Selasa, 19 April 2011

Persiapan menjelang PRU ke-13

ALOR SETAR 18 April - Semua bahagian UMNO di negeri ini diarahkan supaya memberi tumpuan khusus kepada perbincangan menyediakan jentera parti yang lebih padu dan berkesan pada mesyuarat perwakilan bahagian masing-masing yang dijadual bermula bulan depan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, para perwakilan mesti mengetepikan perkara remeh temeh dan mengelakkan pertelingkahan pada mesyuarat berkenaan kerana agenda besar yang perlu diberi fokus adalah memastikan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 berjalan lancar.

Tambahan, kata beliau, tiada pemilihan parti di peringkat bahagian diadakan pada tahun ini sekali gus membolehkan komitmen penuh diberikan kepada agenda tersebut.

"Kita mahu menyelesaikan mesyuarat bahagian UMNO dengan sebaiknya kerana agenda besar ialah menghadapi pilihan raya umum. Dalam mesyuarat perwakilan bahagian nanti, baik kita membincangkan mengenai persiapan kita ke arah itu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat badan berkenaan di Bangunan Tunku di sini semalam.

Ahmad Bashah berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) kini perlu mengerah segala tenaga dan pemikiran untuk menghadapi PRU yang akan diadakan pada bila-bila masa bagi merampas semula pemerintahan negeri ini daripada pembangkang.

Bagi tujuan itu kata beliau, persiapan awal telah pun dimulakan dengan menumpukan kepada gerak kerja yang melibatkan pergerakan Pemuda, Puteri dan Wanita di semua peringkat.

"Tumpuan gerak kerja jentera tersebut termasuk menarik ahli-ahli baru, mendekati pengundi, memeriksa pendaftaran pengundi, mengadakan kursus kepimpinan dan program penerangan kepada masyarakat mengenai isu-isu," katanya.

Menurut beliau, UMNO Kedah turut memperkenalkan kursus Mental, Jasad dan Roh (Mejar) yang merupakan medium paling kuat dalam membentuk jati diri seorang kepada pengundi baru yang bakal menjadi tenaga barisan hadapan parti itu.

Katanya, peringkat pertama kursus berkenaan melibatkan seramai 4,500 peserta di seluruh negeri ini dengan setiap bahagian UMNO menghantar kira-kira 300 wakil - Sumber Utusan Malaysia

Jumaat, 11 Mac 2011

UMNO Sungai Petani : selesaikan segera krisis

Ketua Umno cawangan Industri dalam bahagian Sungai Petani, Khairul Anuar Zainol akan keluar parti sekiranya krisis kepimpinan yang membabitkan ketua bahagian tersebut, Ali Yahya, masih gagal diselesaikan oleh Umno negeri dan pusat.

Dalam mesyuarat perwakilan bahagian itu Julai lalu, berlaku kekecohan apabila sebahagian besar perwakilan tidak membenarkan Ali berucap di majlis perasmiannya, serta mendesak beliau berundur.

Selepas kejadian tersebut, mereka yang tidak sehaluan dengan Ali telah menubuhkan Gerakan Anti-Ali (GAA) untuk mendesak beliau meletak jawatan.

Isu tersebut kemudiannya dirujuk kepada Majlis Tertinggi (MT) yang kemudian menyerahkannya kepada badan perhubungan Umno Kedah mencari jalan penyelesaian. Timbalan pengerusi Umno Kedah ketika itu, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dilantik memangku jawatan ketua bahagian Sungai Petani.

Khairul yang juga setiausaha GAA berkata beliau akan menjadi ketua cawangan pertama yang akan bertindak keluar daripada Umno sekiranya isu tersebut gagal diselesaikan dengan segera. Beliau bagaimanapun tidak mahu menyatakan bila akan berbuat demikian tetapi berkata: "Saya ada tempoh berbuat demikian."

'Dapat sokongan'
Khairul juga mendakwa ada ketua cawangan yang menghubunginya menyatakan sokongan tetapi beliau enggan menyatakan identiti mereka. "Saya tak mahu ajak (keluar parti dan) saya tak larang, (malah) saya sendiri akan buat dahulu (keluar parti) jika perkara ini tidak diselesaikan dengan segera. "Saya memang akan mengambil tindakan itu, sekiranya tidak diselesaikan, tidak mustahil ia akan berlaku," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Khairul Anuar juga tidak menafikan mengenai SMS yang disebarkan mengenai hasratnya untuk keluar parti jika isu kepimpinan bahagian itu tidak diselesaikan segera.

