lebih mementingkan parti dan kerajaan berbanding dirinya sendiri.

Rakyat telah memilih pemimpin dan sepatutnya mandat tersebut dimanfaat sebaiknya. Sebaliknya rakyat akan kecewa sekiranya pemimpin yang mereka pilih lebih mementingkan dirinya berbanding rakyat yang diwakilinya. Jangan sampai satu masa nanti rakyat sudah tidak lagi menghormati pemimpin. Sebarang tindakan yang hendak dilakukan pemimpin hendaklah berhemah, bukannya tindakan yang membuatkan rakyat semakin benci dan meluat kepada pemimpin.

Penulis cukup terharu bila Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sanggup melepaskan jawatannya berikutan kekalahan BN untuk memperolehi majoriti 2/3 di Parlimen. Kini masih lagi ada pemimpin yang masih mahu mengekalkan kedudukannya walaupun negeri yang dipimpinnya tewas. Sewajarnya pemimpin tersebut mengambil tanggungjawab atas kekalahan tersebut. Mungkin prinsip pemimpin berkenaan tidak sama dengan prinsip Witoon Nambutr.

Bebas yang tidak bebas

UMNO nafi tawar wang pada exco Kedah untuk lompat
Abdul Rahim Sabri


Umno Kedah nafi BN pernah berjanji menawarkan wang kepada Arumugam Vengatarakoo dalam cubaan memancing exco negeri Kedah itu menyertai parti tersebut."Kita menafikan kita buat benda-benda (menawarkan wang) itu. Tak mungkin, buang duit, buang duit saja," kata Ketua Penerangan Umno Kedah, Datuk Mohd Hadzir Ismail ketika dihubungi Malaysiakini.Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Selambau itu semalam membuat laporan polis, mendawa ada usaha mengajaknya meninggalkan PKR, termasuk melalui ugutan jenayah terhadapnya, keluarga dan pegawainya.Bagaimanapun, Arumugam tidak menjelaskan jumlah wang yang ditawarkan kepadanya dan pihak yang cuba menyogoknya.- Sumber Malaysiakini.

YB Arumugam bertanding atas tiket bebas dan menang. Kemudian beliau lompat masuk PKR dan dilantik sebagai exco. Dalam senario ini beliau bukanlah bertanding atas tiket BN dan lompat. Kalau tanding guna logo BN kemudian lompat, logiknya juga BN nak kacau dia.

Kalau beliau masuk BN pun BN masih tak boleh memerintah di Kedah. BN hanya ada 13 kerusi berbanding PAS 17, PKR 5 (termasuk Bukit Selambau) dan DAP 1 kerusi. Rasanya BN tak perlu nak rebut kerusi tersebut, kalau nak pun kena tunggu PRU ke-13. Hakikatnya Pakatan Rakyat kukoh di Kedah.

Cuma kini kita tunggu apa pula reaksi Mantan MB kedah selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri atas laporan polis yang dibuat oleh YB Arumugam. Pemimpin harus membersihkan nama UMNO sebelum UMNO terus dicemari.

Isnin, 2 Februari 2009

Politik kini semakin bercelaru

Percaturan politik di Perak terus meruncing. Adakah mereka-mereka yang terlibat ada masalah dengan parti-parti yang mereka wakili. Kalau ADUN Bota, Datuk Nasaruddin ada masalah dengan UMNO dan keluar parti, bagaimana pula dengan ADUN Behrang, Jamaludin Mohd. Radzi. Begitu juga dengan ADUN Changkat Jering, Mohd Osman Jailu. Apakah mereka juga ada masalah dengan PKR. Tidak terkecuali juga dengan ADUN Jelapang, Hee Yit Foong yang mewakili DAP. Adakah persefahaman mereka dalam Pakatan Rakyat begitu rapuh atau ada pihak yang cuba memancing mereka. Terkini pendedahan Fauzi Muda, selaku Ketua Bahagian Ipoh Barat parti PKR yang mendakwa pihak UMNO cuba memujuk mereka melompat parti tahun lalu.

Kestabilan kerajaan negeri Perak boleh tergugat sekiranya pergolakkan politik ini tidak ditanggani dengan cara berhemah. Keputusan SPR mengenai kedudukan kerusi Behrang dan Changkat Jering nanti akan menentukan pola politik Perak mungkin berubah.

