Selasa, 9 Februari 2010

Pandangan YB Zulkifli Nordin dalam program Soal Jawab di TV3 (8/2/2010)

Warna sebenar yang ditunjuk YB Zulkifli Nordin lebih menyerlah lagi apabila beliau secara terbuka memperingatkan semula seluruh rakyat tentang warna sebenar DAP. Sungguh realistik apa yang telah diperjelaskannya. Beberapa fakta penting yang beliau perjelaskan perlu diambil iktibar oleh pemimpin dan rakyat khususnya kepada mereka yang mengaku dirinya orang Melayu yang berugama Islam. Antaranya ;
1. Hakikat bahawa negara Malaysia adalah sebuah negara yang berasaskan kepada Melayu Islam.
2. Statistik menunjukkan bahawa terdapat 132 Ahli Parlimen Melayu Islam dari jumlah keseluruhan seramai 222, iaitu mewakili 60% dari ahli dewan.
3. Kesilapan PAS yang telah lari dari konsep gabungan bersama parti pembangkang seperti yang telah diasaskan oleh Allahyarham Ust Fadhil Noor.
4. Hakikat bahawa DAP memang sebuah parti yang memperjuangkan kepentingan kaum Cina dan bukannya parti yang memperjuangkan kepentingan pelbagai kaum.
5. Hakikat bahawa kemenangan Pakatan Pembangkang di beberapa negeri dan kejayaan menambah bilangan anggota pembangkang di Dewan Rakyat bukanlah disebabkan kejayaan mereka meletakkan asas persamaan dalam perjuangan, tetapi sebaliknya disebabkan oleh isu-isu dan kelemahan ketara yang menyelubungi BN ketika itu.
6. Mengakui hakikat bahawa sebenarnya masih ada ruang untuk para pemimpin Melayu Islam untuk duduk semeja bagi mencari persefahaman dalam memperjuangkan segala kepentingan yang membabitkan soal kepentingan agama, bangsa dan tanah air. Harus diakui, segala masalah, kekeliruan dan perpecahan yang berlaku hari ini adalah disebabkan fakta dan realiti di atas telah diketepikan oleh para pemimpin dan parti-parti politik. Diketepikan semata-mata di atas kepentingan politik dan kuasa yang telah melebihi segalanya. Bukankah asas Melayu Islam yang menguasai 60% kekuatan itu merupakan suatu rahmat? Bukankah prinsip PAS yang tidak mahu bekerjasama secara langsung dengan DAP sewaktu pimpinan Fadhil Noor adalah bagi memastikan PAS tidak lari dari prinsip asas perjuangannya?

Apabila prinsip ini dikorbankan, dari segi politik kuasa memang ia lebih efektif. Tapi selepas kuasa bertambah adakah kepentingan Islam lebih terbela dari sebelumnya? Selama-lamanya DAP tidak pernah mendapat sokongan orang Melayu kecuali sokongan ini dilihat begitu ketara pada PRU12. Sokongan ini jelas bukan disebabkan oleh orang Melayu sudah boleh menerima perjuangan DAP, tetapi ianya adalah bertitik-tolak dari PAS yang telah mengorbankan prinsipnya dengan memberi lesen kepada para pendokongnya mengundi DAP. Setelah PAS mengiktiraf pejuangan DAP, apakah hasil yang diperolehi oleh PAS, oleh Islam mahu pun oleh bangsa Melayu? Sebaliknya, apakah pula hasil yang diperolehi oleh DAP setelah PAS mengorbankan prinsipnya?
Nabi Muhammad saw dulu bersetuju dengan syarat perjanjian Hudaibiah walaupun ianya jelas berat sebelah. Tapi hasilnya jelas telah menguntungkan Islam, malahan pada tahun 8 hijrah Islam telah dapat menguasai Kota Mekah. Jika semata-mata mengikut apa yang di atas kertas perjanjian, mana mungkin Islam akan berkembang. Tapi itulah Islam. Disebaliknya ada Mahakuasa yang mengatur segalanya. Apa yang penting, Rasulullah tidak sekali-kali korbankan prinsip dan perjuangan agama yang dibawa. Yang dikorbankan oleh Rasulullah hanyalah perasaan keegoan dan nafsu para sahabat yang rata-rata tidak bersetuju dengan perjanjian Hudaibiah.
Dari analisa ini bolehlah diperhalusi lagi di mana sebenarnya kesilapan besar yang telah dilakukan oleh PAS. Hanya disebabkan mendengar guruh sokongan berdentum-dentum yang diletupkan oleh Anwar, PAS terus mencurahkan segala prinsip perjuangan ke longkang. Akhirnya, PAS dapat 1Tempayan air, DAP dapat 1Malaysian Malaysia. Bagaimana mahu diperbetulkan semua kesilapan ini? Ia tidak menguntungkan mana-mana kalangan Melayu Islam pun, tidak kira Melayu Islam dalam UMNO, dalam PAS mahupun dalam PKR.
Apa yang menguntungkan hanya satu, iaitu keuntungan dari segi berbangga dan bermegah-megah kononnya perjuangan masing-masing sudah diterima rakyat jelata. Berapa ramai lagi mereka yang berada dalam UMNO, PAS mahu pun PKR yang berfikiran seperti Zulkifli Nordin?
- sumber kkamdias.blogspot.com