Bahagian tersebut mempunyai 130 cawangan dan Khairul mendakwa 81 daripadanya menolak kepimpinan Ali. Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga presiden Umno turut meminta bahagian Sungai Petani menyelesaikan masalah dalaman mereka itu.

SMS tersebar
Mengulas lanjut, Khairul Anwar berkata sejak SMS itu beredar, beberapa "tokoh tertentu" menghubungi dan menasihatinya supaya memberi masa kepada perdana menteri dan kepimpinan Umno Kedah untuk menyelesaikan masalah dalaman itu.

Katanya, isu terdapat dapat diselesaikan sekiranya dengan jawatan-jawatan kanan di peringkat bahagian seperti setiausaha, ketua penerangan dan bendahari disandang oleh pemimpin GAA. Bahkan, katanya, jawatan setiausaha juga perlu disandang oleh individu yang boleh diterima kedua-dua kumpulan dan perkara itu telahpun dimaklumkan kepada Ahmad Bashah dan setiausaha Umno negeri, Datuk Othman Abdul Aziz.

Dengan nada kecewa, Khairul memberitahu bahawa jawatan tersebut sekarang ini disandang oleh pemimpin Umno dari kumpulan Ali. Khairul berkata, beliau tidak berniat untuk "menggertak" semua pihak susulan tersebarnya SMS tersebut, tetapi beliau "tidak ada pilihan" kerana mendakwa ramai akar umbi Umno merungut dan bertanyakan hasil perbincangan itu.

"Saya masih berharap masalah (bahagian) ini dapat diselesaikan dengan segera untuk memberi tumpuan kepada pilihan raya umum yang akan datang. "Bahagian ini masih di awang-awangan, nampak sahaja kulit di luar cantik, tetapi di dalam bergolak. Semua pihak termasuk Umno pusat, negeri dan Ali sendiri perlu menyatukan semula ahli," katanya.
Sumber - Malaysiakini

Ulasan APM

Menurut Setiausaha GAA, krisis akan selesai sekiranya Ketua Bahagian melantik pimpinan GAA kejawatan-jawatan kanan UMNO SP. Apa makna semuanya ini. Apakah motif perjuangan GAA, kepentingan peribadi atau parti. Kalau sekarang sudah tolak kepimpinan Ketua Bahagian, adakah bila dilantik kejawatan yang diidam-idamkan semuanya boleh selesai...maknanya GAA memperjuangkan kepentingan peribadi berbanding dengan kepentingan parti. Perwakilan 2008 telah memutuskan Ali Yahaya sebagai Ketua Bahagian, maka kita kena akur keputusan tersebut. Dalam setiap pertandingan akan ada yang menang dan kalah, terimalah realiti, pemilihan akan datang kita buat keputusan apa yang kita mahu. Dahulukan parti bukannya kepentingan peribadi. JANGAN LUPA UMNO ADALAH PEMBANGKANG DI SUNGAI PETANI, APAKAH INI AKAN BERTERUSAN DALAM PRU AKAN DATANG...TEPUK DADA TANYA SELERA!!

Isnin, 14 Februari 2011

Ikan paus ditemui mati di pantai Pulau Sayak

SUNGAI PETANI 12 Feb. – Bangkai ikan paus spesies Bryde‘s Whale yang ditemui terdampar di pantai Pulau Sayak, Kota Kuala Muda dekat sini kelmarin akan dilapah dan ditanam dagingnya, dalam tempoh terdekat.

Pegawai Penyelidik Unit Mamalia Marin, Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (Tumec), Terengganu, Mohd. Lazim Mohd. Saif berkata, ia bertujuan membolehkan pihaknya mengambil tulang untuk proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta mempamerkan kepada umum pada masa akan datang.

“Siasatan awal yang dijalankan menunjukkan paus ini jantan, ukuran panjang antara 10 hingga 12 meter dan beratnya pula dalam lingkungan lima tan.

“Berdasarkan keadaan bangkai dan kulit yang melecur, ia dipercayai mati lebih seminggu lalu sebelum dihanyutkan ke lokasi ini.