Dakwaan ADUN Bukit Selambau mengenai ugutan yang di terima adalah serius dan boleh menyebabkan persepsi rakyat terhadap BN akan mula terhakis. Kalau kes Fauzi Muda dan Arumugam Vengatarako benar, tentunya ianya memberi impak yang besar kepada BN. Rakyat kini sedang memerhati gelagat wakil-wakil rakyat yang mereka pilih Mac tahun lalu. Adakah semua yang terlibat benar-benar ikhlas untuk berkhidmat kepada rakyat yang mereka wakili atau sebaliknya.

Pelbagai dakwaan boleh mereka cetuskan, ini membuatkan rakyat akan lebih berhati-hati memilih wakil mereka di masa hadapan. Harapan rakyat wakil yang mereka pilih hendaklah memberi khidmat kepada mereka. Percaturan politik samada BN, PKR, DAP mestilah percaturan yang diterima rakyat, sekiranya percaturan tersebut dilihat sebagai memenuhi kepentingan peribadi, percayalah, rakyat akan menolak mereka nanti.

Jumaat, 30 Januari 2009

Menjelang Mac 2009

Beberapa peristiwa panas menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Mac nanti. Dalam masa dua bulan yang penuh debaran, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak mengantikan Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali berikutan tindakan ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang menyertai Parti Keadilan Rakyat. Rasa tidak puas hati ADUN BN di Perak adalah kerana Datuk Seri Tajol dikatakan gagal melaksanakan langkah-langkah positif selepas BN kalah di Perak. Ini juga kerana kegagalan Badan Perhubungan UMNO Perak mengatasi beberapa masalah UMNO di beberapa Bahagian di Perak.

Cadangan Tan Sri Tengku Ahmad Ritahaudeen supaya semua sayap dalam UMNO dibubarkan mendapat reaksi yang cukup membayangkan betapa sayangnya pemimpin UMNO terhadap jawatan yang disandangkan mereka. Cadangan ini telah mencuit hati kepimpinan tertinggi UMNO. Dicadangkan adalah lebih sesuai cadangan-cadangan ini dibincangkan di PAU Mac nanti kerana disini semua perwakilan boleh memberi pandangan mereka. Maka pandangan terbaik haruslah dilaksanakan semoga UMNO akan terus diterima di mata warga UMNO terutama ahli akar umbi. UMNO kini harus mengambil kira pandangan akar umbi selain dari pandangan kepimpinan tertinggi kerana hidup mati UMNO didukong oleh semua warga UMNO bukannya oleh kepimpinan sahaja.

Seharusnya sebarang pertelagahan dalam UMNO dihentikan di semua peringkat. Sewajarnya UMNO mesti bersatu bagi memastikan pembangkang tidak dapat memperkotak-katikkan kita. Walau apa pun lagu yang didendangkan, kita jangan terus menari mengikut rentak mereka. Sebagai sebuah parti yang cukup berpengalaman, gunakan kelebihan ini bagi memastikan rakyat selesa dengan UMNO.

Khamis, 22 Januari 2009

Antara Pemilihan UMNO dan Pilihan Raya : mana jadi pilihan pemimpin

Selepas kekalahan UMNO di Kuala Terengganu pelbagai reaksi yang kita dapat. Sejak Pilihan Raya Umum(PRU) yang lalu, UMNO seolah-olah tidak melakukan sesuatu bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadapnya. Apa yang diberi tumpuan adalah peralihan kuasa dan pemilihan parti. Apabila isu peralihan kuasa dan pemilihan parti mula dicemari, rakyat semakin menjauhkan diri dari UMNO. Pakatan Rakyat cuba mengukuhkan kedudukkan di mata rakyat. Pelbagai helah mereka lakukan, namun rakyat seolah-olah merestui apa yang mereka laksanakan terutama di Perak dan Selangor. Ini adalah kerana imej UMNO tidak segera dipulihkan di mata rakyat.

Apa yang mengembirakan kerana masih ada jua segelintir pemimpin yang masih mampu bersuara bagi mengimbangi suara pembangkang. Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin harus dilihat dari perspektif yang positif ia-itu mahukan perubahan yang lebih ketara dalam UMNO. Namun ada segelintir pemimpin masih dengan gaya mengampu yang tak sudah-sudah.

Penulis difahamkan, kempen menjelang PAU Mac depan sedang giat dijalankan, almaklumlah ramai kepimpinan tertinggi bimbang kalau mereka kalah dalam pemilihan Mac nanti kedudukan yang disandang juga mungkin terbang dan melayang. Jadi antara kepentingan peribadi dengan kepentingan parti yang mana harus diberi keutamaan. Kalau dalam pemilihan UMNO kita berjaya tetapi dalam pilihan raya kita gagal, jadilah kita umpama menang sorak kampung tergadai.

Kepimpinan harus akur bahawa rakyat kini telah mula menilai sejauh mana kemampuan UMNO membantu rakyat berbanding dengan Pakatan Rakyat. Mana-mana parti yang berjaya menawan hati rakyat, itulah yang menjadi pilihan mereka. Kita tidak boleh salahkan rakyat, kerana mereka berhak memilih yang terbaik dari yang baik-baik.

Isnin, 19 Januari 2009

UMNO tidak releven di Kuala Terengganu

Kekalahan UMNO di Kuala Terengganu memberi impak yang besar menjelang Perhimpunan Agong UMNO Mac nanti. Sejak Pilihan Raya Umum sudah ada dua kali Pilihan Raya Kecil. Kalau di Permatang Pauh kerusi PKR kembali kepada PKR tetapi di Kuala Terengganu kerusi UMNO, kini menjadi milik PAS.

Rakyat telah membuat pilihan mereka. Sekarang kepimpinan tertinggi UMNO mesti menilai diri masing-masing, apakah rakyat masih menerima mereka selepas PRU yang lalu. Ini adalah kerana kempen yang keterlaluan semasa pemilihan Bahagian membuatkan rakyat mula muak dengan UMNO. Sekiranya perwakilan UMNO silap membuat perhitungan pada Mac nanti, padahnya UMNO mungkin di talkin selepas PRU ke-13 nanti.

Persoalannya mampukah bakal Perdana Menteri, Datuk Najib membawa UMNO/BN untuk memperolehi majoriti 2/3 di Parlimen dan menawan semula lima negeri dalam PRU-13 nanti. Ini adalah kerana dalam dua PRK, ternyata Datuk Najib gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan berkesan. Sewajarnya para perwakilan dalam PAU nanti memilih barisan kepimpinan yang boleh diterima rakyat bukannya yang hanya boleh diterima oleh warga UMNO sahaja. Ini amat penting bagi memastikan UMNO terus releven. Kalau para perwakilan gagal membuat pilihan yang tepat pada Mac nanti, rakyat akan meluahkan perasaan tidak puas hati mereka atas kertas undi dalam PRU-13 nanti.

Selasa, 6 Januari 2009

Tamparan awal KT - Calon Akim sokong PAS

Tiga calon bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu ialah calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, calon Pas, Abdul Wahid Endut dan calon bebas, Azharudin Mamat. Sementara itu, dua lagi calon yang disebut-sebut sebelum ini untuk bertanding pada pilihan raya itu iaitu calon Bebas, Isma Airsath dan Maimun Yusuf tidak kelihatan sehingga tamat proses penamaan calon itu.


Pertandingan tiga penjuru ini sama seperti di PRK Permatang Pauh, cuma di Kuala Terengganu di tandingi oleh calon Bebas selain dari BN dan PAS. Penarikkan diri calon AKIM Harun Mohamad dari bertanding dan keputusan beliau menyokong parti PAS merupakan tamparan awal kepada BN. Walaupun tindakan Harun Mohamad tidak direstui partinya AKIM, namun ianya memberi mesej jelas bahawa AKIM Kuala Terengganu tentunya berpihak kepada PAS.

Jentera BN haruslah mantap dalam melaksanakan tugasan kempen. Rakyat bukannya mahu pembangunan semata-mata tetapi keperihatinan kerajaan terhadap rakyat perlu diberi keutamaan. Keperitan hidup rakyat haruslah ditanggani secara sistematik bukannya bila ada saja PRK baru pemerintah hendak memenuhi kehendak rakyat di kawasan tersebut. Pembangkang akan mencari seberapa banyak kelemahan BN dan BN perlu menangkis segala tuduhan secara berhemah bukan dengan melatah.