UMNO Kedah tubuh unit aduan awam

ALOR SETAR: Bagi memudahkan orang ramai mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat bagi pelbagai masalah yang dihadapi mereka, Umno Kedah mengambil tindakan proaktif dengan menubuhkan Unit Pengaduan Awam dan Khidmat Pelanggan. Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ir Nawawi Ahmad, berkata unit itu ditubuhkan pada 1 Februari lalu bertempat di Tingkat 6, Bangunan Tunku di sini. "Seorang pegawai khas dilantik untuk melayani dan menyalurkan aduan orang ramai kepada agensi berkaitan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha Umno Kedah untuk berbakti kepada rakyat dan untuk kesejahteraan ummah. - Bernama
Semoga langkah UMNO Kedah ini selaras dengan slogan "UMNO juara rakyat". Sebagai juara rakyat, UMNO kenalah bekerja keras bagi memastikan rakyat boleh menganggap UMNO sebagai juara. Kepimpinan UMNO Kedah kena rajin turun padang walaupun PRU jauh lagi, namun kepimpinan mestilahlah mendekatkan diri dengan rakyat, nanti bila tiba musim PRU tak kalut sangat.

Isnin, 1 Februari 2010

Mahkamah rayuan akan tentukan kedudukan ADUN Kota Siputeh

JITRA 1 Feb. - Persoalan sama ada Ketua Umno Bahagian Jerlun Datuk Abu Hassan Sarip kekal sebagai wakil rakyat atau terpaksa mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh dijangka diketahui dalam tempoh terdekat ini.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, Mahkamah Rayuan akan membuat keputusan bagi menyelesaikan kemelut mengenai status kerusi DUN Kota Siputeh itu sama ada ia dikekalkan kepada wakil rakyat Barisan Nasional (BN) atau terpaksa memberi laluan kepada pilihan raya kecil.
“Kita sedang menunggu keputusan Mahkamah Rayuan ini setelah panel hakim meneliti laporan bertulis penghakiman oleh Hakim Mahkamah Tinggi,” kata beliau ketika dihubungi Bernama. - Bernama
Apakah akan ada lagi Pilihanraya kecil akan terjawab selepas ini. UMNO harus membuat persediaan. Kedah nampak aman berbanding dengan negeri lain yang diperintah oleh Pakatan Pembangkang. Ini agak merumitkan keadaan sekiranya PRK diadakan di Kota Siputeh.

Selasa, 10 November 2009

Bai'ah PAS sudah lama berlaku

KUANTAN, 10 Nov (Bernama) -- Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata amalan bai'ah atau akujanji di kalangan wakil rakyat PAS bahawa akan jatuh talak tiga kepada isteri masing-masing jika mereka keluar parti, bukanlah perkara baru, sebaliknya sudah lama berlaku.
Menurut Adnan, perkara itu diketahuinya sejak dua penggal pilihan raya umum yang lepas menerusi beberapa kenalannya daripada parti PAS yang menjadi wakil rakyat. "Perkara ini perkara lama, terpulanglah kepada rakyat menilainya. Bai'ah itu meletakkan isteri sama dengan kerjaya politik, itulah rendahnya martabat wanita di kalangan kepimpinan PAS," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran Petrosains DinoTrek 2, di sini, Selasa.
Adnan secara sinis berkata kepimpinan PAS tidak perlu risau wakil rakyat mereka akan keluar parti itu kerana mereka amat menyayangi isteri mereka. "Saya pernah memujuk mereka (wakil rakyat terbabit) sertai Barisan Nasional, mereka kata tak boleh, kalau mereka keluar parti akan jatuh talak tiga, isteri mereka kena berkahwin dengan orang lain dulu sebelum dapat bersama semula dengan mereka," katanya.
Adnan bagaimanapun tidak mendedahkan butiran terperinci berkenaan bai'ah yang diketahuinya itu: "Bukan wakil rakyat PAS di Pahang, tapi di negeri lain," katanya. Pada Khamis lepas, Anggota Parlimen Shah Alam dari PAS, Khalid Samad mengesahkan wujudnya amalan bai'ah di kalangan calon wakil rakyat parti itu bahawa akan jatuh talak tiga kepada isteri masing-masing jika mereka keluar parti. Bagaimanapun PAS Pusat yang mengakui amalan konsep bai'ah itu menafikan berlakunya arahan cerai talak tiga jika wakil rakyatnya keluar parti.Pameran Petrosains DinoTrek 2 yang berobjektif memupuk proses pemikiran secara kritikal bagi menerokai zaman prasejarah dan dinosaur akan berlangsung sehingga 30 Jun 2010 di Kompleks Yayasan Pahang. Pameran itu memaparkan ciri-ciri unik termasuk 9 dinosaur animatronik, bahan-bahan pameran dinosaur seperti Spinosaurus dan Tyrannosaurus Rex.-- BERNAMA
Bagaimanapun pimpinan tertinggi PAS, termasuk Presidennya, YB Hj. Abdul Hadi Awang dan Mursidul Am PAS, YAB Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikannya. Dalam politik macam-macam ada... Selepas PRU ke-12, dimana PAS berjaya menambah kerusi di Parlimen dan menguasai sepenuhnya dua negeri, pimpinan PAS semakin bercelaru. Bagaimanakah agak kalau PAS berjaya menguasai seluroh Malaysia, nampaknya akan lagi banyak carca marbanya. UMNO adakan EGM, depa pun cuba nak adakan EGM. Bila tak jadi tukar buat seminar, lepas tu marah kepada penceramah kerana tidak sebulu dengan mereka. Nampaknya kebanyakan ahli PAS belum mempunyai "kecerdikan berpolitik", pinjam kata-kata Dr. Abu Hassan Hasbullah, salah seorang penceramah di seminar tersebut.

Jumaat, 16 Oktober 2009

Pindaan perlembagaan UMNO diluluskan sebulat suara

Kesemua tujuh usul pindaan Perlembagaan Umno yang dibentangkan dalam perhimpunan agung khas Umno 13-16 Oktober 2009 diluluskan sebulat suara.

1. Penambahan jumlah perwakilan kepada 146,500 anggota bagi pemilihan pimpinan tertinggi Umno dan barisan pemimpin peringkat bahagian. Melalui usul pindaan ini juga, semua ketua sayap parti peringkat cawangan dicadangkan menjadi perwakilan secara automatik.
2. Memperkenalkan sistem pendaftaran menggantikan sistem kuota pencalonan. (Syarat minimum untuk menjadi calon akan ditetapkan oleh Majlis Tertinggi Umno)
3. Pelantikan wakil Pergerakan Wanita untuk mengisi kerusi jawatankuasa peringkat cawangan, bahagian dan MT;(Pindaan ini menjadikan jumlah anggota yang dilantik bertambah, iaitu bagi MT daripada 12 kepada 13 orang, anggota jawatankuasa peringkat bahagian daripada tujuh kepada lapan orang, dan jawatankuasa cawangan daripada lima kepada enam orang)
4. Pemilihan bagi peringkat bahagian dan pucuk pimpinan tertinggi akan diadakan secara serentak, dan dengan itu sebuah Jawatankuasa Pemilihan Umno akan ditubuhkan untuk menyelia dari segi logistik dan kos. (Anggota jawatankuasa akan dilantik Presiden parti)
5. Penghapusan yuran tahunan keahlian dan digantikan dengan yuran seumur hidup.
6. Memberi mandat kepada ketua-ketua Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri peringkat cawangan untuk mengesahkan keahlian baru.
7. Mengiktiraf setiausaha bahagian sebagai perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno secara automatik.

