Selasa, 7 Mei 2013

Pengkhianat parti kena tindakan

calon
Ali (dua, kiri) dilihat bersalaman dengan calon PKR (dari kiri) Simon Ooi, Johari dan Dr Robert yang diumumkan memenangi kerusi Dun Bakar Arang, Parlimen Sungai Petani dan Dun Sidam

SUNGAI PETANI - Senarai pemimpin Umno yang membantu calon Bebas bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bakal dihadapkan ke Jawatankuasa Khas Lembaga Disiplin kerana bersubahat dengan pengkhianat parti.


Ali Yahaya yang memenangi kerusi Dun Pantai Merdeka berkata, mana-mana pemimpin yang didapati membantu calon Bebas bertanding juga akan dikenakan tindakan. Ali Yahaya yang memenangi kerusi Dun Pantai Merdeka berkata, mana-mana pemimpin yang didapati membantu calon Bebas bertanding juga akan dikenakan tindakan.

Menurutnya, ahli Umno yang mewakili Bebas bertanding dalam PRU ke-13 dipecat Jawatankuasa Khas Lembaga Disiplin Umno dan mana-mana pemimpin yang membantu mereka juga bakal dikenakan tindakan.
“Kita sudah lapor kepada Jawatankuasa Khas Lembaga Disiplin Umno berhubung mereka yang terlibat, termasuk pemimpin parti yang menyokong dari belakang. “Fenomena ini sebenarnya berlaku daripada pemimpin kecewa yang tidak dicalonkan kepimpinan parti,” katanya.

Walaupun menerima tentangan hebat daripada penyokong di Dun Pantai Merdeka (N27) setelah BN Kedah mengumumkan beliau sebagai calon, Ali berkata, dia tetap berkempen dan turun padang. “Saya akui berhadapan tekanan sepanjang berkempen, tetapi bersyukur akhirnya penduduk di N27 tetap memberi sokongan sehingga membolehkan BN merampas kembali Pantai Merdeka daripada Pas,” katanya.

Ali menang dengan majoriti 1,707 apabila mendapat undian 15,393 mengalahkan Abdullah Jusoh (Pas) 13,686. Calon Bebas bagi kerusi N27 ialah bekas Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Sungai Petani, Mohd Yusof Lazim, yang hanya memperoleh 316 undi.

Ali berkata, beliau sebagai Ketua Umno Bahagian Sungai Petani akan merombak semula kepimpinan di bahagian itu bagi memantapkan parti. Menurutnya, kekalahan BN di Dun Sidam dan Dun Bakar Arang termasuk di kerusi Parlimen atas faktor tertentu kerana menjangkakan sukar untuk mendapat undi daripada masyarakat Cina.

“Saya akan bekerja keras lagi selepas ini termasuk di Parlimen di mana kita akan rombak semula kepimpinan dengan gabungan orang lama dan muda untuk mantapkan Umno di Sungai Petani. “Walaupun gagal menguasai Parlimen Sungai Petani, tetapi kita menguasai kerajaan tempatan termasuk akan bekerjasama sepenuhnya dengan agensi Kerajaan Pusat dan negeri,” katanya.

Katanya, kemenangan satu kerusi BN di Pantai Merdeka amat bermakna kerana menyumbang kepada pembentukan Kerajaan BN Kedah yang sebelum ini diterajui Pas. - Sinar Harian - 07.05.2013



Selasa, 23 April 2013

BN perlu kerja kuat tawan semula Sungai Petani

SUNGAI PETANI - Sungai Petani, antara bandar paling membangun di samping Kulim dan Alor Setar di negeri jelapang padi ini, dihuni oleh semua kaum yang ada di Malaysia termasuk Iban dan Orang Asli.
Keunikan Parlimen Sungai Petani juga kerana penduduknya terbahagi tiga iaitu bandar, pinggir bandar dan pedalaman, bermakna taraf sosio mereka dikategorikan senang, sederhana dan miskin.
Faktor ini bermaksud wakil rakyat sama ada anggota Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (Dun) mestilah daripada kalangan orang yang tinggal dan menetap di kawasan ini dan boleh memberi khidmat jika mahu dipilih pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Pertandingan empat penjuru di Parlimen Sungai Petani serta tiga Dun dalam kawasannya iaitu Pantai Merdeka dan Bakar Arang, masing-masing tiga penjuru manakala Sidam, lima penjuru boleh menggambarkan laluan berliku Barisan Nasional (BN).
Pemerhati politik tempatan meramalkan BN tidak akan mendapat laluan mudah dan hanya kerja kuat habis-habisan untuk menjamin kemenangan.
"Latar belakang pengundi dalam tiga kategori tadi menuntut wakil rakyat yang dekat di hati, mudah dihubungi dan ditemui. Faktor pendidikan tinggi bukan keutamaan mereka.
"BN boleh tumbang semua empat kerusi ini jika menganggap pihak lawan tidak menggugat walaupun mereka calon Bebas," kata pemerhati politik yang ditemui Bernama di sini malam tadi.
Penyandang Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul daripada PKR yang ditemui berkata beliau tidak mengenali calon BN, Dr Syamsul Anuar Che Mey, seolah-olah memperlekehkannya.Dua lagi ialah Ong Wei Sin (Bebas) dan Suhaimi Hashim (Kita).
Wei Sin ialah bekas Naib Ketua Pemuda MCA Kedah dan Ketua Pemuda MCA Sungai Petani.
Di Dun Pantai Merdeka, Ketua Umno bahagian Sungai Petani, Ali Yahya 'diganggu' bekas ahli jawatankuasanya, Mohd Yusuf Lazim yang bertanding atas tiket Bebas untuk menentang penyandang, Abdullah Jusoh (Pas).
Ali bagaimanapun penuh yakin sokongan untuk Mohd Yusuf tidak seteruk yang dijangka berdasarkan komitmen jawatankuasa bahagian termasuk Wanita dan Puteri Umno selain mengharapkan undi BN tidak pecah.
Bakar Arang pada 2008 dimenangi calon PKR, namun kali ini menyaksikan ketiga-tiga calon iaitu Lee Yean Wang (BN), Ooi Tze Min (PKR) dan Ong Kah Soon (Bebas) bertanding buat pertama kali.
"Harapan untuk merampas kembali Bakar Arang lebih cerah berbanding Pantai Merdeka manakala Sidam sukar diramal kerana tiga calon Bebas yang bertanding mempunyai pengaruh tersendiri," tambah mereka.
Seorang veteran Umno Sungai Petani yang enggan namanya disiarkan berkata Ooi Beng Kooi (Bebas) adalah bekas jawatankuasa parti Gerakan Sungai Petani manakala bekas ketua Pemuda PKR Kedah dan pemimpin parti Kita Kedah, Zamil Ibrahim turut bertanding sebagai calon Bebas.
Calon BN, Bee Sieong Heng juga berdepan Robert Ling Kui Ee (PKR), Uh Chorng Von (Kita) dan seorang lagi calon Bebas, Tan Hock Huat.
Sebanyak 40.5 peratus daripada 25,183 pengundi Sidam adalah Cina, Melayu (37.6 peratus), India (21 peratus) dan lain-lain 0.9 peratus.
Zamil yang sempat ditemui berkata beliau bertanding dengan misi untuk memelihara kepentingan orang Melayu di Sidam sejak kerusi itu diserahkan kepada Gerakan sejak sekian lama.
"Saya fikir ada kelebihan berbanding calon-calon lain. Selain sokongan rakan-rakan di sini, undi protes mungkin memihak kepada saya," tambahnya. - Bernama

Selasa, 16 April 2013

Senarai Rasmi Calon BN Kedah



Senarai Rasmi Calon BN Kedah diumum sebentar tadi!


Langkawi - Datuk Nawawi Ahmad
Ayaq Hangat - Mohd Rawi Abdul Hamid
Kuah - Nor Saidi Nayan

Jerlun - Dato' Othman Aziz
Kota Seputih - Dato' Abu Hassan Sharif
Ayaq Hitam - Dato' Mukhriz Mahathir

Kubang Pasu - Dato' Johari Baharom
Bkt Kayu Hitam - Zaini Jaafar
Jitra - Amiruddin Omar

Padang Terap - DS Mahadir Khalid
Kuala Nerang - Badrul Hisham
Pedu - Pn Kama Noriah Ibrahim

Pokok Sena - Dato' Sahlan Ismail
Bukit Lada - Dato' Ahmad Lebai Sudin
Derga - Dr. Cheah Soon Hai
Bukit Pinang - Mokhtar Noor

Alor Setar - DS Chua Che Heong
Bakar Bata - Dato' Paduka Ahmad Bashah
Kota Darulaman - Loo Gim Hui
Alor Mengkudu - Sharifah Maznah

Kuala Kedah - Dr Zaki Zamani Abd. Rashid
Anak Bukit - Dato' Hashim Jahaya
Kubang Rotan - Dato' Latt Shariman
Pngkalan Kundur - Pn Nor Hashitah Md. Isa

Pendang - Dato' Othman Abdul
Tokai - Najmudin Darus
Sg. Tiang - Datuk Suraya Yaakub

Jerai - DS Jamil Khir Baharom
Sg Limau - Fadzilah Mohd Ali
Guaq Chempedak -  Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail
Gurun -  Dr Leong Yong Kong

 Sik - Dr. Mansur Abd Rahman
Belantik - Dato' Tajudin Abdullah
Jeneri - Mahadir Abd Hamid

Merbok - Prof. Dr. Ismail Daud
Bkit Selambau - Maran Muthaya
Tnjung Dawai - Dato' Tajol Urus

Sungai Petani - Shamsul Anuar Ismail 
Pantai Merdeka - Hj. Ali Yahaya
Bakar Arang - Lee Yuan Yuang
Sidam - Pee Siong Heng

Shamsul Anuar Ismail - Calon P015 - Sungai Petani

Hj. Ali Yahaya - Calon N27 Pantai Merdeka


Baling - Dato' Azeez Rahim
Bayu - Azmi Che Husin
Kupang - Harun Abd Aziz
Kuala Ketil - Khairul Azhar


Padang Serai - Heng Sai Kee
Merbau Pulas - Marlia Abd Latif 
Lunas - Ananthan Sumasunderam


Kulim Bandar Baharu - Dato' Aziz Sheikh Fadhil
Kulim - Chua Teong Kee 
Bdr Baharu - Sabrina Mohd Noor


Dato' Aziz Sheikh Fadhil - Calon P18 Kulim/Bandar Baharu







Selasa, 9 April 2013



KALAU TAK UBAH HANGPA SESAI TAK SUDAH

Hai Oghang Kedah, 
Pilihanraya Mai Dah 
Kali Ni Hangpa Jangan Dok Buat Mudah
Dulu Hangpa Gagah Besar Macam Gajah 
La Ni Hangpa Pecah Melayu Punah Ranah 
Harap Pada PAS Hangpa Lekat Getah
Hutan Depa Tebaih Tanah Depa Punggah 

Hai Oghang Kedah, 
Lima Tahun Lepaih Dah 
Takkan Dok Betokak Tak Sudah-Sudah 
Yang Sudah, Sudah Lah 
Tok Sah Dok Seronok Dan Dok Gah 
Kalau Tak Ubah Hangpa Sesai Tak Sudah 

Hai Oghang Kedah, 
Kalau Tak Mau Susah 
Hangpa Kena Ubah 
Jangan Biaq Pas Dok Belasah 
Kot Besok Tak Dak Apa Nak Mentekedaghah 
Krup, Krup, Krup.. Kikih Kerak Nasi Kawah 
Masa Tu Baghu Hangpa Wah.. Wah..
Waktu Tu Nak Buat Apa Dah 
Dah Terantuk Baru Nak Tengadah 
Kalau Tak Ubah Hangpa Sesai Tak Sudah

Hai Oghang Kedah, 
Yang Dok Di KL Balik Mai Pangkah 
Jangan Dok Eksyen Dalam Banglow Mewah 
Hangpa Pun Dulu Bekubang Dalam Sawah 
Lompat Geli Geleman Takut Kat Lintah 
Balik Mai Lekaih 
Tolong Mak Ngah Dan Pak Ngah 
Depa Dok Hap.. Hap.. Macam Nak Mati Dah 
Harap Puak PAS Piii Gi Rahhh 
Harap PKR DAP Lama Mampuih Dah 

Hai Oghang Kedah, 
Jangan Dok Gelabah 
Mai Kita Ubah 
Yang Sudah Tu Sudah Lah 
Hati Gajah Sama-Sama Dilapah 
Hati Nyamuk Sama-Sama Dicicah.

(Karangan : Awang Luku, Kaki Gunung Jerai, Kedah)

Isnin, 25 Februari 2013

Azizan tetap bertanding PRU-13

     
ALOR SETAR: Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak sekali lagi menegaskan bahawa beliau akan tetap bertanding mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 ini.

Azizan berkata, beliau masih sihat dan bersemangat untuk terus berjuang dan tiada sebab untuk berundur. "Mengapa ada orang hendak saya berhenti, kata saya tidak sihat, jalan tiga selinder. Itu tak betul," katanya kepada pemberita apabila ditanya sama ada akan berundur ekoran dakwaan bahawa keadaan kesihatannya tidak memuaskan. Sejak tahun lepas Azizan telah beberapa kali mendapatkan rawatan kerana menghadapi masalah kesihatan termasuk masalah mata.

Azizan ditemui di pejabatnya, Isnin, bagi mengadakan sidang akhbar untuk menjelaskan isu aktiviti pembalakan dalam kompartment tujuh hutan Bukit Perangin di Wang Perah dalam daerah Kubang Pasu. Mengenai dakwaan beliau mencatur pemilihan calon bagi 11 kawasan DUN, Azizan berkata selaku Pesuruhjaya Pas Negeri beliau hanya menyampaikan nama orang-orang yang dicalonkan. "Pas Pusat yang akan membuat pemilihan, bukan saya yang menentukannya," kata Azizan. - BERNAMA

Isnin, 10 Disember 2012

BN Kedah bela kebajikan rakyat

ALOR SETAR 9 Dis. - Peranan Barisan Nasional (BN) Kedah dalam menjaga kebajikan rakyat cukup menyerlah dalam pelbagai program yang dijalankan termasuk secara rasmi dengan kerjasama beberapa agensi Kerajaan Pusat atau atas kapasiti UMNO bahagian, wakil rakyat dan pemimpin parti.

Pengerusi BN Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, antara agensi yang terlibat adalah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) menerusi Program Jasa Prihatin, Kemas, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Unit Penyelarasan dan Perlaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).
"Antara bantuan kebajikan yang disalurkan adalah membantu mangsa kebakaran, mangsa ribut, banjir, sakit, tanaman yang mengalami kerosakan, keluarga susah, bantuan rawatan di hospital serta bantuan persekolahan.

"Begitu juga apabila tiba musim perayaan seperti Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali, pelbagai jenis bantuan dihulurkan bagi memastikan golongan kurang berkemampuan turut sama menyambut perayaan berkenaan dengan meriah," katanya di sini hari ini.

Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, pada Ramadan lalu, kira-kira 45,000 penduduk miskin mendapat bantuan barangan keperluan dan wang tunai. Katanya, dalam sambutan Deepavali dan Tahun Baru Cina pula pemimpin BN sentiasa sibuk turun padang bertemu rakyat dan menyampaikan bantuan kerana parti itu amat merasai denyut nadi rakyat yang kurang berkemampuan.

Menurutnya, antara bantuan terbaharu adalah sumbangan RM3,000 seorang kepada 12 peniaga di Pekan Jeniang yang premis peniagaan mereka terbakar pada Oktober lalu.
"Semasa banjir besar melanda Kedah pada 2010, pemimpin BN Kedah adalah yang paling ke hadapan membantu mangsa banjir.
"Mereka bertungkus lumus membantu di pusat pemindahan banjir, membantu menghulurkan makanan kepada mangsa yang tidak mahu berpindah serta melawat rumah mangsa banjir bagi memastikan keselamatan dan keperluan mereka," katanya.
Ahmad Bashah berkata, selepas banjir 2010, pelbagai jenis bantuan dihulurkan seperti wang RM500 kepada keluarga yang terlibat, bantuan barangan seperti tilam dan dapur serta bantuan terhadap kerosakan tanaman.

Bagi BN Kedah, katanya, memang menjadi iltizam parti itu untuk membantu seluruh rakyat Kedah terutama di saat mereka paling memerlukan iaitu semasa bencana dan kesusahan. "Kita adalah parti yang peduli dengan kesusahan rakyat dan akan berusaha membantu mereka sedaya upaya. "Janji kita juga, rakyat akan sentiasa dibantu. Kita mahu setiap rakyat turut sama merasai nikmat kejayaan negara. Yang susah adalah keutamaan BN Kedah," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, BN Kedah akan terus memperbanyakkan bantuan kepada seluruh rakyat negeri ini sekiranya diberi peluang memerintah Kedah kembali.
Menurutnya, BN amat menyedari rakyat mengharapkan bantuan kerajaan dan BN adalah parti yang sentiasa mempedulikan rakyat menerusi slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'. "Memperjuangkan kepentingan rakyat adalah azimat dan matlamat kami dan kami akan berusaha demi rakyat Kedah, itu janji kami," katanya. - Sumber - Utusan

Jumaat, 30 November 2012

PAU 2012 : Perwakilan rayu rakyat Kedah beri peluang kedua

Seorang perwakilan dari negeri Kedah hari ini merayu kepada rakyat negeri itu supaya memberi peluang kedua kepada Umno dan BN untuk mentadbir negeri berkenaan selepas kecundang pada pilihan raya umum Mac 2008.

Dalam ucapannya, Datuk Othman Aziz menegaskan, Umno Kedah berjanji "menjadikan negeri itu cemerlang, tidak mahu merosakkan kepercayaan rakyat, dan menjadikan negeri itu maju" jika berjaya merampas semula negeri itu.

"Kami merayu bagi peluang kali kedua... Tidak ada parti yang membela rakyat selain melalui Umno dan BN.

"Ahli Umno dan pemerhati di luar sana, marilah kita berjanji dengan YAB Presiden, bahawa kita akan bingkas bangun, tegas, bekerja kuat supaya menang dan mengambil balik negeri Kedah," katanya membahaskan ucapan dasar presiden.

Beliau turut menyeru supaya ahli dan jentera supaya bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk menunaikan kepercayaan presiden Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, golongan itu perlu bersatu padu bagi "mengembalikan kuasa kepada BN di negeri itu dan menunjukkan bahawa parti itu lebih baik daripada Pakatan Rakyat di negeri itu".

Beliau berkata demikian selepas membangkitkan beberapa persoalan yang menyentuh kelemahan pentadbiran Menteri Besar Kedah dari PAS Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Beliau antara lainnya membangkitkan isu penebangan balak untuk menjadi dusun dan ladang rakyat yang didakwa menjejaskan alam sekita serta masalah aliran tunai dan kekurangan pelajar yang didakwa dihadapi Kolej Universiti Insaniah (KUIN).

Selain itu, beliau turut menimbulkan dakwaan campurtangan dalam pentadbiran Perkhidmatan Awam Kedah, isu pelaburan di Kulim Hi-tech, dan isu kilang di Papua New Guinea.

"Bila tanya MB, (dia kata) saya tak tahu... Kita akan dedah bila tiba masanya," katanya.

Mengulas mengenai punca kekalahan Umno di negeri itu, Othman yang juga setiausaha Umno negeri berkata ia antaranya berpunca daripada tindakan kira-kira 4,000 ahli Umno yang tidak tidak keluar mengundi dan membuang undi rosak.

Katanya, tindakan itu membolehkan PAS memerintah negeri itu selepas menguasai lima kerusi dan dengan kelebihan undi kira-kira1600 undi atau 0.002 peratus sahaja.

"(Oleh) sebab itu kita akujanji, (situasi ini) tidak akan berulang pada pilihan raya akan datang," katanya sambil menambah pihaknya akan memujuk 292,012 pengundi atas pagar daripada lebih 1 juta orang pengundi di negeri itu dengan kerjasama Wanita Umno.

Katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan rakan komponen BN untuk menarik lebih 150,000 pengundi Cina, lebih 64,000 pengundi India dan termasuk masyarakat Siam.

Mereka juga akan bekerjasama dengan Pemuda dan Puteri serta NGO untuk menarik kira-kira 40 peratus pengundi muda yang berumur bawah 40 tahun menyokong parti itu.

Othman berkata kekerapan lawatan Najib dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddn Yassin ke negeri itu beberapa kali pada tahun lalu dan tahun ini, memberi isyarat bahawa "ada potensi mengambil balik" negeri itu daripada Pakatan Rakyat.
Sumber : Malaysiakini