“Proses bedah siasat tidak dapat dijalankan memandangkan struktur sudah tidak kukuh. Oleh itu, memadai kita hanya lepah daging dan ambil tulangnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Lazim yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang ekosistem marin memberitahu, punca kematian ikan paus tersebut belum dapat dipastikan setakat ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada ikan termakan bahan buangan seperti plastik, botol minuman atau tali.

Kelmarin, penduduk Pulau Sayak, dekat sini gempar apabila seekor bangkai ikan paus seberat kira-kira empat tan terdampar di pantai yang terletak kira-kira 500 meter di belakang Pusat Pengeluaran dan Penyelidikan Benih Udang Kebangsaan.

Mamalia itu itu dipercayai jenis Bryde‘s berdasarkan ciri-ciri fizikalnya iaitu mempunyai kepala lebar dan tidak bergigi.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Perikanan negeri ketika dihubungi menasihatkan orang ramai supaya tidak mengusik atau mengambil serpihan tulang bangkai ikan paus berkenaan.

Ini kerana, bangkai haiwan marin tersebut merupakan spesies terancam dan dilindungi di bawah Peraturan-peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Marin Terancam) 1999 (Pindaan) 2008.

“Sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” jelas jurucakap itu.

Dalam pada itu, tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, lokasi penemuan bangkai ikan paus terus dikunjungi orang ramai sejak awal pagi lagi.

Kebanyakan pengunjung mengambil kesempatan merakamkan gambar selain memerhatikan keadaan ikan tersebut dengan lebih dekat meskipun terpaksa menghidu bau kurang menyenangkan.

Seorang kakitangan kerajaan, Ahmad Kasa, 53, dari Seberang Jaya, Pulau Pinang berkata, dia mengambil keputusan membawa anak-anaknya untuk melihat lebih dekat ikan paus tersebut selepas membaca laporan Utusan Malaysia, hari ini.

“Seumur hidup saya, ini adalah pertama kali saya tengok ikan paus begitu besar. Walaupun sudah mati, namun kami sekeluarga masih teruja melihatnya,” katanya. - Utusan

Ahad, 13 Februari 2011

Pertemuan di PWTC

Presiden parti UMNO, DS Najib Razak telah mengadakan pertemuan dengan 118 ketua-ketua UMNO Bahagian di PWTC. Ini adalah Program Tranformasi Politik(PTP) yang mana merupakan satu kaedah yang diperkenalkan oleh PM bagi mengetahui dengan lebih mendalam masalah rakyat di bahagian-bahagian. Dalam pertemuan in PM lebih menekankan masalah dalaman parti diperingkat bahagian-bahagian perlu diselesai segera bagi menyakinkan rakyat bahawa UMNO masih releven. Beliau berharap semua masalah yang timbul dapat diperbetulkan dengan segera.

Kedah adalah negeri pertama dalam pertemuan tersebut. Ini adalah kerana kemelut beberapa UMNO Bahagian di Kedah dilihat boleh menjejaskan prestasi BN sekiranya PRU diadakan. Semua isu mengenai projek-projek yang melibatkan kesejahteraan rakyat diambil perhatian akan diselesai dalam masa singkat mengikut kemampuan kerajaan.

Pertemuan ini dilihat betapa seriusnya PM mahukan UMNO terus stabil dan dapat diterima oleh rakyat. Diharapkan semua ketua-ketua bahagian terutama di negeri Kedah memahami hasrat PM dan dapat menyelesaikan segala sengketa dalaman parti dengan kadar yang segera. Badan Perhubungan UMNO Negeri diharapkan dapat memainkan peranan yang lebih jelas dan berkesan menyelesaikan masalah ini. Jadikanlah pertemuan ini sebagai satu titik permulaan untuk mengembalikan keutuhan UMNO bahagian-bahagian.

Sejauh mana kemampuan ketua-ketua bahagian untuk menanggani kemelut masing-masing. Di bahgian Sungai Petani, kemampuan ketuanya akan teruji sekiranya tidak mampu menghadapi kumpulan yang menggelarkan diri mereka kumpulan GAA. Apakah selepas ini semua kemelut ini dapat diselesaikan. Apakah segala punca permasalahan dapat dirungkai dengan sebaik-baiknya nanti. Akan berpaut kembalikah kiambang selepas PTP ini.

Isnin, 17 Januari 2011

UMNO Kedah gerak jentera pilihan raya bulan depan

ALOR SETAR 17 Jan. - UMNO Negeri Kedah akan mula menggerakkan jentera pilihan rayanya bulan depan bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya umum diadakan pada tahun ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, UMNO perlu bersedia dan bersiap dengan segera bagi memperlihatkan kesungguhan untuk menawan semula Kedah kerana masa sudah suntuk.

Katanya, program Gelombang Merah akan dikerahkan bulan depan dan melakukan penambahbaikan terhadap program-program sebelum ini dengan slogan “BN Menang Kedah Senang”.

”Kena gerak betul-betul. Kita juga kena siapkan “bilik perang” yang dulu dikenali sebagai bilik gerakan. Kita akan wujudkan di setiap 672 daerah mengundi. Bilik ini peringkat bahagian pun ada, negeri pun ada,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan UMNO negeri malam tadi.

Ini merupakan mesyuarat pertama sejak rombakan bagi dua jawatan tertinggi dalam Umno negeri yang menyaksikan Ahmad Bashah dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri manakala Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir sebagai Timbalannya berkuat kuasa 1 Januari lepas. - Bernama

Rabu, 1 Disember 2010

Pemilihan UMNO ditangguhkan selama 18 bulan

Pemilihan UMNO di peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi (MT) yang sepatutnya berlangsung tahun depan ditangguhkan selama 18 bulan.

Ketetapan itu dibuat oleh MT yang bermesyuarat malam ini dan diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, penangguhan berkenaan bukannya perkara luar biasa kerana ia dibenarkan perlembagaan parti selain pernah dilakukan beberapa kali sebelum ini.

Najib turut menafikan penangguhan itu mempunyai kaitan dengan pilihan raya umum sebaliknya menjelaskan ia bagi membolehkan seluruh perhatian serta tenaga pemimpin dan ahli UMNO terarah kepada usaha pemantapan parti

“Kita tidak mahu tahun depan dan berikutnya dijadikan medan pergelutan politik yang boleh timbulkan perbalahan dalam parti walaupun kita percaya ia boleh dibendung dan tidak berlaku keadaan tertekan sebagaimana parti politik lain.

“Kita nak UMNO tumpu kepada pemantapan dan pemulihan parti berdasarkan model baru politik,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat MT UMNO di Menara Dato’ Onn, di sini malam ini.

Sementara itu, Najib turut mengumumkan UMNO akan mewajibkan semua Ketua Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri peringkat cawangan menghadiri kursus khas bermula tahun depan.

Katanya, kursus berkenaan akan melibatkan lebih 50,000 pemimpin UMNO di peringkat akar umbi dan akan diadakan dalam masa beberapa bulan akan datang.
- Utusan

Jumaat, 26 November 2010

UMNO Kedah peruntuk RM1.5 juta untuk program kecmerlangan pendidikan

KUALA LUMPUR 25 Nov. – Badan Perhubungan UMNO Kedah meluluskan pemberian peruntukan RM1.5 juta kepada 15 bahagian di negeri itu untuk program kecemerlangan pendidikan dan bantuan kewangan kepada pelajar miskin.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pemberian bantuan itu diutamakan kepada golongan pelajar miskin dan tidak berkemampuan serta yang cemerlang dalam peperiksaan-peperiksaan utama bertujuan membantu pembangunan pendidikan di negeri itu.

Katanya, peruntukan itu adalah untuk sesi persekolahan bermula Januari 2011 dan setiap bahagian akan menerima peruntukan berjumlah RM100,000.

“Pemberian peruntukan ini adalah inisiatif Badan Perhubungan UMNO Kedah dalam usaha membantu meringankan beban ibu bapa setiap kali bermula sesi persekolahan.

“Selain itu, kami merasakan pemberian ini merupakan cara terbaik mendekati masyarakat dan kami juga mahu lihat setiap pelajar cemerlang dalam pelajaran,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas badan itu di sini hari ini.

Program bantuan kewangan pelajar miskin meliputi pemberian uniform dan beg sekolah manakala program kecemerlangan pendidikan pula memberi insentif kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan utama.

Menurut Shafie, program itu akan diteruskan setiap tahun bagi memastikan pembangunan pendidikan di Kedah adalah selaras dengan keperluan rakyat.

Justeru, beliau berharap bantuan diberikan akan membantu melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang di setiap peringkat persekolahan.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada ahli badan perhubungan UMNO negeri di atas sumbangan dan usaha dalam memastikan mangsa banjir di Kedah tidak diabaikan.- sumber Utusan