Selasa, 29 September 2009

Isa Samad sah calon BN di Bagan Pinang

PORT DICKSON 29 Sept. – Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad hari ini diumumkan secara rasmi sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang pada 11 Oktober ini.
Pengumuman itu dibuat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Pengerusi BN dalam majlis Jamuan Hari Raya
Aidilfitri BN peringkat negeri di Batu 6, Jalan Pantai dekat sini petang ini.
Mohd. Isa, 60, merupakan Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 23 tahun.
Hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu ialah pada 3 Oktober ini.
Terdapat 13,664 pengundi berdaftar layak mengundi pada Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang dengan 9,060 merupakan pengundi biasa manakala 4,604 pengundi pos.
DUN Bagan Pinang mempunyai 62.7 peratus pengundi Melayu, 20.7 peratus India, 10.9 peratus Cina dan 5.5 peratus kaum lain.
Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Azman Mohd Nor pada 4 September lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-12, Allahyarham Azman memenangi kerusi DUN itu selepas mendapat 6,430 undi mengalahkan calon Pas, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi. - Utusan
Sebelum keputusan ini diumumkan lagi pelbagai pihak dari UMNO Bahagian telah menyatakan sokongan mereka kepada TS Isa. Mungkin amat sukar bagi pucuk pimpinan membuat keputusan memandangkan TS Isa adalah seorang veteran UMNO dan bekas Menteri Besar.
Kini keputusan sebenar terletak ditangan pengundi Bagan Pinang, apakah TS Isa masih relevan di sana atau sebaliknya. Sekiranya BN kalah dalam PRK ini, imej BN akan jatuh merudum. Apa yang penting kini adalah kerja kuat jentera BN bagi memastikan calon BN terus mengekalkan kerusi Bagan Pinang.

Khamis, 24 September 2009

BN dan masa depan

Barisan Nasional (BN) kini berdepan dengan pelbagai persepsi. Bagi memenuhi kehendak rakyat pimpinan BN perlu menanggani pelbagai masalah yang dihadapi oleh parti komponen. Sekiranya kewibawaan BN dapat diyakini, tentunya rakyat akan kembali menaruh kepercayaan kepada BN.

Slogan 1Malaysia dan pelaksanaannya mestilah telus. Ketelusan amat diperlukan bagi memenuhi kehendak rakyat. Rakyat menaruh harapan yang tinggi terhadap kepimpinan DS Najib. Seandainya kepimpinan DS Najib boleh diterima rakyat, penulis yakin persepsi umum terhadap BN akan berubah.

Begitu pun masalah yang dihadapi parti komponen mestilah diselesaikan sebelum PRU ke-13. Masalah kepimpinan MIC perlu segera diselesaikan, begitu juga krisis MCA. BN hanya akan terus releven dengan sokongan tiga kaum utama di dalam BN terutama di Semenanjung.

Hal hal remeh temeh akan selesai sekiranya kepimpinan BN terus kukoh dan persepsi rakyat pasti berubah. Sokongan pengundi di Bagan Pinang dalam PRK akan menjadi titik tolak kepada penerimaan rakyat terhadap BN. Tugas berat menanti jentera PRK Bagan Pinang bagi memastikan BN dapat mengekalkan kerusinya. Tugasan utama pimpinan memilih calon yang boleh di terima oleh pengundi di Bagan Pinang.