Pemilihan UMNO di peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi (MT) yang sepatutnya berlangsung tahun depan ditangguhkan selama 18 bulan.
Ketetapan itu dibuat oleh MT yang bermesyuarat malam ini dan diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, penangguhan berkenaan bukannya perkara luar biasa kerana ia dibenarkan perlembagaan parti selain pernah dilakukan beberapa kali sebelum ini.
Najib turut menafikan penangguhan itu mempunyai kaitan dengan pilihan raya umum sebaliknya menjelaskan ia bagi membolehkan seluruh perhatian serta tenaga pemimpin dan ahli UMNO terarah kepada usaha pemantapan parti
“Kita tidak mahu tahun depan dan berikutnya dijadikan medan pergelutan politik yang boleh timbulkan perbalahan dalam parti walaupun kita percaya ia boleh dibendung dan tidak berlaku keadaan tertekan sebagaimana parti politik lain.
“Kita nak UMNO tumpu kepada pemantapan dan pemulihan parti berdasarkan model baru politik,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat MT UMNO di Menara Dato’ Onn, di sini malam ini.
Sementara itu, Najib turut mengumumkan UMNO akan mewajibkan semua Ketua Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri peringkat cawangan menghadiri kursus khas bermula tahun depan.
Katanya, kursus berkenaan akan melibatkan lebih 50,000 pemimpin UMNO di peringkat akar umbi dan akan diadakan dalam masa beberapa bulan akan datang.
- Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan